BENTUK futuristik.
BENTUK futuristik.
Lizam Ridzuan


TEKNOLOGI masa depan membabitkan penggunaan skuter elektrik boleh dikatakan sebagai antara pilihan untuk kita menjalani rutin harian atau tujuan komersial.

Tanpa penggunaan bahan api, skuter elektrik turut membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, khasnya di kota raya.

Satu daripada model yang bakal diperkenalkan ialah Blueshark R1 yang dilengkapi ciri teknologi termaju menerusi sistem pengoperasiannya.

Sistem ArkRide OS bersepadu yang dibangunkan dan dimiliki oleh jenama itu menawarkan pengalaman menunggang lebih baik.

Ia dilengkapi aplikasi yang membolehkan pelbagai fungsi diaktifkan menerusi telefon pintar.

Ia termasuk menghidup atau mematikan kuasa skuter, membuka tempat duduk serta maklumat kapasiti bateri.

Blueshark R1 juga dilengkapi teknologi penukaran bateri litium besi fosfat (LFP) sebagai alternatif pengecasan yang lebih efisien bagi memastikan bekalan kuasa mobiliti yang lebih pantas.

METER HD pelbagai maklumat.
METER HD pelbagai maklumat.

Skuter ini hanya seberat 92 kilogram (kg), ditambah dengan dua bateri seberat 12kg setiap satu serta mampu membawa muatan seberat sehingga 200kg.

Blueshark R1 mampu menjelajah sehingga 110 kilometer (km) dengan dua bateri pengecasan penuh serta kelajuan tertinggi 80km/j.

Ia turut dilengkapi pelbagai ciri terkini termasuk Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS).

Ia juga didatangkan dengan kuasa motor elektrik 5,000w dan tork 201Nm, enam mod tunggangan menerusi tiga mod normal selain 'Helping Boost' dan 'Turbo Racing'.

PILIHAN warna menarik.
PILIHAN warna menarik.

Ia turut dilengkapi skrin meter definisi tinggi (HD) 10 inci yang dilengkapi Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

Pusat 3S pertama milik Blueshark juga bakal dibuka di Glenmarie, Shah Alam, Selangor untuk meluaskan infrastruktur tempatan dan membekalkan sokongan ekosistem buat penunggang.

Skuter elektrik ini juga bakal dipasang secara tempatan (CKD) pada suku ketiga tahun depan bagi memenuhi keperluan pasaran di Malaysia serta untuk tujuan eksport ke pasaran rantau Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 6:40 AM