GAYA sporty Almeera Edisi Kuro.
GAYA sporty Almeera Edisi Kuro.
Lizam Ridzuan


SEJAK dilancarkan pada 2020 di Malaysia Nissan Almera Serba Baharu ketika itu bolehlah dikatakan model yang kurang mendapat perhatian dalam pasaran segmen-B di negara ini yang bersaing dengan model Honda City dan Toyota Vios.

Namun ia juga memiliki kelebihan tersendiri yang kini didatangkan dengan kemasan kit badan menerusi Nissan Almera Edisi Kuro (Hitam) yang tampil lebih bergaya dan sporty.

Vroom berpeluang memandu ujinya baru-baru ini dengan warna baharu untuk badannya, Kelabu Glacier nyata menawarkan satu persepsi berbeza.

Untuk rekaanya masih sama dengan model yang dilancarkan sebelum ini namun ia ditambah dengan beberapa kit badan yang menjadikan Almera ini lebih garang dan sporty.

Ia dengan ditawarkan dengan bingkai gril, spoiler hadapan dan belakang bampar dengan warna hitam dan skirting sisi yang menyerlahkan ciri prestasi.

Menerusi tiga varian VL, VLP dan VLT baharu Pakej Kuro ini tersedia dengan tambahan RM8,000 serta jika mahu lebih bergaya Kuro GT dengan spoiler belakang GT Wing Tomei dan padanan rim aloi 16 inci Impul Aura boleh dipilih dengan tambahan kos sekitar RM3,200 lagi (VLP dan VLT).

Apa yang menarik, kesemua pakej ini adalah standard pengeluaran dari kilang yang turut menerima ciri kabin seperti pedal sport, plat pemijak kaki Almera, visor pintu, spoiler penutup but, pelindung bahagian pembuka pintu dan filem penapis haba Ice Cool.

Ciri ini melengkapi rekaan luaran yang bergaya serta tampil berbeza sebagai sedan yang menarik dalam pasaran.

Untuk ruang kabin ia didatangkan dengan ciri inspirasi 'Gliding Wing' dwi-tona untuk papan pemuka dengan kemasan krom, hitam piano dan corak gentian karbon dan paling penulis gemari roda stereng 3 jejari rata pada bahagian bawah gaya sebuah jentera perlumbaan.

Untuk hiburan ia juga dengan sistem infotainmen bersaiz 8 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto serta berfungsi sebagai kamera 360 darjah bagi kemudahan parkir dan melepasi laluan sempit.

RUANG kabin ciri 'Gliding Wing'.
RUANG kabin ciri 'Gliding Wing'.

Meter pemandu separuh digital bersaiz 7 inci bagi pelbagai maklumat berkaitan memudahkan penulis melihat dan melaras ketetapan seperti trip, jarak purata, penggunaan bahan api setiap liter dan ciri Mobiliti Pintar Nissan (NIM).

Untuk kerusi juga selesa dan stabil dengan material kulit ciri semi-bucket serta sentuhan kelabu larasan manual dan bahagian hadapan dengan elemen graviti sifar, kerusi belakang jatuhan 60:40, tiga pengecas USB serta ruang but 482 liter agak luas buat membawa bagasi dan keperluan lain.

Ciri lain dengan 8 pembesar suara dengan sistem bunyi yang baik dan kawalan automatik suhu sekitar untuk pendingin hawanya dan meskipun tiada corong untuk penumpang belakang ia masih mengalirkan suhu dingin dengan baik.

Malah unjuran kaki juga selesa dengan jarak roda 2,620 milimeter (mm) antara yang terluas dalam segmen-B di Malaysia.

Untuk pemanduan dengan enjin 999 cc, 3 silinder, DOHC, 12 injap dengan pengecas turbo menawarkan ia dengan kuasa 100PS pada 5,000 rpm dan 152Nm pada 2,400 hingga 4,000 rpm dengan transmisi CVT X-Tronic dan D-Step Logic dan Mod Sport.

TAMPIL menarik dengan kit badan.
TAMPIL menarik dengan kit badan.

Penggunaan bahan api untuk 35 liter tangki membolehkan ia bergerak sehingga 450 kilometer (km) dan penulis mencatatkan capaian sekitar 19.6km untuk setiap liter bagi ciri pemanduan ECO.

Prestasi enjin 3 silinder lebih tertumpu kepada penggunaan bahan api yang lebih efisien menerusi Mirror Bore Coating iaitu teknologi yang diambil daripada Nissan GT-R R35 iaitu jentera ikonik prestasi Nissan.

Memandunya di lebuh raya atau jalan persekutuan sangat lancar dan torknya mampu bersaing dengan enjin jentera 1.5 liter menerusi kuasa pengecas turbo yang dihasilkan.

Menerusi suspensi hadapan Independent MacPherson Struts dengan 'stabilizer' dan belakang 'torsion beam' juga dengan 'stabilizer' membolehkan kenderaan stabil pada pelbagai kelajuan atau selekoh.

Ciri keselamatan terbaik dengan 6 beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Daya Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dengan Kawalan Cengkaman (TC).

Untuk Mobiliti Pintar Nissan (NIM) ia juga dengan Amaran Perlanggaran Hadapan Pintar (IFCW) serta Brek Kecemasan Hadapan Pintar (IFEB) selain Sistem Amaran Titik Buta (BSW) dan Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA).

Secara keseluruhan model Nissan Almeera Edisi Kuro (Hitam) sebagai satu pilihan lain buat pembeli yang mahukan sedan ciri sporty, sistem keselamatan terbaik, enjin turbo dan penggunaan bahan api efisien.

Kit badan yang ditawarkan bukan sekadar astetik tetapi menjadikan Almeera ini tampil lebih menarik serta terdapat teknologi daripada jentera ikonik R-35 yang dipadankan untuknya.

Untuk pasaran Malaysia Menerusi varian VL ia dijual pada harga RM83,888, VLP pada harga RM89,888 dan VLT pada harga RM95,888 sebagai varian tertinggi dengan tambahan harga seperti yang dinyatakan di atas untuk Pakej Kuro dan

Kuro GT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 6:30 AM