PEMERIKSAAN mata dapat menentukan masalah yang dihadapi.
PEMERIKSAAN mata dapat menentukan masalah yang dihadapi.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Penggunaan gajet kini sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan seharian. Ramai orang menggunakan gajet untuk memudahkan tugasan, pekerjaan dan mengisi masa terluang. Terlalu lama menggunakannya, tanpa disedari ia mengakibatkan pelbagai masalah pada mata seperti mata merah, penglihatan kabur, mata kering dan panas sehingga berair.

Bukan itu saja gangguan mata sebenarnya boleh mempengaruhi keadaan tubuh badan secara umum. Misalnya bagi yang menghadapi masalah rabun mungkin berasa sakit kepala pada mulanya sehinggalah mereka disyorkan memakai kaca mata untuk menghilangkannya.

Selain digunakan sebagai alat komunikasi, gajet seperti telefon bimbit, tablet dan iPad turut menjadi peranti penting permainan video sama ada oleh orang dewasa atau kanak-kanak. Tanpa sedar bermain permainan video dalam jangka masa panjang menerusi telefon genggam atau tablet menimbulkan risiko mata minus atau rabun jauh. Kesannya sama seperti menggunakan komputer terlalu lama.

Menurut Perunding Pakar Mata dan Bedah Okuloplastik Hospital Pakar KPJ Klang Dr Zurina Zainal Abidin, keletihan mata, pandangan kabur, mata kering sehingga menyebabkan sakit kepala adalah gejala biasa yang berlaku disebabkan terlalu lama menggunakan gajet. Masalah ini menjadi semakin serius terutama bagi mereka yang gemar bermain permainan video dalam tempoh yang panjang.

“Seseorang yang bermain permainan video akan leka sehingga tidak sedar mereka bermain selama beberapa jam tanpa henti. Ini disebabkan permainan itu sendiri amat mengasyikkan tidak kira bagi dewasa atau kanak-kanak.

“Akibat terlalu lama bermain ia akan menyebabkan mata yang hanya memberi tumpuan kepada permukaan datar, tetapi secara tiba-tiba berubah fokus menjadi letih. Ini kerana anak mata hanya memberi tumpuan pada bahagian tertentu sekali gus menyukarkan untuk fokus pada objek lain walaupun mereka tidak lagi bermain. Selain itu, mata juga akan jarang berkedip dan menyebabkan kekeri­ngan,” katanya.

Melihat telefon bimbit atau tablet tanpa rehat juga boleh menyebabkan mata cepat letih dan mengantuk. Sakit kepala, leher dan bahu juga adalah gejala biasa berpunca daripada masalah mata.

Ini kerana kedudukan telefon atau tablet yang berada pada kedudukan yang tidak selaras mata, bahu dan leher yang mengakibatkan leher menjadi tegang. Apabila ini berlaku ia menyebabkan gangguan pada saraf dan mengganggu hormon yang mengatur kekebalan tubuh.

“Telefon pintar yang digunakan untuk membaca e-mel, pesanan ringkas, mencari maklumat dan menonton video turut menyumbang kepada keletihan mata. Ini kerana mata dipaksa melihat melalui skrin kecil dalam tempoh yang lama.

“Begitu juga dengan jarak penggunaan telefon bimbit dan komputer tablet pada jarak yang lebih dekat berbanding membaca buku atau surat khabar sehingga mata menjadi lebih cepat letih. Memperbesarkan ukuran perkataan dan mengatur jarak kira-kira 30 hingga 40 sentimeter dari mata dapat membantu mengurangi gejala mata letih,” katanya.

Selain itu mata turut menghadapi kesulitan untuk memberikan tumpuan kepada objek pada jarak jauh. Ini sudah tentu disebabkan pancaran radiasi skrin yang terlalu lama terutama bagi individu yang sepanjang hari bekerja di hadapan komputer. Bahkan gangguan seperti mata kering yang membuat mata terasa perit dan pedih turut disebabkan penggunaan gajet yang terlalu lama.

“Menggunakan gajet dalam waktu lama pada jarak dekat akan mempengaruhi fokus mata sekali gus menyebabkan masalah rabun. Sebab itu ramai dalam kalangan kanak-kanak memakai cermin mata kerana sejak kecil mereka didedahkan kepada gajet oleh ibu bapa,” ujarnya.

Jelas Dr Zurina, selain sinar matahari, pekerjaan yang memerlukan seseorang bekerja di hadapan komputer atau tablet terlalu lama akan membuatkan mata mengalami penurunan daya penglihatan.

Komputer dan gajet turut menyebabkan berlakunya sindrom penglihatan komputer iaitu masalah penglihatan akibat terlalu lama menggunakan komputer ketika bekerja. Keadaan ini terjadi kerana kadar kecerahan skrin komputer yang tidak sesuai, mata kurang berkedip dan posisi duduk yang tidak betul.

“Gejala ini akan menyebabkan mata merah, pedih dan berair, kering, kelopak mata atau dahi terasa berat, sakit kepala atau migrain (sakit kepala sebelah) dan sakit pada belakang bahu. Keadaan ini berlaku disebabkan ligamen gantung yang menegang kerana mata terpaksa memberi tumpuan pada bahagian yang terlalu dekat. Berbeza apabila mata melihat objek jauh yang menyebabkan ligamen gantung menjadi lebih rileks,” katanya.

Panduan menggunakan gajet

Beberapa cara yang dapat dilakukan agar mata tidak cepat letih terutama bagi mereka yang sering menggunakan komputer, tablet atau telefon genggam adalah dengan mengatur kadar kecerahan yang sesuai menerusi skrin komputer.

Bagi yang kerap menggunakan komputer riba atau tablet sebaiknya letakkan monitor sekitar 50 hingga 60 sentimeter dari mata. Kecerahan skrin seharusnya tidak boleh terlalu terang dan tidak boleh terlalu malap.

“Kecerahan skrin tablet atau komputer riba sebaik­nya sederhana saja. Ada sebahagian individu memasang alat mengurangkan paparan ultraviolet pada layar monitor namun kesannya tidak terlalu optimum,” katanya.

Melakukan latihan mata adalah langkah terbaik bagi mengurangkan kesan buruk akibat penggunaan gajet. Caranya:

- Buat peraturan dengan meluangkan masa 20 saat untuk melihat benda sejauh 20 meter pada setiap 20 minit bekerja.

- Gunakan gajet dengan cara yang tepat sehingga anda dapat menggunakannya dengan selesa dan penglihatan berada pada tahap terbaik.

- Membeli kaca mata antiradiasi radiasi juga mampu menghalang mata daripada menghadapi masalah keletihan mata. Walaupun harganya agak mahal, tetapi ia sangat berbaloi untuk kesihatan bola mata anda.

Selain boleh dibawa ke mana-mana, kaca mata ini tidak hanya berguna ketika bekerja di hadapan tablet atau komputer riba namun turut melindungi mata dari cahaya lampu dan radiasi televisyen. Lapisan antiradiasi pada kaca mata sangat berguna bagi melindungi mata. Ini kerana lapisan ini mengurangkan kesan pada mata akibat radiasi cahaya berlebihan.

Rawatan untuk mata

Jelas Dr Zurina, mereka yang rabun jauh perlu menggunakan cermin mata pada kuasa yang betul. Mereka perlu menjalani pemeriksaan mata setiap enam bulan bagi menentukan tahap kuasa cermin mata yang dipakai sama ada harus ditambah atau sebaliknya.

Selain itu bagi mata kering dan letih, penggunaan ubat pelembap mata sangat membantu bagi mengurang­kan masalah ini. Mata kering disebabkan kekurangan lembapan pada mata. Oleh itu kelipkan mata supaya air mata dapat membasahkan anak mata sekali gus memberikan kelembapan pada mata.

Bagi yang menghabiskan masa lapan jam di hadapan komputer mereka perlu mendisplinkan diri untuk merehatkan mata. Cara­nya dengan berehat selama 10 hingga 15 minit sebelum menyambung semula. Pastikan anda melihat objek pada jarak yang jauh selama 10 saat.

“Latihan ini sangat membantu bagi mengurangkan keletihan mata. Ini kerana dengan memandang pada jarak jauh ia dapat merehatkan otot mata sekali gus menjadikan mata lebih rileks,” katanya.

Selain itu Dr Zurina menasihatkan ibu bapa supaya memberikan pencahayaan yang baik kepada anak terutama bagi mereka yang sering menggunakan telefon bimbit. Ibu bapa seharusnya mengawal dengan menetapkan masa tertentu untuk anak menggunakan gajet, misalnya hanya pada hujung minggu saja atau memberikan tablet selepas mereka selesai menyiapkan kerja sekolah.

Meletakkan gajet pada kedudukan yang betul iaitu dengan posisi duduk (90 darjah) dan posisi papan kekunci 100 darjah dari siku. Jarak layar komputer atau tablet pula harus berada di sekitar 50 hingga 75 sentimeter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:49 AM