PERINCIAN singki simen polos sepadan dengan marmar motif industri.
PERINCIAN singki simen polos sepadan dengan marmar motif industri.
Nurul Husna Mahmud

Mempunyai ruang tambahan di laman belakang rumah satu bonus buat pemilik rumah untuk merancang sudut yang sesuai dengan fungsi berdasarkan keperluan mereka.

Halaman belakang rumah atau 'backyard' sering kali diabaikan dalam penataan ruang kerana berasakan ruang itu tidak begitu penting berbanding laman depan atau dalam rumah.

Hakikatnya ruang itu boleh menjadi 'spot' privasi yang berupaya menawarkan pelbagai fungsi apatah lagi mampu menambah seri kepada rumah dengan tatarias menarik.

Seperti dilakukan ibu kepada empat cahaya mata, Shahiza Othman ini apabila menata hias halaman belakang rumah dengan konsep 'open industrial' atau industri dengan ruang terbuka.

Gabungan dinding bata merah bersama jaringan pagar dan besi hitam 'matte' sebagai material membuatkan ruang berkenaan tidak ubah seperti dekorasi sering dilihat pada ruang santai dalam sebuah kafe.

Jujur apabila menatap setiap perincian pada setiap sudut, nyata wanita berusia 41 tahun itu cukup teliti mengoptimumkan setiap ruang.

KONSEP industri menerusi gabungan bata merah dan besi hitam.
KONSEP industri menerusi gabungan bata merah dan besi hitam.

Kata Shahiza, sebenarnya idea menata hias ruang itu timbul sebagai solusi kepada masalah ruang ampaian yang pada awalnya terletak di depan rumah.

"Saya dan suami, Harzli Barudin, 46, tidak merancang sebarang pengubahsuaian ruang bagi halaman belakang kerana selesa dengan ruang sedia ada sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Masalah bermula apabila saya tidak selesa mengampai pakaian di depan rumah dan melihat pula keadaan ruang dapur ketika itu sangat terhad kerana sebahagian ruang itu menempatkan mesin basuh dan pengering.

"Kebetulan pula ada ruang tambahan di belakang rumah dengan keluasan 7.3 meter x 1.5 meter jadi kami putuskan untuk tranformasi ruang terbabit yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk bagi kerja mendobi,"katanya.

RUANG istirahat menempatkan meja bar dengan bangku potongan tinggi.
RUANG istirahat menempatkan meja bar dengan bangku potongan tinggi.

Menjelaskan pemilihan konsep industri dengan ruang terbuka sebagai pilihan, kata Shahiza, ia bersesuaian dengan kedudukan selain sepadan dengan rekaan keseluruhan rumah yang moden.

"Saya banyak membuat rujukan dengan rekaan bilik dobi menerusi internet dan laman sosial. Kami sesuaikan dengan cita rasa yang mana lebih suka ruang yang terbuka dan konsep industri dirasakan sepadan dengan semua kriteria diinginkan.

"Selain gabungan bata merah dengan jaringan pagar dan besi hitam 'matte,' penggunaan atap polikarbonat menjadi pilihan kerana memberi cahaya yang maksimum.

"Penting juga mengambil kira fungsi ruang ini sebagai ruang dobi bagi keluarga, jadi konsep industri terbuka membantu mewujudkan aliran pengudaraan yang baik," katanya.

SELESA dan kemas.
SELESA dan kemas.

Mengakui ruang baharu itu menjadi antara lokasi kegemaran keluarganya bersantai selain menjadi 'port' pilihan utama melakukan pelbagai aktiviti keluarga.

"Kedudukan di belakang membuatkan ruang ini cukup istimewa yang mana lebih privasi. Boleh dikatakan banyak aktiviti saya, suami dan anak-anak dihabiskan di ruang ini selain dalam rumah.

"Ruang ini turut ada sudut bercucuk tanam dan ruang istirahat selain satu sudut lain untuk kerja mendobi.

"Pendek kata apa sahaja aktiviti keluarga seperti minum petang, membuat kek dan barbeku, semua dilakukan di ruang ini," katanya.

TURUT seimbangkan dengan elemen malar hijau membuatkan ruang lebih ‘organik’ untuk bersantai.
TURUT seimbangkan dengan elemen malar hijau membuatkan ruang lebih ‘organik’ untuk bersantai.

Perincian pada ruang itu turut dilihat apabila Shahiza bijak menyuai padan penggunaan material dan aksesori supaya ruang berkenaan sesuai dengan peranannya.

Dia memilih singki simen polos dengan hiasan marmar yang selari dengan konsep industri. Manakala bagi sudut istirahat ruang itu, dia memilih kayu 'slab' untuk dijadikan meja bar menghubungkan ruang itu dengan dapur.

Gabungan hiasan menyerikan ruang dinding dengan para kayu dan paip hitam agar memberi refleks kepada keseluruhan konsep industri diidamkan.

Shahiza yang juga peminat tumbuh-tumbuhan tidak lupa menyertakan elemen malar hijau pada ruang terbabit.

SUDUT berkebun antara aktiviti dilakukan di ruang belakang rumah Shahiza.
SUDUT berkebun antara aktiviti dilakukan di ruang belakang rumah Shahiza.

Turut berkongsi tip dalam pengubahsuaian ruang belakang lama, saranan beliau ialah supaya mengenal pasti terlebih dahulu tujuan pengubahsuaian bagi mendapat hasil optimun.

"Kena kenal pasti dahulu fungsi utama ruang belakang rumah itu sama ada untuk mendobi, sebagai taman atau dapur basah.

"Berdasarkan fungsi dan peranan itu, kriteria dalam rekaan itu akan dihasilkan. Sebagai contoh kami mahu ruang belakang sebagai ruang mendobi jadi perlu ambil kira pelbagai elemen termasuk mengopitimumkan pencahayaan dan pengudaraan.

"Kedua ialah elemen keselamatan. Rumah kami dalam kawasan berpagar dan sentiasa diawasi. Jadi konsep terbuka boleh dipertimbangkan dalam kerja pengubahsuaian ruang belakang rumah ini.

"Terakhir ialah aspek kebersihan yang mana perlu pastikan ruang itu sentiasa bersih dan kering. Ia membantu menghindari haiwan perosak seperti semut, lipas atau tikus," katanya.

ANAK-anak turut suka melakukan dobi di ruang baharu itu.
ANAK-anak turut suka melakukan dobi di ruang baharu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 6:30 AM