PROJEK pembinaan perlu patuhi SOP ditetapkan.
PROJEK pembinaan perlu patuhi SOP ditetapkan.
Muhamaad Razis Ismail


PADA 11 Julai lalu, bidang hartanah negara dikejutkan dengan pemergian Peguam Hartanah dan Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-Literasi), Salkukhairi Abd Sukor.

Allahyarham sepanjang hayatnya adalah seorang yang gemar membuat kebajikan melalui perkongsian di dada akhbar dan media sosial berkaitan perundangan hartanah.

Ruangan P&P akhbar ini juga tidak terkecuali memaparkan perkongsian Allahyarham.

Buat kali terakhir, berikut salah satu perkongsian menerusi temu bual penulis bersama Allahyarham baru-baru ini:

Setiap urusan jual beli rumah dalam pembinaan adalah tertakluk kepada perjanjian jual beli yang mengguna pakai Jadual G & H Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) (Pindaan) 2015.

Klausa 24 Jadual G & Klausa 25 Jadual H dengan jelas menyatakan bahawa pemaju hendaklah 'menyerahkan milikan kosong rumah dalam tempoh masa 24 bulan (rumah 'landed') dan 36 bulan (rumah strata) mulai daripada tarikh perjanjian jual beli.

Tiada pengecualian dinyatakan secara spesifik dalam klausa itu .

Klausa 9 pula menyatakan bahawa masa adalah intipati terhadap kontrak 'essence of the contract' berkaitan dengan semua peruntukkan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli itu.

Berdasarkan peruntukan itu, pemaju wajib menyiapkan pembinaan rumah dan menyerahkan milikan kosong dalam tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian tanpa sebarang alasan atau pengecualian.

Hal ini memandangkan masa yang dinyatakan adalah intipati terhadap perjanjian dan perlu dipatuhi pemaju.

BANYAK projek perumahan terkena tempias Covid-19.
BANYAK projek perumahan terkena tempias Covid-19.

Oleh yang demikian, secara dasarnya, sekiranya pemaju gagal menyerahkan milikan kosong rumah dalam tempoh dinyatakan, maka Klausa 24 dan 25 Jadual G dan H dengan jelas menyatakan bahawa pemaju perlu menjelaskan ganti rugi kelewatan terhadap pembeli.

Bagaimanapun, tidak adil untuk meletakkan liabiliti kelewatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu kepada pemaju sepenuhnya berikutan pandemik mengakibatkan kerja pembinaan terganggu.

Tambahan pula pembeli yang membuat pembiayaan bank untuk membeli rumah mendapat moratorium selama enam bulan daripada bank (kecuali pembeli yang membuat pembiayaan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam).

Demi menjaga keharmonian dan hak serta kepentingan kedua-dua pihak, kerajaan menggubal satu akta khusus yang dikenali sebagai Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 (atau dikenali juga sebagai Akta Covid-19 2020).

Akta itu digubal untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi, individu dan syarikat di negara ini.

Malah, akta itu mula berkuat kuasa pada 23 Oktober tahun lalu dan terus kekal berkuat kuasa bagi tempoh dua tahun dari tarikh itu dan ia boleh dilanjutkan Perdana Menteri lebih dari sekali.

Antara peruntukan penting yang terdapat dalam akta itu adalah berkenaan isu penyerahan milikan kosong rumah oleh pemaju dalam tempoh PKP dan ganti rugi kelewatan serahan milikan kosong terhadap pembeli.

AKTA Covid-19 2020 membantu pemaju dan pembeli.
AKTA Covid-19 2020 membantu pemaju dan pembeli.

Seksyen 35 akta itu menyatakan, tempoh mulai dari 18 Mac ingga 31 Ogos tahun lalu tidak akan diambil kira untuk pengiraan tempoh serahan milikan kosong rumah atau pengiraan ganti rugi jumlah tertentu (LAD).

Bagaimanapun, perlaksanaan akta ini berkuat kuasa sehingga tahun depan dan boleh dilanjutkan oleh Perdana Menteri dari semasa ke semasa.

Terdapat beberapa pengecualian dinyatakan dalam Seksyen 37 dan 38 akta terbabit.

Sekiranya dalam tempoh pengecualian itu sudah difailkan prosiding tuntutan, atau sudah dikeluarkan suatu perintah, penghakiman, 'award' berkenaan bayaran caj lewat bayar atau bayaran LAD atau bayaran caj lewat atau LAD itu sudah dijelaskan, maka peruntukan dalam akta ini tidak akan menjejaskan prosiding, perintah, penghakiman, award dan bayaran yang sudah dijelaskan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 6:35 AM