BELON panas di Luxor.
BELON panas di Luxor.
Muhamaad Razis Ismail


SUSULAN pengumuman kerajaan yang mula membuka pintu sempadan untuk ke luar negara, ramai yang mengambil kesempatan melancong.

Rozani Abd Shukor Heng yang aktif melancong dan rakannya antara yang mengambil peluang ke luar negara selepas kelonggaran itu diberikan.

Antara lokasi negara yang terawal dituju adalah Mesir kerana tertarik untuk melihat dengan lebih dekat satu daripada keajaiban dunia iaitu Piramid Giza.

Rozani berkata, sebenarnya dia tidak membuat persediaan terlalu rapi untuk ke negara terbabit kerana fokus ingin menunaikan umrah di Makkah.

Katanya, hanya selepas menunaikan umrah, dia dan rakannya tidak melepaskan peluang ke Mesir menggunakan visa ketibaan (VOA) dengan kebenaran menginap selama 14 hari.

"Memandangkan Mesir berdekatan Arab Saudi, kami berkunjung ke negara terbabit yang cukup terkenal dengan Piramid Giza pada 25 Disember lalu.

"Biarpun tidak membuat persediaan rapi, kami mengambil langkah awal dengan memuat turun aplikasi Metro Maps di sana (Mesir), mengkaji jenis pengangkutan, laluan, hotel dan pertukaran wang untuk mengelak sebarang kesulitan sepanjang berada di sana," katanya.

Menurutnya, untuk ke Mesir, dia dan rakannya menaiki penerbangan dari Jeddah ke Kaherah yang mengambil masa perjalanan dua jam.

"Sebelum ke negara lain, kami perlu menjalani ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) sebagai langkah pencegahan awal perlu diambil untuk keselamatan diri dan orang lain," katanya.

Katanya, sebaik pesawat mendarat di Lapangan Terbang Kaherah, mereka terus bergerak ke stesen bas.

"Disebabkan tiada papan tanda di stesen bas, kami terpaksa bertanya kepada orang ramai untuk menaiki bas awam ke hotel yang terletak di pusat bandar.

BUAYA yang diawet diletakkan di hadapan rumah di Perkampungan Nubian.
BUAYA yang diawet diletakkan di hadapan rumah di Perkampungan Nubian.

"Mujurlah orang di sini sangat membantu sehingga kami dapat menaiki bas yang betul," katanya.

Rozani berkata, sepanjang berada di sana, dia dan rakannya mengambil peluang untuk ke beberapa lokasi termasuk Kaherah, Luxor, Aswan dan Alexandaria.

"Di Kaherah, kami sempat ke beberapa tempat menarik seperti Masjid Al-Azhar dan pasar Khan Al Khalili.

"Kami kemudian ke Luxor dengan menaiki bas. Di sini terdapat banyak lokasi menarik yang dilawati termasuk Valley of the Kings, Mortuary Temple of Hatshepsut dan Karnak Temple.

"Selain itu, kami berpeluang menaiki belon panas dan dapat menikmati pemandangan indah daripada atas," katanya.

Selepas itu, mereka meneruskan perjalanan ke Aswan untuk melawat Perkampungan Nubian.

"Uniknya di sini, kami boleh melihat banyak buaya yang diawet diletakkan di halaman rumah kerana penduduk di sini percaya ia boleh membawa tuah," katanya.

ROZANI menikmati keindahan pemandangan belon panas
ROZANI menikmati keindahan pemandangan belon panas

BERPELUANG berkunjung ke Alexandria.
BERPELUANG berkunjung ke Alexandria.

Jelasnya, mengikut perancangan awal mereka sepatutnya menuju ke Sharm el-Sheikh, namun terpaksa diubah berikutan kereta api tidak dapat bergerak akibat masalah teknikal.

"Kami terkandas hampir 48 jam sebelum mengambil keputusan mengikut penduduk tempatan ke Giza dengan menaiki microbus (van) akibat kekangan masa," katanya.

Di Giza, mereka dapat melaksanakan impian untuk melihat dengan lebih dekat piramid yang cukup terkenal di seluruh dunia.

"Pengalaman yang melucukan di sini apabila saya diajak bergambar dan berswafoto oleh hampir 20 orang di sana. Saya tidak pasti mengapa, namun tetap melayan kehendak mereka.

"Di sini kami sempat mencuba nasi burung merpati dan makanan wajib di Mesir iaitu kusyari," katanya.

Sementara di Alexandria, mereka mencuba perkhidmatan tram serta melawat Citadel of Qaitbay, perpustakaan Bibliotheca Alexandria dan Muzium Alexandria.

 ROZAINI (dua dari kiri) bersama rakan mengabadikan kenangan di hadapan Piramid Giza.
ROZAINI (dua dari kiri) bersama rakan mengabadikan kenangan di hadapan Piramid Giza.

Kata Rozani, sepanjang melancong ke negara terbabit, penduduk di sana dilihat kurang mengambil berat dalam mencegah Covid-19.

"Bagaimananapun, masyarakat di sini sangat mengalu-alukan kehadiran pelancong. Walaupun berdepan masalah komunikasi, mereka cuba sedaya upaya membantu apabila diperlukan," katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan dia dan rakannya sangat gembira kerana berpeluang ke beberapa tempat menarik di Mesir biarpun berdepan pelbagai dugaan.

PATUNG yang boleh dilihat di Valley of the Kings.
PATUNG yang boleh dilihat di Valley of the Kings.

"Jika diberi peluang, saya ingin sekali lagi ke negara itu untuk melawat beberapa lokasi menarik lain yang tidak sempat dilawati seperti Oasis Siwa dan Wadi El Rayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 7:00 AM