Lizam Ridzuan


10 pilihan Vroom sepanjang 2020.
10 pilihan Vroom sepanjang 2020.

2020 dilalui dengan pelbagai cabaran terhadap ekonomi selain penularan Covid-19, namun industri automotif di Malaysia terus berkembang walaupun sedikit perlahan berbanding tahun sebelumnya.

Namun begitu, ada lebih 50 pelancaran baharu dilakukan pengeluar kereta dan motosikal sepanjang tahun ini dengan model kenderaan utiliti sukan (SUV) terus menjadi penawaran terbanyak selain kenderaan sedan segmen-B seperti Nissan Almera serta Honda City Serba Baharu turut menjadi perhatian.

Model paling penting tahun ini sudah pasti Proton X50 yang akhirnya diperkenalkan pada Oktober lalu selepas hampir setahun ia tular dengan pelbagai versi dan persoalan harga.

Sasaran pengeluaran keseluruhan industri (TIV) 2020 ialah 470,000 unit dan sehingga Oktober lalu, ia sudah mencapai 398,159 unit dan dengan pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini, dijangka jumlah itu dijangka mampu dicapai.

Vroom menyingkap 10 model pilihan yang dilancarkan pada tahun ini bermula Januari sehingga Disember yang akan menjadi kenangan kerana kebanyakannya diperkenalkan dalam suasana norma baharu.

Meskipun terdapat banyak lagi model lain, ini antara yang dinantikan pembeli selain faktor harga, ciri teknologi dan keselamatan terbaik ditawarkan.

1. 2020 dibuka dengan

pengenalan Perodua Bezza Baharu pada Januari yang menampilkan kemasan luaran, dalaman dan ciri keselamatan terbaik ditawarkan.

Perodua Bezza edisi 2020 dilancarkan ini tampil dengan gaya baharu yang menarik dan meneruskan elemen gaya kontemporari serta teknologi keselamatan termaju.

Pembaharuan paling utama ialah sistem Bantuan Pemanduan Selamat (A.S.A.) 2.0 kini ditawarkan untuk Perodua Bezza menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri termaju paling mampu milik di Malaysia.

Empat varian ditawarkan iaitu 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT yang dijual pada harga bermula RM34,580 hingga RM49,980.

2. Proton X70 Baharu juga diperkenalkan pada Februari dengan pengenalan versi pemasangan tempatan (CKD) melalui kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim, Perak.

Empat varian baharu ditawarkan iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium X 2WD yang dijual pada harga RM94,800, RM106,800, RM119,800 dan RM122,800.

Ia dilengkapi transmisi baharu dwiklac tujuh kelajuan (DCT) menggantikan 6AT sebelum ini dengan talaan enjin baharu 1.8 liter Suntikan Terus Bahan Api Pengecas Turbo (TGDI) menjana lebih lima peratus tork sehingga 300Nm.

Selain itu, untuk varian eksekutif ke atas, ia kini didatangkan dengan pintu but kuasa elektrik yang boleh dibuka dengan sensor kaki, pengudaraan untuk tempat duduk hadapan (premium) dan tempat duduk belakang boleh laras daripada 27 ke 32 darjah untuk semua varian.

3. Honda Accord Serba Baharu hadir rekaan gaya 'sportsback' dengan enjin berprestasi antara elemen utama untuk model Honda Accord Serba Baharu yang dilancarkan ke pasaran tempatan.

Untuk Accord Serba Baharu Generasi ke-10 ini, ia ditampilkan reka bentuk terkini dengan rekaan lebih lebar, bumbung lebih rendah dan bonet lebih panjang untuk postur lebih bergaya.

Accord ini juga diberi penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV), ia hadir dengan enjin 1.5L VTEC Pengecas Turbo yang ditambah baik, menjadikan Honda pengeluar kereta Jepun pertama menawarkan enjin turbo dalam segmen-D.

Ia menjana kuasa 201PS dan daya tork maksimum 260Nm dan lebih berkuasa berbanding prestasi enjin daripada 2.4L.

Model ini turut diberi status lima bintang untuk Program Penilaian Kenderaan Baharu (NCAP) Asean.

Untuk pasaran Malaysia, Honda Accord Serba Baharu ditawarkan dengan empat pilihan warna serta dua varian yang dijual pada harga bermula RM185,900 (1.5 TC) dan RM195,900 (1.5 TC-P).

4. Honda Civic Baharu 2020

Sebagai peneraju segmen-C di Malaysia, Honda Civic Baharu ini tampil dengan gaya ditambah baik dengan ciri seakan-akan kenderaan segmen-D ditawarkan termasuk ciri Honda Sensing.

Model generasi ke-10 edisi 2020 ini dipertingkatkan untuk menyerlahkan gaya sebuah 'fastback' yang lebih menarik, terutama pada bampar hadapan baharu bersama gril hitam yang memberikannya penampilan lebih garang.

Honda Civic Baharu dengan pilihan warna baharu merah mutiara dan empat warna lain ditawarkan melalui tiga varian yang dijual pada harga bermula RM113,600 (1.8S), RM129,600 (1.5TC) dan RM139,600 (1.5TC-P).

5. Toyota RAV4 yang diperkenalkan sekitar 1990-an mencipta revolusi tersendiri untuk pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) malah ia antara model terlaris dalam segmen berkenaan di seluruh dunia.

Terkini, Toyota RAV4 Serba Baharu generasi kelima memasuki pasaran tempatan yang dilancarkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan diimport sepenuhnya dari Jepun dengan menawarkan gaya terbaharu serta premium.

Antara ciri terbaharunya ialah ia dibangunkan menggunakan Dynamic Force Engine dan dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) untuk rekaan ranggi dan maskulin serta menawarkan pemanduan seakan-akan sedan.

Dua pilihan enjin serba baharu ditawarkan iaitu 2.5 liter dan 2.0 liter dengan VVT-iE untuk kuasa yang responsif serta penggunaan bahan api 40 peratus lebih efisien masing-masing dengan kuasa kuda 207PS dan 123PS serta tork 243Nm dan 207Nm.

Untuk pasaran Malaysia, dua varian Toyota RAV4 Serba Baharu ditawarkan iaitu 2.5L dan 2.0L dengan enam pilihan warna yang dijual pada harga RM215,665 dan RM196,436 serta jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

6. Proton Saga Edisi Ulang Tahun ke-35 diperkenalkan dengan kemasan warna hitam dan kuning eksklusif pada luaran dan dalaman kereta.

Terhad kepada 1,100 unit, ia dilengkapi pakej aksesori bernilai RM2,035 iaitu 'skirting' hadapan dan sisi, visor pintu, penebat pintu bonet, penutup 'trunk lid' serta pelantar but.

Ia mengekalkan enjin 1,332 cc DOHC empat silinder VVT yang menjana 95PS pada 5,750 rpm dan tork 120Nm pada 4,000 rpm dengan kotak gear empat kelajuan automatik.

Proton Saga Edisi Ulang Tahun ini dijual pada harga RM39,300 (selepas rebat cukai jualan) dan sudah habis dijual kepada pembeli.

7. Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan Nissan Almera Turbo Serba Baharu

sejak Julai, namun tiada harga rasmi sehinggalah diumumkan pada November lalu.

Selain tampil dengan rekaan lebih menarik ia juga didatangkan dengan ruang dalaman elegan dan ciri keselamatan terbaik.

Ditawarkan dalam tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT, ia dijana dengan enjin 1.0 liter Pengecas Turbo HR10DET menjana kuasa maksimum 100PS pada 5,000 rpm serta tork 152Nm pada 2,400 hingga 4,000 rpm.

Almera juga dilengkapi kotak gear X-Tronic CVT terbaharu dengan D-Step Logic dan mod Sport serta menawarkan penjimatan bahan api lebih efisien sekitar 18.4 kilometer (km) untuk setiap liter.

Untuk pasaran Malaysia, Nissan Almera Turbo Serba Baharu dijual pada harga RM79,906 (VL), RM85,715 (VLP) dan RM 91,310 (VLT) (harga atas jalan tanpa insurans termasuk pengecualian cukai jualan sehingga Disember 2020).

Juga didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, servis penyelenggaraan percuma sebanyak lima kali termasuk alat ganti dan kos buruh dalam tempoh lima tahun.

8. Misubishi Xpander, 'crossover' tujuh tempat duduk yang diperkenalkan melalui pengedarnya, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM).

Ia dibekalkan dengan enjin 1.5 liter MIVEC yang menghasilkan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141Nm pada 4,000rpm dan transmisi automatik empat kelajuan.

Sistem keselamatan dilengkapi dua beg keselamatan SRS, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Sistem Bantuan Brek (BA), Bantu Permulaan Bukit (HSA).

Mitsubishi Xpander dijual pada harga RM91,369 (atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan).

9. Honda City Serba Baharu diperkenalkan ke pasaran tempatan pada Oktober lalu melalui generasi ke-5.

Empat varian ditawarkan terdiri daripada City RS e:HEV, V, E dan S yang menjadi laras terbaharu dan 'game changer' dalam kenderaan segmen-B.

Varian City RS e:HEV juga adalah yang julung kali diperkenalkan untuk pasaran dunia dan Malaysia paling awal menerimanya.

Honda City RS ialah model yang dijana rangkaian kuasa Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) pacuan elektrik, hibrid dan enjin 1.5 Liter dengan kuasa 108PS serta tork paling tinggi dalam kelasnya iaitu 253Nm.

Tiga lagi varian dijana enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu dengan kuasa 121PS dan tork maksimum 145Nm.

Untuk pasaran Malaysia, Honda City Serba Baharu dijual pada harga RM74,191 (S), RM81,664 (E) dan RM86,561 (V). Semua harga atas jalan dengan pengecualian cukai jualan sehingga Disember 2020.

Harga untuk model RS hanya akan diumumkan pada Januari 2021 dan semua model dengan jaminan lima tahun pengeluar tanpa had perbatuan.

10. Sebagai model kedua kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton, Proton X50 akhirnya dilancarkan secara rasmi pada Oktober lalu.

Enam pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Snow, Perak Armour, Kelabu Jet, Biru Ocean, Oren Citric dan Merah Passion.

Ia turut dilengkapi Sistem Bantu Pemandu Termaju (ADAS) tahap 2.0 juga yang pertama dalam segmennya dengan ciri Bantu Parkir Auto (APA), Kawalan Pelayaran Pintar (ICC) melalui Kawalan Pelayaran Adiptif dengan ciri Stop & Go serta Amaran Pelepasan Lorong dan Bantu Kekal Lorong, Sistem Maklumat Titik Buta serta enam beg keselamatan SRS.

Tiga varian iaitu 1.5T Standard, 1.5T Executive dan 1.5T Premium dilengkapi enjin 1.5 liter pengecas turbo dan yang tertinggi dengan 1.5TGDi Flagship turbo dijual pada harga bermula RM79,200, RM84,800, RM93,200 dan RM103,300.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 6:20 AM