Kanak-kanak
Kanak-kanak
Hafiz Ithnin


PENGGUNAAN peranti terutama membabitkan paparan skrin secara tidak betul boleh mengakibatkan keadaan yang dipanggil Computer Eye Syndrome (CVS) atau Digital Eye Strain (DES).

Pensyarah kanan, Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pakar Perunding dan Pakar Bedah Mata Hospital Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Adil Hussein berkata, mereka yang sering menggunakan peranti seperti telefon pintar mudah terdedah kepada bahaya sinaran yang dihasilkannya, apatah lagi jika ia tidak dilakukan secara betul.

"Keadaan ini sering dianggap ringan dan ramai yang tidak cakna mengenai bahayanya. Sekiranya tidak dicegah boleh mengakibatkan kerosakan mata.

"CVS atau DES adalah gangguan penglihatan dan kesihatan mata yang diakibatkan penggunaan serta pendedahan kepada komputer, tablet, e-reader, telefon pintar atau gajet berskrin elektronik lain pada suatu jangka masa yang lama dan dalam keadaan yang tidak optimum," katanya.

Katanya, gejala CVS boleh menjadi lebih teruk dengan pertambahan jumlah masa pendedahan. Mereka yang sedia ada masalah mata atau penglihatan akan mengalami gejala yang lebih teruk.

Pembelajaran
Pembelajaran

Antara gejala CVS yang diketahui dan terjadi kepada majoriti pengguna gajet skrin digital dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian:

a. Simptom bahagian dalaman mata seperti sakit di bahagian mata, belakang mata dan sekeliling rongga mata. Rasa tegang dan senak di bahagian dahi antara dua mata.

b. Simptom bahagian luar mata seperti rasa mata perit, pedih, mata kering, berpasir, mata menjadi merah dan berair serta merasa kesat bila berkelip.

c. Simptom gangguan penglihatan seperti penglihatan menjadi kabur dan nampak dua (double vision) dan gangguan fungsi fokus mata. Ia juga boleh mengakibatkan berlakunya masalah refraksi seperti myopia (near sightedness) dan menjadikan masalah yang sedia ada menjadi lebih serius

d. Simptom muskloskeletal (otot dan tulang) seperti sakit kepala, tengkuk dan bahu. Kebas jari tangan dan sakit pergelangan tangan.

Terdapat beberapa pecahan faktor menyebabkan gejala CVS:

a. Faktor pengguna:

- Postur duduk pengguna yang tidak betul

- Jarak lihat yang tidak optimum

- Sudut lihat yang tidak optimum

- Penyakit mata dan masalah penglihatan seperti masalah refraksi dan katarak

- Penyakit lain seperti penyakit kardiovaskular dan kencing manis

Umur

b. Faktor persekitaran:

Pencahayaan yang tidak optimum (ketidakseimbangan antara cahaya skrin dan persekitaran)

c. Faktor peranti:

Resolusi yang rendah

- Kontras yang rendah

- Silau dari skrin

- Refresh rate yang rendah (slow refresh rate)

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko gejala CVS:

a. Lakukan pemeriksaan mata secara berkala untuk memastikan tiada masalah mata dan penglihatan. Masalah utama penglihatan di kalangan kanak-kanak seperti masalah refraksi haruslah dirawat terlebih dahulu dengan mengoptimumkan penggunaan cermin mata. Punca masalah mata dan gangguan penglihatan haruslah dirawat terlebih dahulu.

b. Optimumkan kedudukan skrin komputer atau gajet. Tetapkan kedudukan tengah skrin komputer atau gajet pada kedudukan 15 hingga 20 darjah (antara 10 hingga 12 sentimeter) di bawah paras mata. Jarak antara mata dan skrin ditetapkan pada jarak 50 hingga 80 sentimeter.

c. Bahan rujukan atau bahan bercetak haruslah diletakkan separas dan hampir dengan skrin untuk mengurangkan pergerakan kepala dan leher dari melihat skrin dan bahan rujukan itu. Ia juga dapat membantu mengurangkan mata dari kerap mengubah fokus dari skrin ke bahan rujukan.

d. Pastikan kedudukan skrin yang betul untuk mengelakkan atau mengurangkan silau hasil pantulan dari cahaya lampu bilik atau cahaya matahari melalui jendela.

e. Sekiranya silau ini tidak dapat dikurangkan, penggunaan skrin anti-silau boleh membantu.

f. Pastikan menggunakan resolusi skrin yang terbaik dan tahap terang diubah supaya tidak menyebabkan rasa tidak selesa pada mata. Elakkan menggunakan tetapan saiz askara yang kecil dan menyukarkan mata untuk melihat serta bekerja lebih kuat untuk fokus.

Sinaran
Sinaran

g. Penggunaan mod 'Blue light filter' pada tetapan skrin komputer atau gajet amat digalakkan.

h. Cara duduk juga adalah faktor yang amat penting untuk mengurangkan gejala CVS. Duduk di atas kerusi yang selesa dan mampu menyokong tubuh secara tegak.

Ketinggian kerusi diubah supaya kedudukan kedua-dua kaki berada secara

rata di atas lantai. Kedudukan kedua-dua tangan haruslah berada separas meja.

Elakkan pergelangan tangan diletakkan di atas papan kekunci ketika bekerja dan gunakan pad lembut untuk menyokong pergelangan tangan sekiranya perlu.

Menggunakan komputer atau gajet ini secara duduk di lantai atau di atas katil akan mengundang gejala CVS dan tidak digalakkan.

i. Ketika menggunakan skrin atau gajet kadar mata berkelip akan menjadi kurang tanpa sedar. Ia akan mengakibatkan permukaan mata menjadi kering. Cuba untuk tingkatkan kekerapan berkelip supaya permukaan mata tidak kering. Penggunaan ubat titis mata (ocular lubricant) boleh membantu terutama bagi mereka yang sudah sedia ada menghidap masalah mata kering (Dry eyes Syndrome).

j. Beri peluang untuk mata berehat. Cuba berehat daripada menggunakan komputer selama 15 minit bagi setiap 2 jam tempoh penggunaan. Senaman ringkas atau regangan setempat boleh dilakukan.

k. Secara mudah penggunaan 'formula 20-20-20' boleh digunakan. Digalakkan untuk memberi masa rehat kepada mata ketika penggunaan skrin elektronik dengan cara berehat selama 20 saat dengan memandang objek jauh lebih 20 kaki setiap 20 minit.

l. Jaga kesihatan dengan mengambil makanan yang berzat, seimbang dan minum banyak air. Penjagaan dan pemeriksaan mata secara berkala serta ubah cara kita menggunakan dan memandang skrin elektronik atau digital ini mampu untuk menghalang atau mengurangkan gejala CVS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 7:00 AM