CELIK hati tiga jurugambar (kiri) Theng, Vivian dan Rashidi terpilih menghasilkan foto kalendar MSIG 2020.
CELIK hati tiga jurugambar (kiri) Theng, Vivian dan Rashidi terpilih menghasilkan foto kalendar MSIG 2020.
Siti Zarinah Sahib


WALAUPUN tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan namun empat jurugambar ini diibaratkan sebagai ‘celik’ hati apabila mampu menghasilkan foto yang menarik dengan hanya bergantung kepada deria lain untuk menghasilkan imej unik dan luar biasa.

Memiliki tahap penglihatan berbeza bagi Rashidi Abdullah, Vivian Kwek Chu Lan, Svivabalan Selvarajan dan Theng Tze Young memenuhi undangan MSIG Insurance (Malaysia) Bhd bagi menghasilkan kalendar korporat mereka yang dianggap satu pengalaman cukup berharga.

Ini kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk direalisasikan disebabkan setiap gambar perlu memenuhi tema keselamatan jalan raya yang memaparkan 12 gambar berbeza bertujuan membantu masyarakat memikirkan soal keselamatan perjalanan dari sudut berbeza.

Rashidi yang mengalami masalah terowong mata atau penglihatan yang semakin merosot, mula meminati bidang fotografi disebabkan tertarik dengan pelbagai ilusi bentuk dan perspektif.

“Saya tertarik merakamkan kisah baharu berlatar belakangkan manusia dan pelbagai corak yang menarik. Menggunakan keupayaan sendiri berpandukan deria rasa, saya mengambil gambar apa sahaja yang ada di hadapan kemudian menambah baik mengikut kesesuaian,” katanya.

Daya kreativiti Rashidi bukan setakat mengambil gambar, tetapi dia turut menulis buku ‘Monolog Budak Buta’ yang menggabungkan puisi dan fotografi bagi memaparkan pengalamannya sebagai insan kurang upaya. Pada masa sama Rashidi turut berkaliber sebagai penceramah motivasi dan kerap memberi syarahan di pusat tahanan juvana.

FOTO hasil rakaman Vivian.
FOTO hasil rakaman Vivian.

Bagi Vivian pula, walaupun mempunyai tahap penglihatan yang sangat rendah pada waktu malam namun bidang fotografi seakan sudah sebati dalam dirinya sejak bergelar OKU.

Memiliki tahap kepekaan dan ketelitian yang tinggi, Vivian sentiasa berfikiran jauh dan ingin menghasilkan gambar yang akan diingati individu lain.

“Kepakaran saya adalah merakam persekitaran dan gelagat manusia. Saya suka berada di mana sahaja kemudian mengambil setiap pergerakan yang menjadi nadi dalam kerja kreatif saya. Apabila melihat keadaan dunia yang serba pantas ini, ia memberi satu kepuasan kepada saya,” katanya.

Selain menjadi jurugambar Vivian juga adalah penganjur dan penyelaras aktiviti bagi komuniti Orang Kurang Upaya Penglihatan, Kuala Lumpur.

Kekurangan penglihatan yang dialami Svivabalan tidak mengehadkan pergerakannya untuk terus berkarya. Bagi mendapatkan posisi sudut lensa yang menarik dia membataskan penglihatannya kepada bentuk yang kabur serta membuat pengecaman dengan melihat dari jarak sangat dekat.

“Ini yang saya lakukan untuk gambar kalendar MSIG ini apabila menggunakan seluruh keupayaan dan deria pendengaran menghasilkan gambar bertemakan keselamatan jalan raya. Apa yang penting saya dapat menunaikan hasrat penganjur manakala masyarakat mendapat manfaatnya,” katanya.

Sebagai jurugambar, Svivabalan suka berjenaka dan melakukan eksperimen menerusi komposisi luar biasa dalam ruang umum. Svivabalan juga gemar menghabiskan masa terluang dengan bermain catur dan pernah menjadi atlet catur dalam Sukma beberapa tahun lalu. Dia bercita-cita menjadi jaguh catur suatu hari nanti.

FOTO yang dirakamkan Theng.
FOTO yang dirakamkan Theng.

Tidak dapat melihat disebabkan terbabit dalam kemalangan, Theng terpaksa melalui kehidupan dengan berjalan menggunakan tongkat dan gerak hati. Biarpun menempuh pelbagai cabaran, namun semangat ditunjukkannya tidak pernah luntur.

“Saya hanya berpandukan deria sentuh dan dengar. Selain itu, untuk mendapatkan gambar yang cantik saya menggunakan emosi sebagai kanta diri. Gabungan daripada pelbagai deria ini saya dapat melengkapkan gambar yang mereka inginkan,” katanya.

Menurut Svivabalan, pembabitannya dalam bidang fotografi kerana ingin menjadi contoh kepada anaknya dan menunjukkan bahawa dia mampu mengatasi cabaran untuk mencapai impian.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif MSIG Malaysia Chua Seck Guan, sebagai syarikat insurans motor di Malaysia dan penyokong matlamat pembangunan mampan Bangsa-Bangsa Bersatu, MSIG berusaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu keselamatan jalan raya dengan satu matlamat iaitu mengurangkan kemalangan jalan raya menjelang 2020.

“Kalendar ini adalah antara beberapa inisiatif kami untuk memberi perhatian kepada masyarakat. Kami berbesar hati bekerjasama dengan komuniti kurang upaya penglihatan, sekali gus membuka peluang bagi mereka menyertai projek ini. Ramai kalangan OKU berbakat berjaya mengetengahkan karya mereka,” katanya.

Disebabkan semangat serta keupayaan mereka dalam bidang fotografi mereka berempat dipilih daripada program perintis Fotografi Deria yang dianjurkan Pakatan Plus Community (pertama di Malaysia), berdasarkan keupayaan dari segi visualisasi dan konsep.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 4:30 AM