LUANG lebih banyak masa dengan keluarga dorong
LUANG lebih banyak masa dengan keluarga dorong
Muhamaad Razis Ismail


DALAM negara berdepan penularan Covid-19, seorang akauntan bertauliah ini sanggup menongkah arus dengan membuka firma sendiri pada April lalu.

Sekali pandang, tindakan Nur Hairani Zainuddin yang sudah memiliki pekerjaan tetap sebagai akauntan

dengan gaji lumayan bakal berdepan risiko.

Namun ibu dua anak ini nekad dengan keputusan yang diambil kerana yakin dengan peluang, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki mampu membantunya terus kekal bersaing.

Nur Hairani berkata, sebelum ini beliau bertugas sebagai akauntan di syarikat swasta dalam membantu menguruskan akaun syarikat.

Katanya, selepas 10 tahun, dia membuat keputusan untuk membuka firma sendiri di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor.

DIBANTU suami yang sering memberi sokongan dan galakan.
DIBANTU suami yang sering memberi sokongan dan galakan.

"Sebenarnya saya sudah lama berhasrat untuk memiliki firma sendiri namun tidak mempunyai kekuatan dan keberanian dengan kemampuan diri.

"Bagaimanapun, ketika melanjutkan pengajian dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Tadbir Urus Korporat di Putra Business School (PBS), Seri Kembangan secara separuh masa membuka mata saya untuk serius dalam bidang perniagaan.

"Kemudian saya ambil keputusan untuk berhenti dan membuka firma sendiri sejak April lalu yang menyediakan perkhidmatan mengurus akaun, cukai dan setiausaha syarikat," katanya.

BERSAMA Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang banyak membantu mengenai ilmu perniagaan.
BERSAMA Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang banyak membantu mengenai ilmu perniagaan.

Jelasnya, selain itu, dorongan kuat dia membuat keputusan itu adalah untuk meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga.

"Seorang anak saya yang kini berusia setahun lima bulan berdepan masalah kesihatan dan memerlukannya sentiasa ke hospital. Keadaan menjadi lebih sukar apabila saya perlu berulang-alik dari rumah di Bukit Jalil ke pejabat di Seremban, Negeri Sembilan.

"Pernah berlaku ketika berada di pejabat, anak dimasukkan ke hospital dan saya terpaksa bergegas pulang.

"Oleh itu, saya rasa ini masa sesuai untuk saya bekerja sendiri supaya dapat uruskan masa sendiri antara pekerjaan dan keluarga," katanya.

Dia mengambil peluang moratorium dan kemudahan mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan kerajaan untuk dijadikan sebagai simpanan dan modal membuka perniagaan.

Sebelum keputusan itu dibuat, dia berbincang dengan keluarga dan rakan untuk mendapatkan pandangan daripada mereka.

"Alhamdulillah mereka terutama ayah saya, Zainuddin Ya, 66, memberi sokongan dan galakan positif kepada saya untuk membuka firma sendiri.

"Mereka yakin dengan kemampuan saya untuk berikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Suami, Mohd Saifhulnizam Ismail, 36,

pun begitu memberi sokongan penuh sehingga dia sanggup berhenti kerja sebagai juruteknik untuk kami bersama-sama mengembangkan syarikat," katanya.

Mengakui awalnya ketika masih belajar, dia tidak begitu meminati bidang perakaunan.

MENYERTAI kursus di Akademi Percukaian Malaysia di Bangi.
MENYERTAI kursus di Akademi Percukaian Malaysia di Bangi.

"Biarpun memiliki keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya tidak berhasrat untuk menjadi akauntan kerana dalam kalangan ahli keluarga kebanyakannya bekerja sebagai arkitek termasuk ayah.

"Namun ayah yang berusaha bersungguh-sungguh supaya saya melanjutkan pengajian dalam bidang ini di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Di sana juga saya berkerja secara sambilan sebagai juruaudit untuk menampung kos pengajian kerana tidak memperoleh Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan ia mencetus minat saya terhadap perakaunan," katanya.

Tambahnya, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi apabila perlu berdepan ragam pelanggan.

"Namun itu bukan penghalang untuk terus membantu mereka. Saya suka dengan pekerjaan ini kerana pada masa sama saya dapat bantu mengembangkan perniagaan mereka.

"Kadangkala melalui akaun yang sistematik, saya boleh cadangkan mereka kembangkan perniagaan dengan membuka cawangan lain yang peniaga sendiri tidak sedar.

Ditanya bagaimana, beliau membahagikan masa antara keluarga, pekerjaan dan pelajaran, beliau mengakui berdepan kesukaran sehingga menggunakan perkhidmatan pembantu rumah.

"Rutin harian saya bermula jam 3 pagi untuk menyiapkan tugasan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), kemudian sekitar 6 pagi saya akan mula kejutkan suami dan anak. Selepas hantar anak ke sekolah, saya akan bekerja seperti biasa," katanya.

MELUANGKAN masa bercuti dengan keluarga.
MELUANGKAN masa bercuti dengan keluarga.

Mengenai perancangan masa hadapan, anak ketiga daripada sembilan beradik ini menetapkan sekurang-kurangnya setahun akan menambah sebuah lagi cawangan firmanya.

"Kemudian selepas menamatkan MBA dijangka pada tahun depan, saya merancang melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) berkaitan pencukaian.

"Saya mahu mencabar diri membuat sesuatu yang baharu dan jarang dilakukan untuk mengetahui lebih mendalam mengenai pencukaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 7:00 AM