RAMAI pekerja tidak sedar mereka menderita akibat MSDs. - FOTO Google
RAMAI pekerja tidak sedar mereka menderita akibat MSDs. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KESAKITAN di bahagian belakang badan, lutut dan cakera tulang belakang teranjak atau tergelincir (slipped disc) adalah tiga penyebab utama mengapa pekerja di negara ini mendapatkan rawatan rehabitasi (terapi fizikal).

Data itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan penyedia terapi fizikal dan perkhidmatan rehabilitasi, PhysioMobile Malaysia kepada 2,415 pesakit bermula Januari tahun lalu hingga awal tahun ini.

Dengan keseluruhan 15.5 juta pekerja di Malaysia, rungutan terhadap gangguan muskuloskeletal (MSDs) dikatakan semakin meningkat saban hari.

MSDs ditakrifkan sebagai sebarang bentuk kecederaan atau masalah di bahagian otot, saraf, tendon, sendi, rulang rawan dan cakera tulang belakang.

Ia boleh berlaku di tempat kerja dan biasanya diabaikan sehingga keadaan menjadi semakin teruk.

Pengarah PhysioMobile Malaysia, Saiful Zhafri Shahidan berkata, daripada kajian itu, pihaknya turut mendapati kebanyakan responden iaitu 49.90 peratus mengalami masalah sakit belakang, 15.34 peratus mengalami sakit lutut dan masalah sakit tulang belakang, 13.90 peratus.

MASALAH sakit tulang belakang antara penyebab utama pekerja mendapatkan rawatan rehabilitasi.  FOTO Google
MASALAH sakit tulang belakang antara penyebab utama pekerja mendapatkan rawatan rehabilitasi. FOTO Google

“Ramai dalam kalangan pekerja tidak sedar mereka menderita akibat MSDs dan beranggapan kesakitan yang ditanggung tidak terlalu serius.

“MSDs boleh menyebabkan seseorang itu berasa letih dan kepenatan sehingga ia semakin sukar untuk dirawat.

“Masalah sakit tulang belakang contohnya jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal, boleh menjimatkan kos perubatan,” katanya menerusi kenyataan, di sini.

Dalam pada itu, terdapat banyak aduan daripada pekerja pejabat yang turut mengalami kesakitan di bahagian tangan, leher dan bahu.

Waktu kerja yang panjang, duduk di kerusi dalam tempoh lama dan kurang pengetahuan berkaitan kesihatan postur badan turut memburukkan lagi keadaan.

Masalah itu secara tidak langsung menyebabkan produktiviti pekerja berkurangan dan majikan juga menanggung peningkatan dalam penjagaan kesihatan, ketidakupayaan serta kos pampasan pekerja.

Tidak hairan jika MSDs adalah penyakit ketiga yang paling biasa dalam kalangan rakyat Malaysia selepas penyakit berkaitan gangguan pendengaran akibat bunyi bising dan penyakit berkaitan paru-paru dengan 188 kes dilaporkan pada 2018.

Begitupun, menurut PhysioMobile, masalah MSDs boleh diatasi menerusi amalan senaman ringkas ketika rehat dan kedudukan postur badan yang betul ketika berada di pejabat.

POSTUR yang betul penting untuk kesihatan badan.  FOTO Google
POSTUR yang betul penting untuk kesihatan badan. FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 6:30 AM