SENTIASA melemparkan senyuman kepada pengunjung.
SENTIASA melemparkan senyuman kepada pengunjung.
Hafiz Ithnin


PELAJAR tahfiz seramai 20 orang yang berada Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah di Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan ini sedikit pun tidak terganggu tatkala pengunjung melihat lebih dekat ketekunan mereka menghafaz helaian demi helaian al-Quran.

Malah, sesekali anak remaja itu tidak lokek melemparkan senyuman tatkala melihat pengunjung yang ingin melihat lebih dekat cara mereka belajar. Rasa malu itu ada, tetapi mereka tetap meneruskan pembelajaran tanpa menghiraukan lensa kamera dan video yang dirakamkan kami pada hari itu.

Ternyata penulis bersama delegasi media dari Kuala Lumpur yang mengikuti program Expresi Media Kelantan 2023 baru-baru ini

terasa teruja melihat destinasi 'percutian' itu kerana dapat menikmati sesi pembelajaran pelajar tahfiz dan keunikan masjid itu sendiri.

Sebenarnya pusat tahfiz itu ditubuhkan pada November 2020 menjadi antara lokasi kunjungan yang menarik untuk dilawati jika bertandang ke Kota Bharu kerana tidak semua pusat tahfiz membenarkan orang luar melihat sesi pembelajaran mereka dengan lebih dekat.

Hakikatnya kegiatan menghafaz al-Quran perlu diberikan tumpuan penuh serta tidak boleh diganggu. Apatah lagi jika ingin menjadi penghafaznya.

Mudir Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah, Mohd Fikri Mohd Kasim berkata, pusat pengajian tahfiz itu boleh dikatakan sebagai 'melawan arus' kerana membenarkan orang ramai mengunjungi dan melihat anak didiknya belajar secara dekat.

RUANG pengajian anak-anak tahfiz yang selesa.
RUANG pengajian anak-anak tahfiz yang selesa.

Jelasnya, pusat tahfiz itu mempunyai jadual tertentu untuk membolehkan orang ramai mengunjungi dan menyantuni anak didiknya.

"Sejak dibuka pusat pengajian ini kami sudah menerima ramai tetamu dan syukur anak tahfiz ini dapat belajar seperti biasa.

"Perkara paling penting ialah pihak pengurusan menetapkan masa tertentu supaya sesi pembelajaran mereka dapat diaturkan dengan baik. Pada masa sama kami juga tidak mahu pembelajaran mereka terganggu kerana mereka perlu menghafaz al-Quran," katanya.

Jelasnya, kunjungan orang ramai ke pusat tahfiz itu membolehkan mereka berdakwah secara tidak langsung supaya pengunjung mencintai al-Quran.

LINGKARAN tangga yang unik.
LINGKARAN tangga yang unik.

"Apabila pengunjung datang ke sini, mereka boleh melihat proses anak tahfiz ini belajar al-Quran dan kita ingin orang melihat ia adalah satu sesi pembelajaran yang menyeronokkan.

"Setakat ini, dengan kehadiran pengunjung yang diaturkan dengan baik, anak tahfiz ini masih dapat memberikan tumpuan ketika pembelajaran mereka. Pada masa sama, kami ingin mereka menjadi pendakwah kepada pengunjung," katanya.

Menariknya, selain dapat melihat secara lebih dekat proses pembelajaran anak tahfiz itu, pengunjung juga dapat melihat keunikan Masjid Iktikaf Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah itu sendiri yang dibina menggunakan 11 jenis kayu.

Antara kayu yang digunakan untuk membina masjid berkenaan tembesu, jembal, mahagoni, manggis, kelat, sentang dan medang. Ia adalah dibina tukang kayu tempatan, Mohd Amin Jusoh.

ANAK-anak tahfiz yang khusyuk membaca dan menghafal al-Quran.
ANAK-anak tahfiz yang khusyuk membaca dan menghafal al-Quran.

Jelasnya, selepas lapan bulan melalui proses pembinaan secara berperingkat, masjid itu mula digunakan untuk pelajar tahfiz menunaikan solat lima waktu selain program diadakan.

Mohd Fikri berkata, ramai pengunjung yang terpegun melihat seni bina masjid berkenaan dan tidak menyangka ia sentuhan unik daripada anak tempatan.

"Jadi, pengunjung yang datang ke sini, mereka bukan sahaja dapat melihat lebih dekat proses pembelajaran anak tahfiz.

"Malah, keunikan masjid ini sentiasa menjadi tarikan apabila mereka mengunjungi Tahfiz Al-Quran Darul Quwwah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 7:01 AM