Lizam Ridzuan


CUBAAN untuk mencipta rekod memandu Proton Saga dengan hanya menggunakan dua roda diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini, sempena Karnival Proton Malaysia Speed Festival (MSF) Merdeka Race 2022.

Untuk tujuan itu, pemandu dan pelumba profesional, Faidzal Alang dipilih bagi menyahut cabaran berkenaan. Faidzal dikehendaki memandu sejauh mungkin di litar berkenaan.

Cubaan pertama dilakukan pada sebelah malam hari pertama MSF dalam keadaan hujan serta litar basah.

Faidzal berkata, cubaan itu memberi kelebihan kepada tekanan tayar, namun hujan lebat menjadi cabaran utama untuknya melakukan pemanduan.

"Litar terlalu licin dan saya perlu mengiringkan kereta semaksimum mungkin ke bahagian kanan, namun gagal.

"Selepas tiga kali mencuba, saya memutuskan untuk menangguhkan cubaan dan melakukannya semula pada keesokan hari," katanya.

Beliau kemudian melakukan cubaan sama pada tengah hari, hari kedua MSF dan ketika itu, cuaca juga sangat baik.

CABARAN catat rekod pandu Saga dengan dua roda.
CABARAN catat rekod pandu Saga dengan dua roda.

SEBELUM memulakan pemanduan.
SEBELUM memulakan pemanduan.

FAIDZAL (kanan) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.
FAIDZAL (kanan) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

Dengan hanya sekali cubaan, Faidzal memulakan pemanduan dengan sangat baik apabila beliau berjaya melepasi selekoh pertama.

Di selekoh keempat, Proton Saga berkenaan tersasar keluar, namun kembali memasuki laluan litar.

Faidzal berjaya mengawal kereta dan meneruskan pemanduan sehingga melepasi selekoh kelapan.

Ketika menghampiri selekoh kesembilan, tayar hadapan Proton Saga meletup dan memaksa cabaran dihentikan.

Secara keseluruhan, Faidzal berjaya mengendalikan Proton Saga itu sejauh lebih setengah litar. Untuk rekod, jarak keseluruhan satu pusingan litar ialah 5.543 kilometer.

"Saya sudah melakukan yang terbaik dan yakin mampu menamatkan satu pusingan litar SIC, namun tayar yang pecah membantutkan usaha itu. Proton Saga digunakan juga tiada masalah dan keadaannya sangat baik," katanya.

Faidzal dan Proton merancang untuk melakukan satu lagi cubaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 7:00 AM