PEMANDANGAN 360 darjah dari bukit Pidurangala yang menakjubkan. FOTO Asyraf Maskan
PEMANDANGAN 360 darjah dari bukit Pidurangala yang menakjubkan. FOTO Asyraf Maskan
Asyraf Maskan

WALAUPUN tidak berjaya merakam fajar akibat kabus tebal, perjalanan ke sini sedikit sebanyak membuka beberapa pintu pengetahuan mengenai bumi Ceylon.

Uniknya di atas puncak Adam's Peak atau Sripada, terbina sebuah kuil yang menempatkan bekas 'tapak kaki' dikatakan milik Nabi Adam saat pertama kali di turunkan ke bumi.

Melalui pembacaan secara rawak berkenaan Adam's Peak suatu ketika dulu, penulis tertarik untuk memulakan pengembaraan ke sini dan beberapa tempat unik di Sri Lanka.

Puncak Adam's Peak yang berketinggian 2,243 meter sesungguhnya memiliki keunikannya tersendiri khususnya buat mereka yang menikmati perjalanan mendaki gunung.

Pada masa sama menghargai budaya setempat. Nilai tambahnya sudah tentu pendaki bakal disajikan dengan pemandangan air terjun yang tidak tumpah seperti Angel Falls.

Pendakian dimulakan seawal jam 2 pagi dari kaki gunung untuk sampai ke puncak Sripada saat matahari terbit.

SALAH satu pemandangan dari bukit Pidurangala yang membingkai Sigiriya. FOTO Asyraf Maskan
SALAH satu pemandangan dari bukit Pidurangala yang membingkai Sigiriya. FOTO Asyraf Maskan

Untuk sampai ke pintu permulaan pendakian, tuk tuk menjadi salah satu kenderaan yang boleh digunakan untuk bergerak perlahan sambil menikmati kawasan tanah tinggi dan perkebunan teh.

Kereta api di Sri Lanka juga begitu sinonim sebagaimana kebanyakan negara Asia Tengah seperti India, China dan Russia.

Bagi pengembara yang gemar mendalami suasana dan budaya masyarakat tempatan, kereta api adalah pengangkutan sesuai untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Masyarakat di sini sangat sopan di mata penulis dan menjadi budaya mereka untuk memberikan tempat duduk bukan hanya kepada orang tua, wanita mengandung dan orang kurang upaya, tetapi juga kepada orang biasa.

Jika perjalanan dari Colombo ke Hattan lebih kurang lima jam, mereka dengan senang hati bertukar posisi daripada duduk kepada berdiri.

Melalui pemerhatian penulis, rata-rata mereka menganuti ajaran Buddha dan Islam.

PEMANDANGAN utama apabila melangkah masuk kompleks Lion’s Rock di Sigiriya. FOTO Asyraf Maskan
PEMANDANGAN utama apabila melangkah masuk kompleks Lion’s Rock di Sigiriya. FOTO Asyraf Maskan

Melalui perbualan singkat bersama sebuah keluarga Islam ketika perjalanan dari Colombo ke Hattan, mereka ternyata selesa mengamalkan Islam di Sri Lanka tidak seperti yang digembar-gemburkan dalam media massa.

Hanya segelintir mungkin mempunyai kepentingan dalam politik yang mencetuskan sentimen agama, khususnya di kota.

Ruang ekonomi dalam kereta api di sini hanya tersedia bangku yang boleh memuatkan empat penumpang bagi setiap baris.

Setiap kali tiba di perhentian, akan ada penumpang yang naik dan masuk dalam perut kereta api dalam keadaan sedikit berasak.

Selang 30 minit, pasti ada anak kecil yang memotong baris tengah dan menyelit sambil membawa jualan seperti samosa dan air minuman.

MENAIKI tuk tuk adalah pilihan tepat untuk menikmati pemandangan perkebunan teh menuju Adam’s Peak. FOTO Asyraf Maskan
MENAIKI tuk tuk adalah pilihan tepat untuk menikmati pemandangan perkebunan teh menuju Adam’s Peak. FOTO Asyraf Maskan

Seperti kebiasaannya, tempat duduk yang menjadi pilihan sudah tentu di tepi jendela.

Dari jendela, penumpang dapat menikmati pemandangan hijau dan merasai sensasi apabila kereta api melewati tebing tinggi apatah lagi apabila dalam keadaan mendaki.

Kereta api akan sedikit perlahan. Apabila menuruni bukit dan perlahan-lahan meluncur laju semula persis seperti 'roller coaster.'

Antara tempat yang unik dan bersejarah di Sri Lanka ialah Lion's Rock yang terletak di daerah kecil bernama Sirigiya.

Dari jauh, peninggalan binaan kerajaan Raja Kashyapa yang berada atas sebuah bukit berbatu, seolah-olah seperti di Grand Canyon.

Berita berkaitan:

  • Hampir sesat cari masjid
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 7:00 AM