LOKASI perumahan perlu diambil kira dalam pelaburan hartanah.
LOKASI perumahan perlu diambil kira dalam pelaburan hartanah.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MEREKA yang membeli rumah pertama untuk diduduki, lazimnya membeli hartanah kedua atau ketiga bagi tujuan pelaburan.

Perancangan dibuat, disusuli dengan penyelidikan menerusi pembacaan dalam pelbagai portal hartanah dalam talian mengenai pelaburan hartanah.

Namun, pelaburan hartanah boleh menjadi rumit sekiranya kurang jelas dengan prosesnya.

Terdapat beberapa kesilapan utama dalam pelaburan hartanah sebagai langkah berhati-hati sebelum memutuskan keputusan muktamad membuat pelaburan berkenaan.

1. Tiada perancangan jangka panjang

Membeli rumah bertanah atau bertingkat untuk disewakan dan kemudian dijual selepas beberapa tahun, kelihatan mudah.

Namun, realiti adalah sebaliknya meskipun mempunyai modal. Ini kerana aktiviti itu membabitkan beberapa proses yang boleh bertukar kepada rumit sekiranya tiada penelitian.

Antara perkara yang perlu diketahui dan dirancang untuk membeli hartanah sebagai pelaburan ialah kos bagi pembelian rumah, kos penyelenggaraan, kelayakan membeli rumah dan kesesuaian lokasi.

2. Tidak menyelidik prestasi pemaju hartanah

Perkara ini penting untuk mengetahui kedudukan pemaju berkenaan sama ada disenarai hitam kerajaan atau tidak.

Sekarang banyak isu pemaju hartanah tidak bertanggungjawab seperti ada projek terbengkalai, gagal bayar saman tertunggak dan tidak hormat Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR).

Ini kerana pelaburan hartanah adalah pelaburan yang besar dan tindakan tidak menyelidik prestasi pemaju hartanah boleh mengundang masalah besar di kemudian hari.

3. Tidak memahami pelaburan secara teliti

Terdapat pelbagai perkara yang perlu diketahui sebelum menceburi pelaburan hartanah.

Kegagalan membuat kajian dan strategi pelaburan hartanah boleh mengundang risiko besar jika perancangan itu gagal.

Justeru, perlu ringan mulut bertanya kepada individu yang mahir berkaitan hartanah sebagai panduan dan mengelakkan kesilapan.

4. Membeli hartanah melebihi kemampuan

Perkara ini penting supaya mampu membayar ansuran bulanan rumah secara konsisten.

Kegagalan pembayaran hartanah boleh menyebabkan seseorang jatuh muflis.

Oleh itu, beberapa perkara boleh dilakukan untuk memastikan kewangan stabil.

Antaranya memastikan mempunyai simpanan kecemasan yang mampu membayar tanggungan selama enam hingga 12 bulan.

Selain itu, memastikan juga bayaran rumah tidak melebihi kemampuan bulanan.

5. Gagal mengambil kira pasaran hartanah

Pastikan anda menyemak faktor-faktor yang mempengaruhi nilai pelaburan.

Antaranya adalah keadaan pasaran hartanah semasa, undang-undang berkaitan hartanah, lokasi hartanah, sistem percukaian yang diguna dan cukai keuntungan hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 6:20 PM