GEDUNG tepi jalan pertama UNIQLO di Malaysia.
GEDUNG tepi jalan pertama UNIQLO di Malaysia.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BAGI memberi lebih keselesaan kepada pelanggan, jenama terkenal, Uniqlo membuka gedung tepi jalan (Roadside Store) pertamanya di Malaysia baru-baru ini.

Dikenali sebagai Uniqlo DA Square, ia menawarkan himpunan lengkap koleksi pakaian dan aksesori terkini di bawah satu bumbung di kawasan seluas 15,100 kaki persegi.

Apa yang menariknya, gedung terbaharu peruncit pakaian popular dari Jepun itu direka khas untuk memastikannya mudah diakses semua golongan termasuk kanak-kanak, warga emas dan golongan kurang upaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Uniqlo Singapura dan Malaysia, Yuki Yamada berkata, ruangan satu tingkat itu menawarkan pilihan terbaik untuk semua.

"Menerusi konsep hiasan dalaman yang luas dan terbuka, rangkaian terbaharu Uniqlo menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih segar dan menyeronokkan kepada pelanggan.

"Selain itu, paparan lengkap setiap kategori produk yang tersusun dan mudah dilayari juga membantu pelanggan untuk mencari barangan diingini," katanya.

Apatah lagi Uniqlo DA Square turut menjadi gedung pertama jenama itu di negara ini yang mempunyai ruang pameran untuk koleksi cadar AIRism.

RUANGAN UTme yang membolehkan pelanggan menyerlahkan kreativiti masing-masing.
RUANGAN UTme yang membolehkan pelanggan menyerlahkan kreativiti masing-masing.

Bagi yang mahu menghasilkan rekaan baju atau 'tote bag,'sendiri, ada ruangan UTme khas dan perkhidmatan cetakan hanya terdapat di cawangan di Fahrenheit 88 sahaja sebelum ini.

Setiap kategori produk seperti koleksi AIRism, pakaian dalam lelaki dan wanita, pakaian wanita mengandung, koleksi pakaian kanak-kanak dan bayi, beg, kasut, stokin dan sebagainya turut disediakan paparan lengkap bagi keselesaan pelanggan membeli-belah.

RUANG mencuba pakaian yang lebih luas.
RUANG mencuba pakaian yang lebih luas.

Lebih menarik, sudut kelestarian juga disediakan bagi membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai bagaimana mereka dapat bekerjasama dengan jenama itu untuk menyumbang kepada inisiatif kitar semula.

SUDUT kelestarian alam sekitar yang disediakan.
SUDUT kelestarian alam sekitar yang disediakan.

Menerusi pembukaan itu, Malaysia menjadi negara kelima di luar Jepun yang mempunyai gedung seumpamanya selepas Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 6:12 AM