PASSAT R-Line kemasan terkini.
PASSAT R-Line kemasan terkini.
Lizam Ridzuan


MENGAMBIL inspirasi daripada model prestasi Volkswagen R, ciri R-Line direka untuk menyerlahkan lagi elemen sporty dan kelainan dengan pelancaran Passat R-Line Baharu.

Sedan eksekutif segmen-D ini adalah yang paling laris di dunia.

Ia menetapkan standard baharu daripada segi teknologi dan kualiti seterusnya melengkapkan rangkaian model R-Line untuk pasaran di negara ini.

Antara kelainan model ini ialah bampar hadapan dan belakang, logo R-Line pada sisi, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19 inci.

Lampu hadapan, lampu isyarat dan lampu belakang rekaan tiga sayap LED menyerlahkan lagi elemen premium pada Passat.

Untuk ruang kabin, elemen R-Line dapat dilihat pada tempat duduk dan roda stereng balutan kulit Nappa serta elemen gentian karbon hitam, pedal 'sports' aluminium dan kemasan bumbung hitam.

KOKPIT Digital bersaiz 11.7 inci.
KOKPIT Digital bersaiz 11.7 inci.

SISTEM ‘Discover Pro Infotainment’ bersaiz 9.2 inci.
SISTEM ‘Discover Pro Infotainment’ bersaiz 9.2 inci.

RUANG kabin kulit Nappa dan elemen karbon.
RUANG kabin kulit Nappa dan elemen karbon.

Bagi pemanduan, ia ditingkatkan dengan ciri Kawalan Casis Dinamik (DCC) dan Pilihan Mod Pemanduan yang membolehkan pemandu menukar serta memilih 15 gaya pemanduan.

Sebagai ciri standard, ia masih dikekalkan dengan Kokpit Digital bersaiz 11.7 inci boleh ubah dan ketersambungan aplikasi Apple Car Play tanpa wayar melalui skrin sesentuh Discover Pro bersaiz 9.2 inci.

Tempat duduk hadapan ErgoComfort daripada kulit Nappa dengan 14 belas tetapan juga hadir dengan fungsi urutan dan memori.

Ruang but seluas 586 liter dan ia boleh dibuka tanpa sentuhan secara elektronik dengan hanya menggerakkan kaki melalui penggunaan alat pengesan.

Untuk pengendalian, Passat R-Line menggunakan kuasa enjin turbo 2.0TSI baharu dengan kotak gear 'direct shift' (DSG) tujuh kelajuan.

Ia mampu menjana kuasa 190PS dan tork 320Nm.

KEMASAN luaran elegan.
KEMASAN luaran elegan.

Ciri keselamatannya antaranya membabitkan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantuan Brek (BA).

Enam pilihan warna ditawarkan iaitu biru (Aquamarine Blue), coklat (Tamarind Brown), kelabu (Manganese Grey), perak (Reflex Silver), hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

Untuk pasaran Malaysia, Passat R-Line dijual pada harga RM203,411 (harga atas jalan tanpa insurans termasuk pengecualian cukai jualan) dengan jaminan pengeluar lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 6:17 AM