Syafil Syazwan Jefri


PENGHIJRAHAN pelakon, Hannah Delisha yang kini bertudung membuka mata banyak pihak. Rata-rata meluahkan rasa syukur dan mendoakan supaya Hannah terus istiqamah dan terus melakukan kebaikan mengikut tuntutan agama.

Pelakon Singapura yang mencipta nama di Malaysia itu berkata, dia juga tidak terlepas daripada rasa tertanya-tanya sama ada penampilan baharunya ini akan memberi impak kepada kariernya sebagai pelakon.

"Pernah terlintas dalam fikiran, selepas saya bertudung, bagaimana dengan urusan kerja? Mungkin ada kerja tertentu yang saya terpaksa tolak. Namun, saya yakin bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah. Jadi, tak perlu timbul rasa risau kerana saya sentiasa serahkan bab rezeki kepada-Nya," katanya.

Selepas bertudung, Hannah juga mengakui kini semakin tenang menjalani kehidupannya.

"Saya tak perlu lagi risau mengenai rezeki dan sebagainya kerana semuanya sudah diatur dengan baik oleh Allah. Sejujurnya, kehidupan saya juga kini menjadi lebih tenang dari semua sudut," katanya.

Selepas hampir lima bulan bertudung, Hannah berkongsi titik tolak permulaan bagaimana dia mula ingin memakai tudung.

"Kalau diikutkan, saya sudah terdetik untuk memakai tudung agak lama juga. Namun, saya perlu habiskan penggambaran drama Cinta Sekali Lagi. Kalau nak tahu, watak saya sebagai Amanda dalam drama itu yang membuatkan saya rasa lebih ingin bertudung. Saya cakap kepada diri saya, ini masanya untuk saya memakai tudung kerana niat hati saya dah semakin hari semakin kuat," katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengehadkan penerimaan apa-apa watak selepas ini, Hannah tidak menolak itu.

Bagaimanapun, watak antagonis masih akan menjadi pilihannya kerana dia ingin meneroka lebih jauh watak sebegitu.

KINI ingin ceburi bidang perniagaan.
KINI ingin ceburi bidang perniagaan.

"Walaupun kini saya sudah bertudung, itu tidak menjadi penghalang untuk saya terus berlakon dan menerima watak antagonis. Dalam dunia realiti, kita semua sedia maklum bahawa ada juga orang yang bertudung, tetapi memiliki hati yang jahat. Sekiranya lakonan watak yang saya bawakan itu mampu memberi pengajaran kepada penonton, tentunya saya akan terima. Apa pun, semuanya berbalik kepada skrip. Sekiranya skrip itu menarik dan saya minat, tentunya saya akan teruskan," katanya.

Berkongsi mengenai babak intim yang akan dilakonkan selepas ini, Hannah juga punya prinsip tersendiri.

HANNAH akui kini semakin tenang menjalani kehidupannya.
HANNAH akui kini semakin tenang menjalani kehidupannya.

"Untuk melakukan sesuatu babak romantik, pelakon tidak semestinya perlu bersentuhan. Yang penting adalah bagaimana situasi romantik itu dibawakan dan paling penting adalah teknik kamera," katanya.

Kini, Hannah ingin berehat buat seketika menghabiskan 2020 yang bersisa hanya beberapa hari lagi.

Selain itu, dia juga ingin belajar selok-belok perniagaan memandangkan bidang itu juga menjadi salah satu minatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 6:00 AM