Lizam Ridzuan Lizam Ridzuan


LEXUS UX 200 Serba Baharu hadir dengan rekaan premium menawan bagi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang dikhususkan untuk gaya urban.

Model diperkenalkan baru-baru ini oleh Lexus Malaysia menggabungkan elemen rekaan sporty dengan ciri praktikal dan elemen unik dengan sentuhan seni gaya hidup Jepun.

Vroom berkesempatan memandu uji model ini bagi menilai keselesaan serta prestasi enjin yang ditawarkan dalam sesi ringkas bersama media yang diadakan di sekitar Lembah Klang.

Untuk pasaran di negara ini, tiga varian ditawarkan iaitu Urban, Luxury dan F Sport dengan beberapa perbezaan membabitkan ciri kemasan dalaman serta luaran.

Melihat kepada rekaan luaran, model terarah kepada ciri kenderaan hatchback melalui gabungan gril signatur ‘Spindle’ dan garis tajam serta terperinci pada beberapa bahagian.

Untuk varian Luxury yang dipandu uji penulis, lampu hadapannya adalah Bi-LED dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk L, selain elemen signatur lain yang ada pada model Lexus.

Ia diserlahkan dengan lampu belakang melintasi bahagian pintu but bercirikan spoiler yang memberi fungsi aliran angin lebih baik daripada sisi hadapan dan rim hadapan untuk tampil unik.

GAYA sporty SUV kompak.
GAYA sporty SUV kompak.

LAMPU belakang unik ciri aerodinamik.
LAMPU belakang unik ciri aerodinamik.

Padanan rim aloi bersaiz 225/50 18 inci menyerlahkan elemen sporty dengan tayar ‘run flat’ memberi kelebihan untuk kenderaan ini terus boleh bergerak walaupun tayarnya pancit.

Untuk rekaan dalaman, ia tampil lebih elegan dengan ruang kabin yang selesa.

Ia mengetengahkan konsep seni binaan tradisional Jepun yang menghilangkan garis pemisah di antara luaran dan dalaman.

Ini dapat dilihat melalui sudut pandangan yang jelas melalui cermin hadapan.

Papan pemukanya dihasilkan daripada bahan bermutu tinggi dengan eleman ‘washi’ yang digunakan pada pintu ‘shoji’ rumah di Jepun.

Pada kerusi kulit, dapat dilihat eleman sama dengan padanan corak permukaan yang sering digunakan pada seragam judo dan kendo.

Ia juga dipadankan dengan corak simetri sama yang dihasilkan pereka kraf Takumi seterusnya menyerlahkan kemasan dan kemewahan yang ditawarkan.

Untuk UX 200, ada lima pilihan warna tempat duduk mengikut varian boleh dipilih iaitu Cobalt, Ocher dan hitam untuk varian Luxury.

Varian Urban pula membabitkan Cobalt dan hitam selain F Sport hitam khusus untuk F Sport yang juga varian tertinggi bagi model ini.

Lapan larasan elektrik disediakan untuk kerusi pemandu selain dua posisi sokongan pada bahagian belakang (lumbar) yang boleh diturun naik untuk penglihatan lebih jelas ketika memandu.

SISTEM pengecasan tanpa wayar.
SISTEM pengecasan tanpa wayar.

Kerusi belakangnya boleh direbah bagi mencipta ruang lebih praktikal untuk membawa lebih muatan barangan.

Pemandu juga boleh melihat dengan jelas maklumat perjalanan melalui meter ciri LCD TFT bersaiz lapan inci.

Sistem multimedia pula bersaiz 10.3 inci dengan ciri ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto ke telefon pintar yang dipaparkan di skrin.

Untuk melaras fungsi yang terdapat pada sistem multimedia, pad sesentuh pada konsol tengah boleh digunakan dengan hanya menggerakkan jari untuk memudahkan carian serta lebih fokus pada pemanduan.

Sistem bunyi Lexus Premium Audio adalah ciri standard dan untuk varian ini, ia dilengkapi lapan pembesar suara daripada teknologi arang buluh termasuk ‘tweeter’ untuk kualiti bunyi bermutu tinggi.

Selain itu, antara ciri unik lain ialah butang kawalan penyaman udara bercahaya yang juga satu-satunya di dunia.

UX 200 dijana enjin 1,987 cc VVT-iE dan VVT-i untuk kuasa 169 hp pada 6,600 rpm dan 205Nm pada 4,800 rpm serta dipadankan dengan kotak gear 10 kelajuan Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) pacuan roda hadapan.

Melalui pengamatan penulis, model yang didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport ini sentiasa mengalirkan kuasa yang baik.

Menurut Lexus, enjin M20A-FKS petrol ini adalah yang paling efisien dalam pasaran dengan Dwi-VVTi.

Sistem enjin yang dipasang untuk semua model terkini Lexus memberikan ia kelebihan hamburan kuasa dan pada masa sama menawarkan penjimatan bahan api serta mengurangkan pelepasan gas karbon.

RUANG dalaman premium.
RUANG dalaman premium.

Selain di lebuh raya, sesi pandu uji ini turut singgah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) untuk beberapa ujian dan aktiviti pemanduan.

Ujian slalom dan brek disediakan penganjur bagi menilai pengendalian lebih stabil model yang dibina di atas platfrom Global Architecture-Compact (GA-C) ini melalui sistem gantungan MacPherson hadapan dan Trailing Wishbone pada bahagian belakang.

Secara keseluruhannya, model Lexus UX 200 ini adalah model kompak premium yang disulami rekaan berkesenian tinggi dari Jepun.

Selain itu, ruang dalaman dengan kemasan bermutu tinggi dan teknologi terkini ditawarkan menjadikan ia pilihan buat yang mahukan SUV kompak berciri prestasi dan praktikal.

Sistem keselamatannya cukup ampuh membabitkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD), Bantu Brek (BA), Sistem Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TRC) dan lapan beg udara.

Ciri lain ialah Sistem Pra Pelanggaran Hadapan (PCS), Bantu Mengesan Lorong (LTA) dan Amaran Pelepasan Lorong (LDA), Kawalan Pelayaran Radar Dinamik (DRCC), Sistem Pancaran-Tinggi Adaptif (AHS) serta Bantu Selekoh Aktif (ACA) untuk menambah keyakinan kepada pemandu.

Lebih 10 warna luaran ditawarkan serta lima pilihan warna ruang dalaman mengikut varian menjadikan ia berciri peribadi kelas premium tersendiri.

Untuk pasaran Malaysia, Lexus UX 200 diimport sepenuhnya dari Jepun dan dijual pada harga RM243,888 (Urban), RM283,888 (Luxury) dan RM299,888 (F Sport) dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

ERGONOMIK untuk pemandu.
ERGONOMIK untuk pemandu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 7:00 AM