ROHANI beralih pada perniagaan dalam talian. FOTO Fathil Asri
ROHANI beralih pada perniagaan dalam talian. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang pandemik Covid-19 di negara ini diakui menjejaskan perniagaan kerana tidak dapat menjalankan operasi seperti biasa.

Menyedari masalah itu, kerajaan mengambil langkah yang perlu untuk membantu meringankan beban aliran tunai akibat pandemik ini dengan menyediakan bantuan pinjaman dan dana khas.

Bagaimanapun, pada masa sama, peniaga perlu bijak memanfaatkan tempoh PKP dengan beralih kepada dalam talian untuk memastikan perniagaan terus bertahan dan meneruskan kelangsungan perniagaan selepas tempoh ini berakhir.

Perkara itu dilakukan Rohani Che Isa, 53, yang menjalankan perniagaan makanan arab dan kurma di Jalan Tuanku Abdul Rahman bersama suaminya, Talib Al Mahmud Muhamad, 76, sejak 14 tahun lalu.

Katanya, sebelum ini, mereka menjalankan perniagaan secara konvensional dengan mengharapkan pelanggan datang ke kedai mereka.

“Dulu diakui kami selesa dengan cara lama dan tidak pernah terfikir pun nak berniaga dalam talian.

“Bagaimanapun, sejak Januari lalu jualan mula menurun dan lebih menggusarkan apabila PKP dilaksanakan ia menjejaskan perniagaan kami,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, kebiasaannya beberapa bulan sebelum sambutan Ramadan, jumlah tempahan terhadap kurma meningkat berkali ganda.

ROHANI dibantu anaknya untuk memenuhi permintaan pelanggan. FOTO Fathil Asri
ROHANI dibantu anaknya untuk memenuhi permintaan pelanggan. FOTO Fathil Asri

“Saya dan keluarga boleh dikatakan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan terutama membabitkan agensi kerajaan dan swasta.

“Bagaimanapun, pada tahun ini keadaan jauh berbeza apabila permintaan berkurangan tambahan pula PKP dilaksanakan sejak Mac lalu.

“Kebiasaannya 10 hari sebelum puasa, kami sudah dapat banyak tempahan, namun kini tak sampai 100 kotak pun terjual,” katanya.

Tambahnya, melihat keadaan itu, dia berubah dengan mula berniaga secara dalam talian.

“Saya sendiri tidak biasa menggunakan kaedah ini dan mujur anak banyak membantu kerana mereka lebih mengetahui selok-belok teknologi.

“Dengan menggunakan kaedah ini sedikit sebanyak dapat beri kemudahan kepada pelanggan untuk mendapatkan barang keperluan tanpa perlu keluar rumah,” katanya.

Mengulas lanjut dalam keadaan sekarang peniaga perlu kreatif dan berani meneroka kaedah baru untuk terus menjana pendapatan.

“Sektor makanan yang diakui mendapat permintaan yang tinggi namun peniaga tidak boleh goyang kaki menunggu pelanggan dan mencuba model perniagaan secara dalam talian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:15 AM