Lizam Ridzuan


Kelebihan kenderaan utiliti sukan (SUV) ialah ruang dalamannya praktikal manakala rekaannya pula kelihatan lasak serta aktif menjadikan ia pilihan teratas ketika membuat keputusan untuk membeli kenderaan baharu.

Vroom minggu ini berpeluang memandu uji Volkswagen Tiguan Allspace Highline yang diperkenalkan pada 2020.

Kenderaan ini adalah model pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang dan ia 215 milimeter (mm) lebih panjang daripada model standrad Tiguan generasi kedua.

Model ini juga terjual lebih enam juta unit pada 2019 dan menjadi model terlaris untuk Volkswagen pada tahun itu dengan setiap 35 saat, model Tiguan dipasang di kilang pengeluarannya di seluruh dunia.

TIGUAN serlah gaya Eropah.
TIGUAN serlah gaya Eropah.

Melihat kepada rekaan luaran, ia menampilkan gaya Eropah dengan ciri yang tidak terlampau menonjol, namun dengan sentuhan elegan dan premium.

Ia boleh dilihat terutama pada bahagian hadapan dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL) daripada LED.

Lampu utama dengan kawalan jarak dinamik selain lampu belakang LED dengan kesan gaya tiga dimensi (3D) menyerlahkan gaya kenderaan ini.

Selain itu, gril krom dengan logo Volkswagen menjadikan ia kelihatan eksklusif.

LAMPU utama dan DRL LED.
LAMPU utama dan DRL LED.

Bahagian belakang dengan pintu yang disekalikan dengan spoiler, serta dwiekzos menyerlahkan lagi SUV ini.

Pada bahagian bumbung, terdapat rel krom bagi tujuan kemudahan tambahan muatan.

Melengkapkan lagi padanan SUV ini, ia dilengkapi rim aloi 18 inci 'Nizza' dengan tayar 235/55.

Menjengah ke ruang kabin, rekaan papan pemukanya juga ringkas, namun sentuhan kemasan 'dark grid' yang disertakan sistem infotainmen bersaiz 8 inci dan Volkswagen Digital Cockpit TFT pemandu bersaiz 11.7 inci menjadikan ia cukup istimewa.

Bercirikan skrin sesentuh, ia juga datang dengan keterhubungan AppleCarplay dan Android Auto melalui sambungan kabel, termasuk fungsi arahan suara.

PADANAN rim 18 inci.
PADANAN rim 18 inci.

Kerusinya dibaluti kulit 'Vienna' manakala kerusi pemandu dilengkapi larasan elektrik 12 ketetapan serta fungsi memori.

Selain itu, ia dilengkapi penyaman udara tiga zon 'Climatronic' dengan kawalan suhu untuk bahagian penumpang bagi keselesaan semua.

Paling utama, Tiguan AllSpace Highline ini datang dengan ciri tujuh tempat duduk dan ini menjadi kelebihan untuknya.

Ia juga memiliki ruang but seluas 230 liter dan mencapai sehingga 1,775 liter jika kerusi belakang direbahkan.

Sebagai SUV berciri keluarga, ia juga disertakan meja lipat pada bahagian belakang kerusi hadapan untuk meletak makanan dan cawan.

ELEMEN sporty dan aktif.
ELEMEN sporty dan aktif.

Untuk kemudahan tambahan, pintu belakang juga boleh dibuka dan ditutup melalui kunci kawalan jauh.

Prestasi enjin antara yang penulis gemari. SUV ini dijana enjin 1.4 liter TSI suntikan Turbo untuk kuasa 150PS pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 250Nm pada 1,500 hingga 3,500 rpm.

Melaui pacuan roda hadapan, ia didatangkan dengan kotak gear enam kelajuan DSG automatik untuk kelancaran tukaran gear termasuk responsif memintas kenderaan lain.

Ia juga disertakan dengan pilihan gaya transmisi manual dan sport.

Untuk keselesaan pengendalian, ia didatangkan dengan suspensi hadapan McPherson selain suspensi belakang Multilink.

PAPAN pemuka ringkas dan elegan.
PAPAN pemuka ringkas dan elegan.

Ia menawarkan kestabilan sama ada di lebuh raya atau melalui jalan tidak rata dan lasak sederhana.

Meskipun kepuasan memandu, penggunaan bahan api juga sangat efisen dengan satu tangki penuh 60 liter mampu menjangkau kira-kira 600 kilometer dengan pelbagai kelajuan dan muatan yang dibawa.

Secara keseluruhannya, SUV ini menampilkan ciri praktikal dan fleksibel tujuh tempat duduk selain ruang dalaman luas.

RUANG kabin praktikal dan fleksibel.
RUANG kabin praktikal dan fleksibel.

Ia juga dilengkapi elemen keselamatan terbaik termasuk enam beg keselamatan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Bantuan Brek (BA) dan sistem Kawalan Pelayaran dengan tahap kelajuan.

Untuk pasaran Malaysia, Volkswagen Allspace Highline 1.4TSI dijual pada harga RM164,430 (atas jalan tanpa insurans dan cukai jualan).

ENJIN 1.4 liter turbo.
ENJIN 1.4 liter turbo.

Selain varian ini, terdapat satu lagi varian iaitu Tiguan Allspace R-Line 2.0TSI yang dijual pada harga RM208,553 (atas jalan tanpa insurans)

Ia juga didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan serta dengan bantuan jalanan dan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.

CIRI SUV tujuh tempat duduk.
CIRI SUV tujuh tempat duduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:30 AM