Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: Demi menghafaz al-Quran, ada warga emas sanggup 'dikuarantin' 35 hari berturut-turut dengan perlu memutuskan hubungan komunikasi dengan dunia luar selain meninggalkan gajet seperti telefon pintar.

Bukan itu saja malah warga emas berkaitan turut kekal istiqamah untuk fokus kepada hafazan al-Quran walaupun berdepan kekangan kesihatan selain mengasah minda untuk menajamkan prestasi memori yang semakin surut.

Ia antara cabaran penuntut warga emas yang gigih mahu menghafaz al-Quran pada usia lanjut malah mereka diterapkan rutin disiplin tinggi dengan perlu mengikuti kelas hafazan seawal jam 4.30 pagi sehingga jam 10 malam, setiap hari.

Ikuti kisah 'penghafaz tua' yang mengikuti kelas hafazan al-Quran menggunakan kaedah hafaz sebulan dan murajaah (amalkan) seumur hidup di Karantina Tahfiz Malaysia, di TH Hotel Kelana Jaya, di sini.

Mereka berkongsi pengalaman dalam usaha memastikan tergolong dalam ahli al-Quran al-Karim.

Sarimah Kassim, 62, pesara Kementerian Pendidikan Malaysia

"Saya bertugas selama 39 tahun dan ketika menamatkan perkhidmatan, saya terfikir apa bekalan saya untuk akhirat.

Alhamdulillah, Allah SWT lorongkan saya untuk menghafaz al-Quran.

Setiap hari, saya panjatkan doa kepada Allah SWT untuk diterima masuk ke syurga tanpa hisab selain mampu menghafaz al-Quran.

Harapan saya apabila berjaya menghafaz al-Quran ialah saya boleh membaca kitab suci ini di mana-mana saja tanpa perlu membuka mushaf.

Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, Sarimah Kassim, 62 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH
Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, Sarimah Kassim, 62 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Jika al-Quran ini sudah ada di hati, saya boleh 'membawanya' ke mana-mana saja serta membacanya pada bila-bila masa.

Sebelum ini, saya kerap ke pusat pengajian agama berdekatan rumah di Balik Pulau, Pulau Pinang untuk melihat kelas kanak-kanak tahfiz.

Pada usia ini, pada saya, lebih mudah untuk belajar menghafaz al-Quran kerana ada banyak masa terluang.

Ini kerana, sebahagian masa yang dihabiskan selepas pencen ialah hanya duduk di rumah selain beribadat.

Saya memang mengaji al-Quran cuma menghafaz ini adalah perkara baru dan saya tekad untuk selesaikannya.

Cabaran utama untuk menghafaz ialah bagi mengingati serta memastikan bacaan berkenaan 'melekat' dalam ingatan. Ini kerana, pada usia ini, bukan mudah untuk menghafal serta mengingati apa yang kita belajar, tidak seperti ketika zaman muda.

Bagaimanapun, dengan teknik dipelajari, saya berdoa supaya urusan menghafaz jadi lebih teratur serta mudah.

Bukan itu saja malah isu kesihatan turut menjadi cabaran untuk menghafaz al-Quran.

Sepanjang 35 hari kuarantin untuk menghafaz di sini, saya bawa pelbagai ubat-ubatan membabitkan penyakit tiga serangkai, diabetes, hipertensi dan kolestrol.

Semuanya saya sediakan bagi memastikan urusan untuk menghafaz jadi lebih teratur serta lancar.

Terima kasih dan syukur kerana suami, Hamzah Said, berusia 70 tahun, berikan keizinan malah menyokong usaha saya menghafaz al-Quran.

Saya berdoa supaya urusan serta usaha menghafaz al-Quran ini dipermudahkan Allah SWT," katanya.

Noriyati Karim, 70, pesara jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia

"Kalau boleh saya mahu terus tinggal di sini untuk menghafaz al-Quran dan memastikan tidak mudah lupa dengan apa yang dipelajari.

Sepanjang tempoh kuarantin ini, saya tidak kisah pun dengan ketiadaan telefon bimbit sedangkan saya memang tidak pernah lekang dengan gajet berkenaan.

Sebelum ini, walaupun saya khatam al-Quran, saya tidak pernah mengikuti kelas secara rasmi untuk hafazan apatah lagi kaedah memahami maksud kandungan kitab suci ini, malah saya hanya hafal beberapa surah saja.

KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, Noriyati Karim, 70 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, Noriyati Karim, 70 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kelebihan di kelas hafazan ini ialah, setiap peserta dikehendaki membaca terjemahan keseluruhan bagi halaman yang akan dihafaz supaya memahami jalan cerita surah berkaitan.

Selepas selesai ikuti kelas hafazan al-Quran di Karantina Tahfiz Malaysia ini, saya mahu memperluaskan kaedah hafazan dengan makna itu kepada suami, Mohd Nasihr Hashim, berusia 67 tahun yang juga pesara KKM, serta anak dan cucu.

A Shukor M Tahir, 67, pesara ahli farmasi Hospital Kubang Kerian, Kelantan

"Menghafal al-Quran pada usia ini adalah jadual kehidupan kedua buat saya serta isteri selepas selesai melaksanakan kehidupan pertama iaitu membesarkan anak-anak.

Saya menyertai kelas hafazan al-Quran ini bersama isteri, Fauziah Md Fadzil, berusia 66 tahun.

Sebaik bersara, kami lebih aktif belajar al-Quran termasuk membetulkan tajwid dan pelbagai disiplin lain.

Sebelum ini, dalam tempoh sebaik bersara, saya belajar menghafaz dengan cara biasa iaitu kaedah mengulang berulang-ulang kali.

Ketika pandemik, kelas al-Quran yang saya sertai terhenti sebelum kami menyertai kelas di sini.

Bagi saya, usia bukan halangan untuk menghafaz al-Quran kerana ia atas kemahuan diri sendiri.

KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, A Shukor M Tahir, 67 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, A Shukor M Tahir, 67 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Saya tidak berdepan banyak masalah untuk menghafaz dengan belajar teknik baru, namun saya akui, saya berdepan cabaran lain iaitu mudah letih, mungkin kerana saya menghidap pelbagai penyakit.

Saya berdepan masalah lutut, prostat dan beberapa lagi. Daya pendengaran juga semakin berkurangan.

Namun saya kekal fokus kepada hafazan kerana saya mahu berusaha membina pengakhiran yang baik.

Junidah Zainudin, 62, pesara Tenaga Nasional Bhd (TNB)

"Saya anak yatim piatu dan inilah (hafazan al-Quran) bakti untuk mereka. Ayah meninggal dunia pada usia saya 29 tahun, disusuli emak ketika saya berumur 39 tahun.

Saya anggap diri saya kurang pengetahuan ketika muda selain kurang masa bersama emak dan ayah, sebaliknya lebih fokus kepada rumah tangga dan pekerjaan.

Apabila saya dapat menguasai hafazan ini, Insya-Allah, saya mahu hadiahkan kebaikan bacaannya kepada arwah emak dan ayah, Muslimin serta Muslimat, selain semua pihak yang merealisasikan kelas ini.

Memang sukar untuk 'memahatkan' al-Quran di dalam jiwa namun apabila dapat menguasainya, walaupun sedikit, ia cukup tidak ternilai.

Jalan ini memang sukar ditempuh namun Insya-Allah, demi akhirat, saya akan berusaha sehabis baik.

Orang kata yang susah itulah jalan mendaki yang kita kena tempuh. Memang susah namun memang kena tempuh sebab yang ini jalan untuk jalan kehidupan. Dua kehidupan (dunia akhirat) kita itulah (al-Quran) jalannya.

KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, Junidah binti Zainudin, 62 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Peserta program Karantina Tahfiz Malaysia, Junidah binti Zainudin, 62 di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Saya sentiasa berdoa supaya tidak putus asa sepanjang berusaha menghafaz al-Quran.

Cabaran utama untuk menghafaz ialah usia. Memang saya perlu lebih fokus kerana bacaan serta hafazan perlukan kita untuk mengingati semuanya dengan kuat.

Nikmat hafazan pula memang tidak terkata, apabila berjaya menghafaz sesuatu surah, kita jadi cukup gembira dan sukar untuk diluahkan dengan kata-kata.

'Satu keluarga, satu huffaz...'

"Program Karantina Tahfiz Malaysia adalah usaha kecil syarikat Abdul Rahman Talib Anak Beranak (Artab) yang bercita-cita besar menyertai hasrat pusat tahfiz seluruh negara untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang huffaz (penghafaz al-Quran) dalam satu keluarga," kata pengarah program itu, Abdul Rahman Talib, 64.

Abdul Rahman berkata, Artab mengendalikan program itu selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Karantina Tahfiz Nasional Indonesia untuk dibenarkan secara rasminya membawa modul itu di Malaysia pada 2018.

Katanya, pihaknya beroperasi di De Palma Shah Alam, Selangor selama dua tahun sebelum terpaksa menghentikan program akibat pandemik Covid-19.

KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Pengarah Program Karantina Tahfiz Malaysia, Abdul Rahman Talib yang dikendali ARTAB di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KELANA JAYA 30 NOVEMBER 2023. Pengarah Program Karantina Tahfiz Malaysia, Abdul Rahman Talib yang dikendali ARTAB di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. NSTP/ASYRAF HAMZAH

"Kemudian, ia dimulakan semula di TH Hotel Kelana Jaya, di sini. Ia juga sudah berjalan hampir dua tahun. Sejak 2018 sehingga kini, kira-kira 600 peserta sudah menyertai program hafazan ini.

"Di Indonesia, bermula 2014 hingga kini, kira-kira 15,000 peserta sudah menyertainya. Melalui program ini, ada pelbagai pencapaian. Namun signatur program ialah 35 hari.

"Program ini dibawa ke Malaysia bukan untuk menyaingi maahad atau institusi tahfiz kerana kaedah yang diterapkan ialah hafaz sebulan dan murajaah (amalkan) seumur hidup," katanya.

Peserta program yang menyertai Karantina Tahfiz Malaysia menhafaz Al-Quran di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. FOTO ASYRAF HAMZAH
Peserta program yang menyertai Karantina Tahfiz Malaysia menhafaz Al-Quran di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya. FOTO ASYRAF HAMZAH

Mengulas teknik hafazannya, Abdul Rahman berkata, ia menggunakan kaedah menghafaz bersama terjemahan ayat.

"Peserta dikehendaki membaca terjemahan keseluruhan bagi halaman yang akan dihafaz supaya mereka memahami jalan ceritanya.

"Kemudian, mereka mula menghafaz setiap perkataan dengan membaca bersama terjemahannya. Apabila pelajar faham makna setiap perkataan Arab, hafazan akan menjadi lebih mudah," katanya.

Menurutnya, pengajian kursus jangka pendek Karantina Tahfiz Malaysia ini menjadi alternatif kepada pelajar lepasan sekolah dan penuntut universiti, profesional selain pesara yang sukar mengikuti tahfiz secara tradisional.

"Program ini unik. Karantina adalah perkataan Indonesia yang bermaksud kuarantin. Apabila peserta masuk ke sini, mereka dikuarantin, tinggalkan hal dunia, tiada telefon pintar, tiada televisyen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 7:06 AM