SERVIS kondominium serba lengka menjadi pilihan Mohd Helmy.
SERVIS kondominium serba lengka menjadi pilihan Mohd Helmy.
Hafiz Ithnin


SELAMA dua tahun pemuda berusia 32 tahun ini membuat tinjauan produk kediaman pertama yang berbaloi untuk dimilikinya.

Hakikatnya, dia menyedari bahawa membeli kediaman memerlukan percaturan yang betul supaya produk hartanah yang dimiliki tidak membebankan dan mampu memberi pulangan yang baik pada masa depan.

Ternyata selepas dua tahun dia membuat tinjauan produk hartanah di sekitar Kuala Lumpur, akhirnya sebuah unit kediaman kondominium servis berjaya memikat hatinya.

Bagi Mohd Helmy Mohd Yasim, dia merasa puas apabila kediaman pertama yang baharu sahaja didiaminya sejak Ogos lalu itu sudah mendapat pertanyaan daripada orang ramai yang ingin menyewa.

Lokasi strategik kediaman, reka bentuk dan kemudahan di dalam kediaman menjadi faktor yang mampu menarik perhatian penyewa pada masa depan.

"Setakat ini saya tidak bercadang untuk menyewakan kediaman ini memandangkan ia adalah rumah pertama

saya. Bukan mudah untuk mendapatkan kediaman ini kerana ia mempunyai pelbagai aspek yang menarik untuk dimiliki selain paling penting ialah harganya yang berpatutan.

"Saya membeli kediaman ini pada RM385,000 iaitu sebuah kediaman yang mempunyai dua bilik tidur. Ia sesuai untuk golongan bujang seperti saya," katanya.

Jelasnya, kediaman itu terletak di kawasan tengah-tengah Kuala Lumpur adalah amat berbaloi untuk dimiliki dan ia mempunyai nilai tinggi untuk pelaburan pada masa depan.

Tambahnya, antara faktor dia tertarik dengan kediaman itu kerana lokasinya yang mempunyai persekitaran hijau, meskipun terletak di kawasan Bangsar South, Kuala Lumpur.

RUANG lobi yang mewah menjadikan produk hartanah lebih prestij.
RUANG lobi yang mewah menjadikan produk hartanah lebih prestij.

"Persekitaran rumah saya ini agak tenang kerana ia berada dekat dengan hutan eko rimba. Lokasi sekitarnya menjadi tarikan kepada orang ramai untuk beriadah. Jadi apabila kediaman ini dikelilingi kawasan hijau, ia memberi satu nilai tambah kepada pembeli.

"Selain itu, kondominium servis ini mempunyai kemudahan yang lengkap seperti sebuah resort menjadikan kami penduduk tidak perlu keluar dari kawasan ini untuk melakukan aktiviti riadah seperti ke gimnasium dan berenang," katanya yang juga seorang doktor.

Helmy berkata, disebabkan faktor persekitaran hijau kediaman dan kemudahan di dalam kawasan strata yang lengkap, kebanyakan unit sudah banyak mendapat pertanyaan daripada penyewa.

"Rumah ini baharu siap sepenuhnya pada sekitar Julai lalu dan harga sewaan bagi sebuah unit yang dilengkapi dua bilik tidur seperti rumah saya ini sekitar RM1,800.

KEDIAMAN yang sesuai untuk pembeli bujang.
KEDIAMAN yang sesuai untuk pembeli bujang.

"Jadi bagi saya ia satu pelaburan yang berbaloi untuk pembeli rumah pertama yang membeli produk hartanah di kawasan ini," katanya.

Jelasnya, antara tarikan lain dia membeli kediaman itu adalah tawaran pelbagai kelengkapan kediaman rumah yang sudah disediakan pemaju untuk pembeli.

"Antara barangan percuma yang saya dapat daripada pemaju adalah set televisyen, mesin basuh, kabinet dan mesin pengering pakaian. Jadi bagi saya barangan keperluan ini memberi penjimatan kepada pembeli apabila sudah mendapat kunci.

BILIK tidur utama yang muat untuk katil bersaiz king.
BILIK tidur utama yang muat untuk katil bersaiz king.

"Selain itu, saya juga tidak perlu melakukan kerja-kerja pengubahsuaian yang besar kerana rekaan dalaman sudah berada dalam keadaan yang menepati dengan cita rasa peribadi," katanya.

Ketika ditanya mengenai tempoh masa selama dua tahun untuk mendapatkan kediaman yang diinginkan, katanya, dia tidak mahu mengambil tindakan yang terburu-buru untuk membeli kediaman memandangkan ia membabitkan komitmen kewangan yang tinggi dan jangka masa lama.

"Jadi saya membuat banyak kajian dan tinjauan awal terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli kediaman. Perkara ini penting supaya saya tidak berdepan dengan pengurusan aliran kewangan yang tidak baik selepas membeli rumah pertama.

"Selain itu, saya juga perlu pastikan kediaman yang dibeli bakal mempunyai harga sewaan yang baik. Perkara ini penting kerana saya bercadang untuk menjadikan rumah pertama ini sebagai sate aset pelaburan pada masa depan," katanya.

"Lebih menarik kediaman ini meskipun ia berada di kawasan utama di Bangsar South, statusnya adalah pegangan bebas. Perkara ini menjadikan salah satu faktor saya memuktamadkan keputusan untuk memilikinya walaupun keluasannya hanya 518 kaki persegi sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 7:00 AM