Kesihatan mata kanak-kanak adalah sangat penting dalam menyumbang kepada perkembangan dan kesejahteraan mereka.
Pada peringkat kanak-kanak, mata dan otak mereka akan melalui fasa perkembangan yang kritikal.
Oleh itu, setiap ibu bapa dan penjaga harus memberikan perhatian terhadap kesihatan mata anak-anak bagi memastikan proses kematangan sistem penglihatan mereka berlaku secara normal.
Menururt Pakar Oftalmologi Pediatrik dari Pusat Perubatan Sunway, Dr Chin Pik Kee, terdapat data dari negara-negara lain yang menunjukkan bahawa kadar miopia atau rabun jauh iaitu masalah penglihatan yang lazim berlaku apabila objek dekat dapat dilihat dengan jelas.
"Manakala objek jauh kelihatan kabur, meningkat ketika pandemik Covid-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sesi persekolahan dijalankan secara dalam talian.
"Peningkatan masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia. Selain genetik, rabun juga boleh berlaku disebabkan faktor persekitaran seperti pembangunan masyarakat luar bandar dan gaya hidup moden," katanya.
Jelasnya, perubahan itu menyebabkan kegiatan seharian kini beralih kepada aktiviti di dalam rumah dan pertambahan masa melakukan perbuatan dengan jarak kerja dekat.
"Masalah lain yang berkaitan kesihatan mata kanak-kanak selain miopia dan kesan daripada pandemik Covid-19 termasuklah ketegangan mata digital yang disebabkan peranti digital dan peningkatan masa skrin.
"Antara simptomnya ialah keletihan mata, mata kering, ketegangan mata, sakit kepala dan penglihatan kabur. Kecederaan mata yang disebabkan oleh objek tajam, peluru misalnya pistol mainan, mercun serta gigitan atau cakar binatang peliharaan dan binatang lain," katanya.
Pakar itu menambah, obesiti kanak-kanak yang meningkatkan risiko diabetes jenis dua dan penyakit mata disebabkan kencing manis.
"Kurang kesedaran mengenai betapa pentingnya pemeriksaan mata secara berkala kerana kelewatan diagnosis boleh mengakibatkan masalah mata yang lebih serius.
"Sesetengah kejadian mungkin tidak dapat dielakkan, misalnya penggunaan komputer atau tablet untuk kelas dan kerja sekolah," katanya.
Jelasnya lagi, terdapat cara untuk membantu mengurangkan simptom dengan menerapkan tabiat yang baik dalam kalangan kanak-kanak.
"Perkara Ini termasuk mengalihkan pandangan dari skrin dan melihat sesuatu objek yang berada pada jarak jauh setiap 20 minit, mengedipkan mata dengan kerap, duduk dengan kedudukan yang baik dan berehat seketika pada selang masa yang tetap.
"Selain itu, sekiranya kanak-kanak sudah menghabiskan masa yang banyak di hadapan skrin untuk belajar, adalah wajar untuk mengurangkan masa skrin mereka ketika santai," katanya.
Chin menyarankan kanak-kanak tidak didedahkan dengan penggunaan gajet sehingga mereka mencapai usia dua tahun.
"Selepas usia itu, mereka boleh melakukan aktiviti menggunakan gajet bersama ibu bapa atau penjaga dan bukannya secara bersendirian serta tanpa pengawasan.
"Bagi kanak-kanak di bawah usia 10 tahun saya mencadangkan masa rekreasi skrin mereka dihadkan kepada maksimum dua jam sehari dan diselang-selikan dengan waktu rehat," katanya.
Pakar itu juga menekankan bahawa kanak-kanak memerlukan masa untuk bermain dengan kreatif, melakukan aktiviti fizikal dan meluangkan masa di luar rumah.
Semua elemen ini penting untuk pertumbuhan dan perkembangan holistik kanak-kanak.
Katanya, kajian menunjukkan bahawa masa di luar rumah adalah faktor penting untuk pertumbuhan mata yang normal ketika zaman kanak-kanak.
"Kanak-kanak yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam di luar rumah setiap hari kurang cenderung untuk mengalami miopia. Sekiranya perlu memakai cermin mata, ia mungkin berlaku apabila usia mereka semakin meningkat.
"Terdapat langkah proaktif yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk mengekalkan kesihatan mata anak-anak mereka antaranya pemeriksaan mata kerana ia adalah cara terbaik untuk mengesan masalah penglihatan," katanya.
Tambahnya, bayi dan kanak-kanak yang lebih muda mungkin merasakan mereka boleh melihat seperti biasa biarpun sebenarnya mengalami masalah mata yang serius.
Disebabkan itu, ibu bapa mungkin tidak menyedari masalah itu sehinggalah pada peringkat yang lewat.
"Galakkan aktiviti di luar rumah untuk memastikan mereka mengurangkan penggunaan gajet dan masa skrin.
"Bekalkan kanak-kanak dengan diet yang sihat dan seimbang. Makanan yang kaya dengan asid lemak omega-3, sayur-sayuran dan buah-buahan seperti lobak merah, sayur-sayuran berdaun, ikan, dan buah-buahan sitrus mengandungi nutrien untuk kesihatan mata.
"Pendidikan mengenai keselamatan mata dan pencegahan kecederaan. Contohnya daripada objek tajam, projektil misalnya pistol mainan, mercun serta gigitan atau kecederaan disebabkan haiwan peliharaan," katanya.
Doktor Chin turut mengingatkan bahawa pengambilan makanan tambahan tidak mampu meningkatkan penglihatan jika seseorang itu tiada mengalami sebarang defisiensi.
"Pengambilan vitamin tertentu secara berlebihan mungkin akan mendatangkan bahaya," katanya.