LIHAT sendiri kediaman hendak dibeli sebelum ambil sebarang keputusan.
LIHAT sendiri kediaman hendak dibeli sebelum ambil sebarang keputusan.
Hartini Mohd Nawi


HARTANAH lelong turut membabitkan kediaman yang dijual pihak bank secara lelongan seperti flat, apartmen, banglo dan sebagainya.

Terdapat beberapa kelebihan membeli hartanah lelong dan salah satunya adalah harga yang lebih baik.

Membida rumah yang dijual pada lelongan bermakna anda dapat membeli rumah pada harga yang lebih rendah berbanding kadar pasaran.

Bermakna anda dapat memiliki rumah yang lebih besar atau di lokasi pilihan anda.

Jadi apabila anda dapat membeli rumah pada harga jauh lebih rendah daripada yang dijangkakan, lebihan wang yang ada boleh digunakan untuk pengubahsuaian atau dekorasinya.

Kelebihan kedua adalah kadar komisen rendah. Jika anda memilih untuk menggunakan ejen atau wakil lain (seperti peguam) bagi membida di lelongan, anda biasanya akan membayar mereka peratusan komisen yang lebih rendah.

Berbanding dengan membeli rumah melalui saluran biasa, anda akan dapat menikmati penjimatan kos yang lebih tinggi.

Jika anda mahukan harga yang lebih baik? Pergi ke tempat lelongan dan buat tawaran bida pada hartanah yang anda mahukan dengan sendiri.

Bagaimanapun, disenaraikan juga beberapa kekurangan jika anda membeli hartanah lelong.

Paling utama, anda perlu lakukan kajian menyeluruh. Sekiranya anda tidak mengetahui berkenaan pasaran perumahan, anda perlu melakukan penyelidikan yang banyak sebelum dapat membeli rumah lelong.

Anda perlu memahami topik rumah lelong ini dari segi undang-undang, cara pemeriksaan yang betul, jenis hak milik rumah yang dilelong dan bagaimana untuk mendapatkan maklumat bank yang memiliki hartanah itu.

Penting juga untuk mengetahui siapa yang memegang hak milik hartanah dan meminta pengisytiharan jualan yang mana akan memberikan anda pelbagai maklumat termasuk sejarah hartanah itu.

Mempunyai pengetahuan mendalam mengenai proses dan latar belakang lelongan hartanah akan mengurangkan risiko untuk anda sebagai pembeli.

Dari segi pembidaan bagi hartanah lelong pula, anda perlulah menghadiri lelongan dan prosesnya yang bukan sekadar memunculkan diri pada hari itu sama ada secara sendiri atau dalam talian semata-mata.

Anda perlu mendaftar untuk lelongan dan berbincang dengan bank berkenaan niat anda untuk membeli rumah lelong.

Ini kerana anda perlu menyediakan bank draf bernilai 10 peratus dari harga rizab hartanah itu (harga terendah yang dapat diterima) yang akan disenaraikan secara terbuka oleh rumah lelongan.

Seterusnya pada hari lelongan, anda perlu memahami terma dan syarat jualan yang akan diberi bersama nombor lelongan anda dan bersiap sedia untuk membida apabila pelelong mengumumkan hartanah yang anda mahukan.

Jangan lupa harga maksimum yang anda sanggup bayar dan kawal diri anda jika terdapat persaingan untuk hartanah itu.

Jika boleh, hadiri lelongan yang mempunyai beberapa hartanah yang anda minati supaya peluang untuk anda menang adalah lebih tinggi.

Begitu juga dengan komplikasi yang tidak dijangka. Walaupun komplikasi boleh timbul dengan mana-mana jualan

rumah, mungkin terdapat komplikasi yang lebih banyak daripada biasa jika anda membeli hartanah lelong.

Komplikasi yang biasa termasuk tidak mengetahui dengan lebih awal bahawa kaveat sudah ditempatkan pada rumah oleh pihak ketiga.

Ini bermakna bahawa orang lain yang berminat dengan rumah lelong yang sama sudah memfailkan dokumen undang-undang yang dipanggil kaveat, pada rumah itu.

Keadaan ini boleh menyebabkan jualan rumah tergendala selama berbulan-bulan dan pinjaman rumah untuk hartanah itu akan menjadi sangat sukar untuk diperoleh.

Lagi satu kesulitan adalah mengetahui bahawa bank anda tidak dapat melanjutkan pembiayaan yang anda pilih disebabkan jenis pajakan hartanah itu.

Selain itu, mendapatkan pengisytiharan jualan akan memberikan maklumat berkenaan dan ia adalah langkah yang sangat penting serta tidak boleh dilepaskan jika anda ingin membeli rumah lelong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 6:45 AM