Azizuddin, Azzahra dan Ainon Fazilah (dalam kereta) memerhatikan dari jauh jenazah Allahyarham Azizan dikebumikan. FOTO Hassan Omar
Azizuddin, Azzahra dan Ainon Fazilah (dalam kereta) memerhatikan dari jauh jenazah Allahyarham Azizan dikebumikan. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Tiada yang diinginkan oleh dua anak ahli perniagaan yang meninggal dunia akibat Covid-19, selain menghafaz 30 juzuk al-Quran untuk disedekahkan kepada roh arwah bapa mereka.

Dua beradik, Azizuddin Azizan, 11, dan Azzahra, 9, berazam menghafaz ayat suci al-Quran kerana ia adalah harapan Allahyarham Azizan Hassan, 43, semasa hayatnya masih ada.

Ibu mereka, Ainon Fazilah Mohamad, 36, berkata kedua-dua anaknya dihantar oleh arwah suami menuntut ilmu menghafaz al-Quran di sebuah pusat tahfiz, di sini, sejak beberapa tahun lalu dengan harapan mereka mampu tahfiz al-Quran.

"Arwah memang mengimpikan anaknya hafaz al-Quran dan sering mengingatkan mereka supaya mencintai al-Quran kerana selain panduan hidup, al-Quran juga membantu kita di alam barzakh dan akhirat kelak.

"Mereka sangat berminat meneruskan pengajian agama dan menghafaz al-Quran, selain memahami apabila saya menyatakan kepada mereka, arwah ayah tidak akan kembali lagi dan amat berharap agar mereka berjaya tahfiz al-Quran," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui menghadiri pengebumian arwah suami di Tanah Perkuburan Islam Kampung Londang, di sini, semalam.

Turut ditemui Azizuddin, Azzahra dan adik bongsu mereka, Azzalea berusia lima tahun.

PETUGAS KKM, Jaim dan APM mengebumikan jenazah Allahyarham Azizan. FOTO Hassan Omar
PETUGAS KKM, Jaim dan APM mengebumikan jenazah Allahyarham Azizan. FOTO Hassan Omar

Kira-kira 100 orang, terutama rakan dan penduduk kampung yang menghadiri pengebumian hanya dibenarkan berada kira-kira 400 meter dari kubur.

Pengebumian disempurnakan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang lengkap menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE).

Ainon berkata, arwah juga mahu anaknya mewarisi perniagaan mereka suatu hari kelak dan muncul sebagai antara ahli perniagaan berjaya di negeri ini.

"Insya-Allah saya akan membimbing ketiga-tiga anak kami untuk mencapai kejayaan dalam agama dan perniagaan," katanya.

Arwah Azizan adalah bekas Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad, iaitu syarikat pelaburan milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),

selain memiliki perniagaan sendiri.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka pada 10 malam kelmarin selepas ditidurkan beberapa jam sebelum itu.

Arwah dan anggota keluarga menjalani kuarantin selama 10 hari di kediaman mereka di sebuah taman di sini, mulai 23 Julai lalu tetapi arwah mengalami komplikasi paru-paru dan buah pinggang yang menyebabkannya meninggal dunia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 9:47 PM