PEMAJU wajib siapkan dalam tempoh ditetapkan.
PEMAJU wajib siapkan dalam tempoh ditetapkan.
Muhamaad Razis Ismail


PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa sektor terkesan.

Antara yang terjejas adalah projek perumahan yang sedang dan akan dijalankan.

Situasi ini sudah pasti mengakibatkan rumah tidak dapat diserahkan kepada pemilik seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli.

Persoalan yang timbul sama ada pemaju perlu terus bertanggungjawab dengan menjelaskan ganti rugi kelewatan kepada pembeli sedangkan ia tidak dapat beroperasi seperti biasa berikutan PKP.

Peguam hartanah, Salkukhairi Abd Sukor berkata, perlu difahami, setiap urusan jual beli rumah dalam pembinaan adalah tertakluk kepada perjanjian jual beli yang menggunapakai Jadual G & H Peraturan-peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) (Pindaan) 2015.

Katanya, klausa 24 Jadual G & Klausa 25 Jadual H dengan jelas menyatakan bahawa pemaju hendaklah menyerahkan milikan kosong rumah dalam tempoh 24 bulan (rumah atas tanah) dan 36 bulan (rumah strata) mulai daripada tarikh perjanjian jual beli.

“Klausa 9 pula menyatakan bahawa masa adalah intipati terhadap kontrak (essence of the contract) berkaitan dengan semua peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli itu.

“Apa yang dapat difahami daripada peruntukan ini adalah pemaju wajib menyiapkan pembinaan rumah dan menyerahkan milikan kosong dalam tempoh ditetapkan dalam perjanjian tanpa sebarang alasan atau pengecualian memandangkan masa yang dinyatakan adalah intipati terhadap perjanjian dan perlu dipatuhi pemaju.

“Oleh yang demikian, sekiranya pemaju gagal menyerahkan milikan kosong rumah dalam tempoh dinyatakan, maka Klausa 24 dan 25 Jadual G & H dengan jelas menyatakan pemaju perlu menjelaskan ganti rugi kelewatan kepada pembeli,” katanya.

Menurutnya, mengambil kira faktor kelewatan itu disumbangkan oleh faktor Covid-19 yang menyebabkan kerajaan melaksanakan PKP mengakibatkan kerja pembinaan terganggu mungkin tidak adil untuk meletakkan liabiliti kelewatan dalam tempoh PKP itu kepada pemaju sepenuhnya.

“Tambahan pula pembeli yang membuat pembiayaan bank untuk membeli rumah itu sudah mendapat moratorium selama enam bulan daripada bank (kecuali pembeli yang membuat pembiayaan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam),” katanya.

Beliau mencadangkan demi menjaga keharmonian dan hak serta kepentingan kedua-dua pihak, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) campur tangan dalam hal ini.

“Berdasarkan peruntukan dalam Seksyen 24 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlsesenan) 1966, menteri boleh menggunakan kuasa yang diberikan untuk membuat peraturan yang berkaitan demi keadilan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan masalah itu.

“Ini kerana apa yang berlaku ini adalah di luar jangkaan kedua-dua pihak. Justeru campur tangan kerajaan dalam isu ini amat diharapkan sebagai jalan keluar untuk mengatasi kemelut yang berlaku.

“Bagaimanapun, sehingga satu peraturan atau undang-undang khusus digubal kerajaan berkaitan isu di atas, peruntukan undang-undang yang sedia ada yang saya nyatakan di atas dianggap masih kekal, terpakai dan berkuat kuasa,” katanya.

PEMBELI dan pemaju tertakluk kepada perjanjian jual beli.
PEMBELI dan pemaju tertakluk kepada perjanjian jual beli.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 6:31 AM