I-PACE, EV pertama untuk Jaguar.
I-PACE, EV pertama untuk Jaguar.
Lizam Ridzuan

Kenderaan elektrik (EV) kini sudah menjadi model wajib buat pengeluar kenderaan dunia termasuk pengeluar membabitkan jenama mewah dan premium.

Antara yang terkini ialah model Jaguar I-Pace yang dilancarkan ke pasaran tempatan oleh pengedarnya di negara ini, Jaguar Land Rover Malaysia.

Ia adalah EV sepenuhnya dan yang pertama untuk Jaguar.

Model ini juga ditawarkan pada harga lebih kompetitif menerusi konsesi bebas cukai untuk EV yang diimport sepenuhnya (CBU).

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) ini turut memenangi lebih daripada 80 anugerah di peringkat global termasuk 'Kereta Terbaik Dunia', 'Reka Bentuk Kereta Terbaik Dunia' dan 'Kereta Hijau Dunia'.

Dengan kedudukan bateri pada bahagian bawah, di antara gandar hadapan dan belakang, ia menjadikan pusat graviti kenderaan ini lebih rendah serta stabil.

Menerusi gabungan dwimotor elektrik, ia menghasilkan kuasa 400PS dan tork 696Nm. Ia dilengkapi bateri 90kWh dan bateri yang dicas penuh mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 470 kilometer.

Sesuai dengan ciri prestasi pacuan semua roda, ia mampu memecut daripada sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 4.8 saat.

Tempoh pengecasan daripada sifar kepada penuh pula mengambil masa 8.6 jam, sekali gus membolehkan kenderaan dicas semalaman di rumah.

GAYA sporty dan padanan rim aloi bersaiz 20 inci.
GAYA sporty dan padanan rim aloi bersaiz 20 inci.

Menerusi cas aliran terus (DC) 100kw pula, ia hanya mengambil masa 40 minit untuk memenuhkan bateri daripada sifar kepada 80 peratus.

SUV ini juga berkeupayaan mengharungi air sedalam kira-kira 500 milimeter (mm). Model ini dipadankan rim aloi bersaiz 20 inci.

Ruang kabin bukan sahaja menawarkan elemen dan kemasan berkualiti tinggi malah berciri praktikal dengan ruang bagasi berkapasiti 656 liter.

Jika kerusi penumpang direbahkan, ruang itu mencapai 1,453 liter. Ruang kaki penumpang pula berkeluasan 890mm.

Meskipun kompak, ia dibina untuk kapasiti lima penumpang.

Untuk sistem infotainmen, ia membabitkan model Pivi Pro bersaiz 10 inci skrin sesentuh atas serta 5 inci untuk bahagian bawah.

RUANG kabin mewah dan elegan.
RUANG kabin mewah dan elegan.

Ia memiliki paparan meter bersaiz 12.3 inci untuk paparan maklumat serta grafik lebih kemas dan terang.

Jaguar I-Pace ditawarkan menerusi dua varian iaitu LE dan HSE yang dijual pada harga RM460,800 serta RM498,800.

Ia juga ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000km yang mana lebih dahulu.

Untuk bateri, jaminan diberi sehingga lapan tahun atau 160,000km yang mana lebih dahulu.

 DIJANA elektrik sepenuhnya.
DIJANA elektrik sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 6:58 AM