BROKOLI antara sayur yang baik untuk daya tahan anak.
BROKOLI antara sayur yang baik untuk daya tahan anak.
Muhamaad Razis Ismail


SISTEM imunisasi memainkan peranan penting untuk melindungi tubuh anak anda daripada pelbagai ancaman penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Muslim Malaysia (PERDIM), Dr Zubaidi Ahmad berkata, untuk itu, ramai ibu bapa mendapatkan makanan tambahan untuk anak mereka.

Katanya, bagaimanapun pengamalan makanan tambahan tidak akan bermakna jika anak masih lagi tidak mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.

Dr Zubaidi mencadangkan beberapa sayur dan buah berkhasiat yang sesuai untuk meningkatkan daya tahan anak selain cara penyediaannya supaya khasiatnya dapat dikekalkan.

Beliau berkata, brokoli antara sayur yang baik untuk daya tahan anak kerana mengandungi serat dan antioksidan yang tinggi.

“Brokoli mengandungi vitamin A, C dan E yang baik untuk kesihatan anak. Cara terbaik ketika menyediakan brokoli adalah dengan membersihkan sayur itu kemudian dikukus bersama nasi dalam periuk yang sama,” katanya.

BAWANG putih mengandungi antibakteria.
BAWANG putih mengandungi antibakteria.

Katanya, selain itu, ibu bapa menggunakan sayur bayam yang mengandungi sebatian allicin yang bersifat antioksidan tinggi.

“Seperti juga brokoli, anda dinasihatkan tidak menumis terlalu lama dan kukus sayur ini bagi mengekalkan nutrisinya,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa juga boleh menggunakan bawang putih dan kunyit dalam masakan kerana sayur-sayuran ini mempunyai khasiat tersendiri.

“Bawang putih mengandungi sebatian allician yang bersifat antibakteria dan antivirus. Jadi, ia bagus dicampurkan sedikit pada makanan anak-anak kita.

“Kunyit pula mengandungi sebatian cucurmin yang bersifat antiradang. Tambahkan lebih kunyit dalam masakan kita agar ia dapat juga dinikmati anak-anak,” katanya.

Menurutnya, betik adalah buah tempatan yang sangat bermanfaat kerana mengandungi sebatian papain, berfungsi sebagai antikeradangan.

“Ia juga mengandung vitamin B, potassium dan asid folat. Tahap vitamin C dalam sebiji betik sangat tinggi,” katanya.

Dr Zubaidi berkata terdapat banyak lagi sayuran dan buahan yang memberi khasiat kepada anak-anak

“Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan melatih anak sejak daripada kecil untuk mengambilnya dalam makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 6:45 AM