JANGAN memarahi anak di khalayak kerana mereka juga mempunyai rasa malu. FOTO Sumber Google
JANGAN memarahi anak di khalayak kerana mereka juga mempunyai rasa malu. FOTO Sumber Google
Hafiz Ithnin


KADANGKALA sebagai ibu bapa atau penjaga, situasi si kecil mengamuk di khalayak itu membuatkan rasa terganggu dan ada juga sanggup memarahi anak mereka semula kerana tidak mahu mendengar arahan di kawasan terbuka.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, perkara lebih utama ialah ibu bapa perlu memahami si kecil yang di bawah usia enam tahun terutamanya masih tidak boleh berfikiran secara rasional dan mengawal emosi.

Katanya, di peringkat usia itu ibu bapa perlu menjadi individu yang amat memahami keadaan emosi kanak-kanak dan jangan merasakan mereka memahami arahan yang diinginkan ibu bapa.

“Kanak-kanak pada usia bawah enam tahun adalah paling kritikal untuk si kecil memahami arahan ibu bapa dan emosi mereka juga boleh berubah walaupun pada asalnya kita sudah maklumkan mengenai tujuan ke sesuatu tempat seperti pusat beli-belah.

“Jadi apabila berlaku hal yang di luar jangka menyebabkan anak-anak menangis kerana tidak dapat sesuatu yang mereka inginkan jangan letakkan kesalahan itu kepada si kecil, katanya.

Pakar itu berkata, sebagai permulaan ibu bapa dari rumah perlu memberitahu berulang kali kepada anak-anak tujuan mereka keluar rumah dan maklumkan juga kelakuan yang perlu dijaga.

KANAK-KANAK memberontak di pusat membeli-belah tidak boleh terus dikasari. FOTO Sumber Google
KANAK-KANAK memberontak di pusat membeli-belah tidak boleh terus dikasari. FOTO Sumber Google

“Contohnya, sebelum kita ingin keluar cakap berulang kali dengan anak-anak, tujuan ke kedai untuk membeli sayur dan ikan sahaja. Bukan untuk membeli permainan dan jelaskan juga sebab dari awal mereka tidak boleh meminta sesuatu yang bukan di dalam perancangan ketika berada di pasar raya.

“Apabila kita cakap dan jelaskan berulang-ulang anak-anak akan lebih faham tujuan mereka dibawa keluar. Tidak salah, berikan mereka penghargaan jika mampu bertindak mengikut perjanjian awal sebagai menghargai, katanya.

Dr Putri Afzan Maria berkata, memandangkan emosi anak-anak boleh berubah dan di luar jangka, jika mereka memberontak seperti menangis dan menunjukkan tingkah laku kurang menyenangkan, buat keputusan untuk terus pulang ke rumah.

“Dalam keadaan ini, diingatkan jangan marah anak di hadapan orang ramai perkara itu boleh menyebabkan emosi mereka semakin tertekan kerana merasa malu dimarahi di depan orang ramai.

“Selepas mereka bertenang, dekatkan diri dengan si kecil dan cakap secara lembut mengenai perjanjian awal sebelum keluar rumah. Dalam keadaan ini, anak lebih rasa dihargai dan dekat dengan ibu bapa, katanya.

Jelasnya, walaupun berdepan anak yang tidak boleh mengawal emosi kerana tidak dapat sesuatu yang diinginkan, jangan cepat mengalah dengan menuruti permintaan mereka.

“Apabila kita tidak mengikuti permintaan mereka, si kecil akan tahu protes dalam bentuk tangisan atau tingkah laku tidak membantu untuk mendapatkan perkara yang mereka inginkan daripada ibu bapa.

“Jadi dalam lembut sebenarnya kita juga bertegas kerana tidak mengikut permintaan anak walaupun dalam keadaan mereka menangis atau bertingkah laku kurang menyenangkan, katanya.

Katanya, jika ibu bapa menunggu bersama si kecil ketika mereka dalam proses belum boleh mengawal diri, perkara itu dapat membantu menguatkan lagi kepercayaan dan kebergantungan anak kepada si ibu dan bapa.

Elakkan merasa tekanan daripada mereka yang memerhati di sekeliling anda kerana hanya ibu bapa yang tahu mengenai diri anak masing-masing. Letakkan kepercayaan bahawa si kecil memerlukan kita ketika proses pengurusan emosi ini. Fokus hanya kepada anak bukan perkara lain, katanya.

MEMBERI peringatan kepada si kecil sebelum keluar rumah dan membuat perjanjian dengan jelas. FOTO Sumber Google
MEMBERI peringatan kepada si kecil sebelum keluar rumah dan membuat perjanjian dengan jelas. FOTO Sumber Google

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2020 @ 6:45 AM