SHAHID
SHAHID
Oleh Siti Zarinah Sahib


BAGI pelajar universiti, melakukan kerja separuh masa atau sambilan bukanlah sesuatu yang asing. Rata-rata mereka tanpa mengira usia dan jantina memilih mencari pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan harian.

Pada masa sama, pekerjaan yang dilakukan memberi peluang kepada bakal graduan merasai pengalaman bekerja sebelum memasuki dunia sebenar pekerjaan.

Bagi penuntut Jurusan Sains dan Biologi Universiti Malaya, Shahid Miloud Aouache dia mengambil upah mencuci rumah sejak setahun lalu bagi menampung perbelanjaan di universiti. Biarpun menyedari tugasan dilakukan bukanlah mudah, namun pendapatan diperoleh lumayan berbanding pekerjaan lain.

“Dalam sehari, saya berjaya memperoleh RM100 ke RM150 dalam masa empat hingga tujuh jam bekerja. Kerja ini dilakukan pada hujung minggu sahaja,” katanya.

Kali pertama bekerja Shahid mengambil upah mencuci rumah warga Jepun di Mont Kiara. Oleh kerana tiada pengalaman sebelum ini dia mengakui berasa janggal.

“Sebelum ini, saya tidak pernah melakukan kerja di rumah seperti mencuci bilik air dan mengelap tingkap. Paling mencabar apabila mencuci bilik air kerana perlu memastikan bilik air kering sebelum beredar. Jadi saya akan mencuci bilik air terlebih dulu sebelum beralih kepada kawasan lain,” imbasnya.

Bijak membahagikan pendapatan yang diperolehnya, Shahid akan membahagikan gaji diterima kepada tiga bahagian iaitu kegunaan harian, simpanan dan pengangkutan.

Untuk harian, dia menggunakan antara RM5 hingga RM10 bagi membeli makanan. Keperluan seperti nota, dia akan menyalin semula bagi menjimatkan kos percetakan manakala pakaian dicuci sendiri.

“Perbelanjaan saya seminggu antara RM35 sehingga RM40. Memang saya dapat berjimat apabila membasuh pakaian dan menyalin nota di kelas,” katanya.

Menggunakan motosikal sebagai pengangkutan harian dan ke kelas, menurut Shahid, dia memperuntukkan RM100 untuk minyak dan penyelenggaraan bulanan. Ini kerana pada hujung minggu dia mengelak menggunakan motosikal bagi menjimatkan minyak.

“Jika tidak beringat saya khuatir bajet untuk motosikal akan meningkat dan ini sudah tentu mempengaruhi kewangan saya. Paling penting saya perlu menulis keperluan dan juga simpanan agar mudah membahagikan pendapatan bulanan,” katanya.

Setakat ini, anak muda ini menyimpan RM10 atau RM15 pada setiap bulan. Jika diikutkan jumlahnya memang sedikit tetapi berpegang kepada prinsip sedikit lama-lama jadi bukit, dia terus konsisten menyimpan.

“Bagi saya jumlah itu tidak penting. Apa yang harus diberi perhatian adalah konsisten membuat simpanan,” jelasnya yang memperoleh RM100 sehingga RM150 pada setiap minggu dan jumlah ini digunakan sepenuhnya untuk membiayai kos bulanan di kampus.

Menurut Shahid, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, apabila kesukaran mendapat pekerjaan menjadi masalah utama dia menasihati rakan seusia atau lepasan universiti supaya tidak memilih kerja.

“Cuba apa sahaja kerjaya yang menjanjikan rezeki halal. Banyak yang boleh dilakukan seperti mencuci rumah, menjadi pemandu e-hailing dan menghantar makanan. Semua pekerjaan ini menjanjikan pendapatan halal asalkan rajin melakukannya. Contohnya kerja mencuci rumah nampak kotor dan memenatkan tetapi sebenarnya tidak. Jika sudah biasa ia tidak membebankan,” katanya.

TIP MENYIMPAN:

1. Ada niat yang betul, fokus dan konsisten menabung setiap hari demi mencapai matlamat yang diinginkan.

2. Asingkan duit RM5 dan RM20 dan simpan terus. Jika terguna anda wajib menggantikan semula duit itu dengan dua kali ganda.

3. Tetapkan sasaran berapa lama anda ingin menabung, yang terbaik adalah selama setahun sebab anda akan mendapat hasil yang memuaskan.

4. Perlu istiqamah menabung setiap hari, bukan menabung sebulan RM100 tetapi hanya sekali. Buat setiap hari lama kelamaan akan timbul sifat suka menabung.

5. Setiap awal bulan, kira jumlah duit terkumpul. Daripada jumlah itu asingkan sedikit untuk sedekah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 5:00 AM