PERGERAKAN sesebuah keluarga mengalami perubahan mendadak sejak Covid-19 melanda.
PERGERAKAN sesebuah keluarga mengalami perubahan mendadak sejak Covid-19 melanda.
Muhamaad Razis Ismail

Penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi impak kepada senario sosioekonomi di peringkat makro dan global malah ia turut dirasakan di peringkat mikro serta individu.

Antara yang jelas adalah perubahan corak pergerakan atau mobiliti norma baharu yang mengehadkan pergerakan orang ramai di luar kawasan rumah.

Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM), Dr Yong Adilah Shamsul Harumain berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara langsung mengakibatkan perubahan yang besar terhadap corak pergerakan kita, terutama golongan wanita yang berkeluarga dan bekerjaya.

Katanya, wanita yang mempunyai anak kecil amat menitikberatkan keselamatan anak mereka ketika bergerak keluar dari rumah.

"Berbanding kenderaan persendirian, penggunaan pengangkutan awam mempunyai cabaran tersendiri bagi mereka yang membawa anak kecil.

RAMAI bekerja dari rumah akibat pandemik.
RAMAI bekerja dari rumah akibat pandemik.

"Malah cabaran ini akan berlipat kali ganda dengan senario pandemik sekarang, kerana membabitkan aspek sosioekonomi keluarga yang terbabit," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan ini mungkin tidak begitu dirasai ketika PKP mula dilaksanakan, apabila semua aktiviti dan perniagaan dihentikan dan semua bekerja dari rumah.

"Bagaimanapun, apabila kita dibenarkan bekerja di pejabat dan untuk sektor industri tertentu yang berkeperluan untuk beroperasi sepenuhnya di lokasi, bebanan pergerakan untuk keluarga yang kurang berkemampuan mula dirasakan.

"Mereka yang sebelum ini bergantung kepada pengangkutan awam bagi tujuan pergerakan kerana ketidakmampuan memiliki kenderaan sendiri, terpaksa mencari alternatif lain bagi mengelak menggunakan pengangkutan awam yang kebiasaannya sesak dengan pengguna.

PERGERAKAN ibu dan anak lebih terbatas akibat Covid-19.
PERGERAKAN ibu dan anak lebih terbatas akibat Covid-19.

"Pengelakan ini, walaupun bertujuan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, namun ia menimbulkan dilema kepada keluarga yang tidak berkemampuan ini," katanya.

Mengulas lanjut, sesetengah keluarga ini terpaksa melupakan sebentar aspek keselamatan apabila menunggang motosikal bersama anak kecil yang perlu dihantar ke pusat atau rumah asuhan, dalam perjalanan mereka ke tempat kerja.

"Dilema ini diburukkan lagi dengan kekurangan jumlah pusat dan rumah asuhan yang berdekatan dengan tempat kerja ataupun kediaman mereka.

"Di Malaysia, masalah ini juga disebabkan jenis pekerjaan yang diperoleh dan juga kesukaran bagi wanita memilih jenis pekerjaan berdekatan dengan pusat atau rumah asuhan untuk anak-anak mereka," katanya.

Susulan itu, beliau mengetuai sekumpulan penyelidik dari UM, Universiti Sains Malaysia dan Pejabat Pembangunan Negeri Selangor bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Utsunomiya, Jepun menjalankan kajian untuk meneliti corak pergerakan wanita bekerjaya yang mempunyai anak di bawah umur 12 tahun di Malaysia, sebelum dan ketika tempoh PKP berlangsung.

CENDERUNG menggunakan kenderaan persendirian.
CENDERUNG menggunakan kenderaan persendirian.

Beliau berkata, dapatan awal setakat Jun 2020 mendapati wanita yang mempunyai anak kecil adalah lebih cenderung menggunakan kenderaan persendirian atau bergerak bersama suami.

"Sebanyak 77.9 peratus dari jumlah responden bergerak menggunakan kereta, berbanding 13.9 peratus menggunakan motosikal dan 8.2 peratus lain-lain jenis kenderaan.

"Kebergantungan wanita terhadap kereta adalah disebabkan lokasi pusat atau rumah asuhan anak kecil mereka yang tidak terletak berhampiran dengan lokasi tempat kerja.

Faktor kesukaran menggunakan pengangkutan awam juga menyumbang kepada aspek kebergantungan ini yang secara tidak langsung, memberi kesan kepada pengurangan jumlah pengguna pengangkutan ini dan peningkatan jumlah kenderaan persendirian di atas jalan raya pada sesuatu masa.

KELUARGA kurang berkemampuan mungkin abaikan aspek keselamatan kenderaan.
KELUARGA kurang berkemampuan mungkin abaikan aspek keselamatan kenderaan.

Namun demikian, kepentingan pengangkutan awam tidak boleh dinafikan, terutama dari aspek penjimatan kos pengangkutan untuk yang kurang berkemampuan.

"Jika sebelum ini, keselamatan fizikal seperti ancaman jenayah menjadi keutamaan, kini aspek keselamatan kesihatan awam adalah bentuk keselamatan yang lebih diutamakan kerana penularan pandemik yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar," katanya.

Justeru itu, demi meningkatkan jumlah penggunaan pengangkutan awam dan meringankan beban golongan wanita, usaha yang bersepadu daripada pelbagai pihak amat diperlukan.

"Inisiatif proaktif pihak kerajaan menerusi Belanjawan 2021 terhadap kemudahan pengangkutan, wanita dan kanak-kanak yang diumumkan baru-baru ini, adalah amat dialu-alukan," katanya.

Katanya, pandemik yang merebak ke seluruh dunia hari ini diakui memberi kesan kepada aspek kehidupan manusia, termasuk pola pergerakan wanita yang menjadi tunjang kepada keselamatan keluarga.

"Satu-satunya cara untuk kita teruskan kehidupan ini adalah menerusi penyesuaian diri dan keluarga dengan semua perubahan yang sedang serta bakal berlaku dan bukannya dengan bermimpi, mengharapkan kehidupan kita kembali seperti dulu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 6:20 AM