TERPAKSA beraya di hospital pada 2015 kerana Ade Liyana dimasukkan wad selama dua bulan melahirkan Adi Ramadan.  FOTO Mohamad Khusyairi Ariffen
TERPAKSA beraya di hospital pada 2015 kerana Ade Liyana dimasukkan wad selama dua bulan melahirkan Adi Ramadan. FOTO Mohamad Khusyairi Ariffen
Hafiz Ithnin

KALAU abang nak kahwin lain, tunggu usia saya 45 atau 47 nanti," wanita itu bersuara dalam nada santai, tetapi agak serius.

Sebagai suami, dia hanya tersenyum kerana faham maksud ingin disampaikan pemilik rusuk kirinya untuk sentiasa bersedia memandangkan wanita itu menghidap diabetes kronik sejak usia remaja.

Hakikatnya, rumah tangga mereka berdua hanya dipinjam lima tahun oleh Sang Pencipta.

Dalam reda, lelaki pemilik nama Mohamad Khusyairi Ariffen, 32, itu masih rindukan arwah isterinya, Ade Liyana Sapuan yang dijemput Ilahi pada tanggal 5 Februari tahun lalu.

Ketika ditemual bual meskipun hanya menerusi telefon, penulis dapat merasai nada sebak Mohamad Khusyairi tatkala menceritakan kisah bersama Ade Liyana.

Sesekali terdengar suara anak tunggal mereka, Adi Ramadan berusia empat tahun menjadi latar perbualan kami.

Suaranya cukup manja mungkin minta perhatian sebentar daripada Mohamad Khusyairi yang dipanggil abah dan kini turut menjadi uminya walaupun belaian ibu tiada galang ganti.

Gelang maklumat pesakit, baju panas dan telefon bimbit arwah (kini hilang kerana dicuri) antara barangan peribadi yang sentiasa menjadi pengubat sekiranya rindu bertandang.

Katanya, baju panas antara barangan peribadi yang amat disayangi arwah isterinya kerana dihadiahkan arwah bapa mentua.

Malah, Ade Liyana juga memesan Mohamad Khusyairi supaya menjaga baju itu sebaik mungkin untuk dipakai Adi kelak.

ADI menjadi anak yang disenangi orang sekelilingnya walaupun tiada ibu.  FOTO Mohamad Khusyairi Ariffen
ADI menjadi anak yang disenangi orang sekelilingnya walaupun tiada ibu. FOTO Mohamad Khusyairi Ariffen

Selain bercerita kisah perkembangan Adi yang masih tidak mengerti istilah meninggal dunia, berada di tepi pusara Ade Liyana adalah rutin dilakukan Mohamad Khusyairi sebaik pulang dari kerja.

"Setiap hari selama tiga bulan selepas pulang dari tempat kerja sehingga fajar tenggelam, di pusara arwah tempat saya berada. Saya sedekahkan doa dan bercerita hal kami dua beranak.

"Kini, saya cuba jarakkan masa ke pusara mungkin tiga ke empat kali seminggu kerana kehidupan perlu diteruskan dan sebagai manusia tidak boleh sentiasa diselubungi kesedihan yang melampau, tetapi tidak sesekali melupakan arwah," katanya yang kini tinggal bersama keluarganya di Mersing, Johor.

Mengenali arwah isterinya menerusi media sosial sudah menjadi ketentuan.

Hanya dua kali pertemuan Mohamad Khusyairi dan Ade Liyana terus sepakat mengikat tali pernikahan mereka pada 29 Jun 2013.

Ketika itu, dia sudah mengetahui arwah isterinya menghidap penyakit kronik itu.

Mohamad Khusyairi memberitahu penulis, dia tidak sedikit pun risau soal jodoh mereka tidak panjang atau sebaliknya kerana menganggap itu semua dugaan.

Malah, sentiasa positif kerana Ade Liyana bukan sahaja wanita yang tidak mudah putus asa dalam kehidupan, malah tenang dan sabar menjadi ciri wanita dambanya.

"Boleh dikatakan sejak mula berkahwin sebulan sekali saya perlu bawa arwah ke hospital kerana masalah kesihatannya, tetapi kesabaran Ade Liyana berdepan cabaran hidup, menjadikan saya sedar bahawa sebagai suami saya perlu lebih kuat daripadanya yang melalui pelbagai dugaan sehingga menghembuskan nafas terakhir.

"Dalam tempoh lima tahun itu, arwah pernah koma, terpaksa dimasukkan wad selama dua bulan kerana ingin melahirkan zuriat kami, hilang ingatan kerana diserang angin ahmar dan dua kali dimasukkan dalam wad unit rawatan rapi," katanya.

ANAK tunggal mereka, Adi berada di pusara Ade Liyana walaupun tidak mengerti istilah meninggal dunia. FOTO Mohamad Khusyairi Ariffen
ANAK tunggal mereka, Adi berada di pusara Ade Liyana walaupun tidak mengerti istilah meninggal dunia. FOTO Mohamad Khusyairi Ariffen

Laman media sosial, Facebook adalah antara platform yang menjadi tempat dia meluahkan sedih sekiranya teringatkan kisah ketika mereka hidup bersama.

Hantaran yang dimuat naiknya juga pernah tular kerana tulisan mengingatkan mereka yang bergelar suami untuk sentiasa menghargai ketika si isteri masih ada di sisi.

Mohamad Khusyairi berkata, dia mengakui rindu melihat setianya Ade Liyana menunggu dan mencium tangannya apabila dia pulang kerja.

Apatah lagi masakan yang hidangkan untuk dijamu mereka tiga beranak.

"Arwah isteri tidak bekerja kerana faktor kesihatan dan dia juga adalah insan kurang upaya (OKU) kerana satu matanya cacat penglihatan. Jadi, dia menjadi suri rumah yang begitu taat.

"Dia rajin memasak. Tidak pernah saya pulang kerja kosong di atas meja. Jadi, apabila arwah tiada, hal seperti kami bergurau bersama Adi adalah sesuatu perkara yang sukar untuk dilupakan," katanya.

Katanya, ketika Ade Liyana sakit dan tidak dapat menguruskan diri, dia bersama keluarga terdekat terutama ibu mentua yang sentiasa berada di sisi.

Dari menguruskan anak sehingga memandikan isteri, sudah menjadi tanggungjawabnya.

"Ketika arwah meninggal saya juga yang membantu memandikan, kafan sehingga turun ke liang lahat. Ia adalah penghormatan terakhir saya kerana ketika dia sakit, saya yang akan mandikan dan uruskannya," katanya yang turut berada di sisi Ade Liyana ketika menghembuskan nafas terakhir.

Mohamad Khusyairi berkata, kadangkala dia terasa hati apabila ada yang bertanya soal penganti walaupun sebagai manusia dia tidak menolak kerana yakin rezeki, ajal dan jodoh adalah rahsia Maha Esa.

"Saya masih ingat, baru hari pertama arwah dikebumikan ada yang bertanya untuk saya mencari penganti. Saya hanya tersenyum, tetapi dalam hati sebenarnya remuk.

"Ketika ini masih tiada istilah 'move on' kerana jujur saya masih sayangkan Ade Liyana. Apa yang boleh dilakukan reda, berdoa dan membesarkan anak sebaik mungkin," katanya.

Katanya, Adi meskipun masih tidak memahami erti uminya sudah meninggal dunia, tetapi anak kecil itu sudah bijak membawa diri kerana mudah mesra dengan orang di sekelilingnya.

"Boleh dikatakan wanita yang berada dekat dengannya digelar dengan panggilan ibu seperti neneknya dipanggil emak dan mak ngah dia pula dipanggil ibu.

"Ketika ini, keluarga banyak membantu menjaga Adi. Jadual kehidupan saya juga sama seperti arwah ada, cuma sejak anak mula ke tadika saya perlu mengejutkannya selepas Subuh untuk bersiap," katanya.

Ketika ditanya mengenai Hari Bapa, katanya, selama mereka berumah tangga, Ade Liyana amat faham suaminya tidak suka sambutan sama ada hari lahir ataupun Hari Bapa. Cukup sekadar ucapan.

"Hari Bapa adalah paling besar buat saya kerana arwah tidak pernah lupa mengucapkan kerana dia begitu sayang dengan bapanya dan sebagai suami yang bergelar bapa kepada anak kami, dia ingin saya turut sentiasa merasa bangga menjadi seorang abah," katanya mengakhiri perbualan.

Al-Fatihah buat Ade Liyana...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 7:00 AM