RUANG kerja yang memenuhi cita rasa pembeli.
RUANG kerja yang memenuhi cita rasa pembeli.
Hafiz Ithnin


Sunway Property melancarkan galeri jualannya untuk rumah ikonik terbaharunya, Sunway Velocity 3 baru-baru ini dan akan mengadakan pratinjauan jualan fasa pertama pada suku kedua tahun ini.

Terletak di Kuala Lumpur, Fasa 1 pembangunan ini terdiri daripada dua blok kediaman perkhidmatan yang meliputi 1.38 hektar (3.43 ekar) tanah, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.28 bilion. Pembangunan ini akan dihubungkan ke laluan pejalan kaki dari Sunway Velocity Mall.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property, Chong Sau Min berkata, pembangunan itu direka khas untuk golongan pekerja di kawasan Kuala Lumpur, profesional muda, keluarga kecil, pembeli rumah kali pertama dan pelabur.

"Sunway Velocity 3 sebagai sebahagian daripada bandar bersepadu Sunway Velocity, menawarkan ketersambungan dan akses yang unggul kepada kemudahan gaya hidup.

"Kami menjangkakan permintaan yang kukuh daripada pembeli yang mencari rumah mampu dimiliki dan selesa untuk kediaman mereka," katanya.

Pratinjauan Sunway Velocity 3 itu mengikuti kejayaan pelancaran Sunway Velocity dan Sunway Velocity TWO apabila semua unit kediaman terjual sepenuhnya. Unit komersial di Sunway Velocity dan Sunway Velocity TWO juga sudah disewa sepenuhnya.

Katanya, pihaknya menerima sambutan yang baik bagi kedua-dua pembangunan ini berikutan infrastruktur, pengangkutan awam dan kemudahan yang dirancang dengan baik.

SUNWAY bakal memperkenalkan Sunway Velocity 3 pada suku kedua tahun ini.
SUNWAY bakal memperkenalkan Sunway Velocity 3 pada suku kedua tahun ini.

"Sunway Velocity 3 bersambung ke Sunway Velocity dan Sunway Velocity TWO melalui jambatan penghubung di mana semua kemudahan gaya hidup sedia ada iaitu Sunway Velocity Mall dengan lebih daripada satu juta kaki persegi ruang runcit, hiburan, makanan dan tempat rekreasi. Selain Pusat Perubatan Sunway Velocity, Kolej Sunway @ Velocity, Hotel Sunway Velocity, ruang runcit dan pejabat taman rekreasi," katanya.

Jelasnya, pembangunan itu bersambung terus dengan stesen transit aliran massa (MRT) dan transit aliran rtingan (LRT). Ia terletak hanya 470 meter (m) ke Stesen MRT Cochrane yang membolehkan mobiliti tanpa kereta, penjimatan masa dan pengurangan kos pengangkutan, sambil meminimumkan pencemaran.

"Ia juga terletak hanya satu stesen dari Hab Kewangan Tun Razak Exchange (TRX) yang dianggarkan menempatkan lebih daripada 45,000 profesional, ekspatriat dan pemilik perniagaan. Ini dijangka meningkatkan potensi pelaburan untuk unit-unit di Sunway Velocity 3," katanya.

Tambahnya, beberapa ciri-ciri unik yang terbina dalam rumah adalah kunci pintu pintar iaitu kunci digital yang disambungkan ke aplikasi telefon pintar untuk pengalaman sistem kunci yang lancar dan mudah.

"Tambahan pula, setiap bilik dilengkapi dengan sub-meter untuk pemantauan penggunaan tenaga yang tepat. Ciri-ciri ini meningkatkan nilai unit untuk pembeli yang ingin memaksimumkan pulangan sewa.

"Penyewa rumah akan peroleh pengurusan dan pemantauan bagi penggunaan bulanan dengan lebih mudah serta penyediaan kemudahan yang lebih baik," katanya.

BILIK kanak-kanak yang selesa.
BILIK kanak-kanak yang selesa.

Tambahnya, direka dengan falsafah reka bentuk Sunway Property yang unik, Sunway Design and Development Architecture (SDDA), pembangunan itu menyediakan ciri-ciri kemampanan, inovasi, kesihatan dan kesejahteraan serta gaya hidup serta pengalaman baharu yang tiada tandingan kepada komuniti yang menetap.

Menerusi rekaan bentuk mesranya, ia dapat memberi kemudahan akses kepada warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya dengan ciri-ciri yang tersedia ada seperti tanjakan di ruang legar, ruang tamu dan bilik mandi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:11 AM