PILIH gaya ringkas, mudah dengan bedak asas betul.
PILIH gaya ringkas, mudah dengan bedak asas betul.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


TAMPIL dengan gaya solekan berlainan ketika berkumpul bersama rakan tentunya mencipta suasana berbeza. Ketepikan padanan kasual dan solekan manis.

Sebagaimana fesyen berubah mengikut musim, anda juga perlu mengenal lebih banyak gaya solekan sama ada ringkas mahupun bertema.

Lazimnya, kita melihat wanita bergaya sakan apabila mendapat jemputan ke majlis dan keraian tertentu. Ketika inilah mereka melaram baju baru, mengenakan solekan tebal dan memakai aksesori kepala.

Konsepnya tidak banyak berbeza apabila kita merancang berkumpul bersama rakan dan bersantai dalam suasana majlis yang ringkas serta funki. Hanya suai padan pakaian sedia ada dan riaslah wajah dengan solekan segar.

Menurut jurumekap artis, Albin Hassan (@albin_hassan) pemilihan gaya dan solekan ringkas mudah menyerlah asalkan menggunakan teknik dan sapuan bedak asas yang betul.

“Mulakan solekan dengan semburan pelembap wajah atau krim pelembap biasa dan biarkan ia benar-benar meresap jauh ke lapisan kulit.

“Kemudian ratakan bedak asas, diikuti bedak tabur dan pemerah pipi jenis krim. Sebaik-baiknya, pilih rona pic supaya solekan tampak segar dan semula jadi,” katanya.

Jelas Albin, bagi wanita bermata sepet atau kecil, solekan di bahagian mata memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada mekap dibuat menjadi atau sebaliknya.

“Saya pilih gaya ‘edgy’. Jadi, kita akan sapu pembayang rona coklat pada bahagian hujung kelopak mata. Selepas itu, adun sapuan bersama sedikit pembayang rona oren dan emas.

“Bentukkan hujung mata menggunakan penggaris untuk menyerlahkan lagi gaya ‘edgy’ ini. Selesai bahagian mata, barulah kening dibentuk dan bibir disapu gincu,” katanya.

Kata Albin, gaya solekan ‘sunkissed’ ini bukan saja sesuai untuk majlis santai dan funki, bahkan boleh melengkapkan penampilan ‘edgy’ atau dijadikan mekap pentas peragaan.

“Solekan ini juga banyak menggunakan rona oren dan pic, sesuai untuk gaya musim bunga dan panas. Elakkan membentuk wajah secara keterlaluan kecuali jika perlu,” katanya.

Langkah demi langkah

1. WAJAH sebelum disolek.

2. RATAKAN bedak asas, diikuti bedak tabur dan pemerah pipi jenis krim.

LANGKAH 1 dan 2
LANGKAH 1 dan 2

3. SAPU pembayang mata warna coklat dan adun bersama sedikit rona oren dan emas.

4. BENTUKKAN kening dan sapu garis mata. Sempurnakan dengan maskara.

LANGKAH 3 dan 4
LANGKAH 3 dan 4

5. ADUN gincu rona oren dan pic untuk lebih menyerlah.

LANGKAH 5
LANGKAH 5

6. PADANAN solekan untuk melengkapkan gaya funki.

LANGKAH 6
LANGKAH 6

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 5:00 AM