BILIK untuk tetamu.
BILIK untuk tetamu.
MENASIHATI pembeli kediaman supaya sentiasa melihat proses renovasi yang dilaksanakan oleh kontraktor.
MENASIHATI pembeli kediaman supaya sentiasa melihat proses renovasi yang dilaksanakan oleh kontraktor.
Oleh Hafiz Ithnin


"JANGAN termakan dengan cakap orang ketika hendak membeli hartanah kerana anda yang akan mengeluarkan perbelanjaan dan menanggung segala risiko," kata lelaki berusia 34 tahun ini.

Baginya tidak ada perkara yang paling puas apabila dapat memiliki kediaman sendiri dan menata hias kediaman mengikut cita rasa dia sekeluarga.

Antara perkara yang paling menarik perhatian penulis ketika menemu bual si pemilik nama, Faid Razali sebagai kisah utama ruangan Pemilik dan Pemaju (P&P) Harian Metro ini apabila beliau menekankan aspek kemampuan sebagai perkara utama dalam pemilikan hartanah.

Bermakna, perlu bukan hanya mampu dari segi bayaran ansuran bulanan juga menyediakan perbelanjaan tertentu sebaik sahaja mendapat kunci selepas kediaman itu siap sepenuhnya.

"Membeli rumah ini bukan membabitkan wang yang seringgit dua tetapi beratus ribu, jadi apabila kita hendak memilikinya perlu mempunyai perancangan yang baik.

"Bersandarkan kepada pengalaman saya sebagai pembeli rumah pertama melihat aliran wang tunai sebagai perkara paling mustahak dan menyusun strategi bagi memastikan kediaman yang bakal dihuni sempurna," katanya.

Baharu sahaja mendapat kunci kediamannya pada Julai dan mula mendiami pada Oktober tahun lalu, Faid melihat proses membeli kediaman teres dua tingkat dengan keluasan di dalam rumah 1,200 kaki persegi itu amat mudah kerana segala-galanya diuruskan pihak pemaju.

MENERAPKAN konsep laluan angin semula jadi dalam renovasi kediaman.
MENERAPKAN konsep laluan angin semula jadi dalam renovasi kediaman.

Katanya, rebat yang ditawarkan pemaju memberi kemudahan kepadanya untuk tidak mengeluarkan wang bagi 10 peratus deposit pembelian hartanah itu.

"Selebihnya saya mengeluarkan wang di dalam akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membayar kos lain.

"Jika bercakap mengenai membeli rumah ia sememangnya menggunakan wang yang banyak terutama untuak menyediakan kelengkapan di dalamnya. Apatah lagi, saya sudah mempunyai keluarga, sudah tentu perlukan kelengkapan rumah bersesuaian," katanya.

Suami kepada Intan Hasbullah itu mengakui dia juga tidak kisah jika orang memperkatakan mengenai jarak tempat kerja dan kediaman yang dilihat jauh.

BAHAGIAN dapur milik keluarga Faid.
BAHAGIAN dapur milik keluarga Faid.

"Saya bekerja di Kuala Lumpur dan kediaman ini terletak di Senawang, Negeri Sembilan. Isteri pula bertugas di Kuala Pilah dan lokasi kediaman sebenarnya terletak di tengah-tengah.

"Walaupun ada yang berpendapat ia jauh dan mungkin membabitkan kos pengangkutan tetapi sebenarnya bagi saya bukan suatu halangan kerana harga serta produk hartanah ini sesuai dengan pendapatan saya dan kedua, persekitarannya," kata anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu.

Katanya, persekitaran kediamannya yang menawarkan pemandangan hijau kerana terletak berhampiran hutan simpan memberikan nilai tambah paling menarik.

Jelasnya, sebagai individu yang membesar di kawasan bandar pastinya persekitaran hijau dan jauh dengan kesesakan menjadi pilihan.

BAHAGIAN hadapan rumah yang menerapkan konsep ringkas dan industri.
BAHAGIAN hadapan rumah yang menerapkan konsep ringkas dan industri.

"Tambahan, lokasinya juga sudah serasi dengan kami sekeluarga kerana sebelum ini kami menyewa di Seremban dan sebelum membelinya saya melihat kemudahan asas seperti sekolah serta hospital begitu dekat.

"Jadi sebelum membelinya, saya ada buat 'risikan' terlebih dahulu bukan sahaja mengenai produk hartanah itu sendiri tetapi mengenai sejarah pemaju kerana kita khuatir selepas siap akan mempunyai masalah kediaman rosak," katanya.

Faid berkata, bagi memastikan kos melengkapkan kediaman tidak kelihatan begitu tinggi selepas mendapat kunci, dia membeli barangan berkenaan sedikit demi sedikit selepas menandatangani perjanjian jual beli.

"Hampir dua tahun juga saya kumpul beli barangan kelengkapan rumah kerana ingin memastikan tidak mengeluarkan wang yang begitu banyak selepas mendapat kunci.

KEDIAMAN yang mempunyai ruang santai di bahagian atas untuk keluarga.
KEDIAMAN yang mempunyai ruang santai di bahagian atas untuk keluarga.

"Selain itu, apabila projek kediaman siap pastinya akan memerlukan kita untuk membuat renovasi dan di situ ada kos tambahan. Jadi begitu penting dalam menyusun strategi supaya tidak sekali gus perlu membayar pelbagai perkara membabitkan kediaman baharu," katanya mengakhiri perbualan.

BILIK utama Faid yang kemas.
BILIK utama Faid yang kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 6:50 AM