Lizam Ridzuan

Gaya unik dan kreatif model Daihatsu Hijet S200 diberi sentuhan ubah suai khas menjadikan ia tampil berbeza serta di luar jangka.

Kebiasaannya ia hanya digunakan bagi tujuan komersial namun buat pemiliknya Wan Ibrahim Wan Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Pokhim memilih memberi sentuhan prestasi dan ternyata ia usaha yang berbaloi.

Membelinya pada sekitar 2000 dengan harga RM20,000 ia model standard dengan melakukan tambahan pada bahagian luaran seperti rim TE37 bersaiz 15 inci dan tayar Yokohama, selain menambah agkup brek Nishin 6 port pada bahagian hadapan dan 4 port belakang.

KEI trak gaya prestasi.
KEI trak gaya prestasi.

"Bahagian hadapan dan sisi kenderaan dipasang kit badan rekaan sendiri, spoiler sisi gentian karbon model Toyota Hilux, cermin sisi ganador dan warna ditukar kepada hijau untuk ia tampil lebih garang dan sporty,"

"Ia melibatkan kos sekitar RM50,000 kerana perlu mencuba teknik 'trial and error' sebelum bahagian badan trak itu tampil menarik dan sepadan," kata pemilik bengkel Two Pro Garage di Kuantan itu.

RUANG kabin dengan tempat duduk Recaro.
RUANG kabin dengan tempat duduk Recaro.

Cabaran utama ialah untuk mengutamakan kepuasan diri dan jika tidak berpuas hati, Wan Ibrahim akan melakukannya semula dan ia akan meningkatkan kos.

Selain idea sendiri, beliau juga sering meminta pandangan rakan dalam membina kenderaan itu untuk tampil lebih menarik dari masa ke masa.

"Kebiasaannya trak dengan konsep sebegini hanya boleh dilihat di Jepun dan kini saya membawa konsep modifikasi ini untuk peminat automotif di Malaysia melihatnya dengan lebih dekat," katanya.

Ruang kabin juga ditukar sepenuhnya dengan aksesori selepas pasaran (after market) dengan tempat duduk Recaro, meter tambahan defi dan Pemasa Turbo Apexi.

Ia juga dengan indikasi gear, roda stereng Daihatsu selain sistem bunyi sistem penuh melengkapi kepada proses binaan khas ini.

RUANG kargo dengan pelantar bergerak.
RUANG kargo dengan pelantar bergerak.

Untuk kuasa ia dijana enjin 660cc dengan turbo pacuan semua roda (AWD) serta adalah transmisi manual.

Bahagian kargo juga diberi kemasan tambahan dengan pelantar bergerak menambah kemudahan untuk membawa barangan selain berfungsi sebagai meja.

"Saya juga sedang membina wagon yang akan ditarik pada trak ini yang memuatkan tiga motocompo menambah kepada elemen keunikan keseluruhan jentera ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 6:06 AM