KERETA perisai pertama negara.
KERETA perisai pertama negara.
Lizam Ridzuan


SELEPAS diperkenalkan kepada umum pada Februari lalu, kenderaan tempur perisai mobiliti tinggi buatan Malaysia pertama iaitu Mildef HMAV 4X4 diuji pula di lapangan sebenar.

Ujian di lapangan berkenaan mendapat kerjasama pasukan uji nilai Tentera Darat Malaysia (TDM) serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Kementerian Pertahanan.

Ia bagi menilai sama ada jentera ini mampu melaksanakan pelbagai misi ketenteraan dan perlindungan kepada penggunanya.

Jentera dengan berat sekitar 14 tan itu melalui ujian laluan jalan raya sejauh 300 kilometer (km), perjalanan lasak sejauh 200km dan ujian berhalangan.

HMAV ini turut dipandu ke Kuantan, Pahang melalui jalan berbukit dengan membawa bebanan sehingga satu tan dan ujian berpasir serta 'winch' di Kemaman, Terengganu.

Ia seterusnya diuji ke Kota Bharu, Kelantan untuk prestasi penggunaan bahan api sebelum perjalanan diteruskan ke Sungai Petani, Kedah untuk ujian brek dan pendakian.

Selepas itu, kumpulan ini kembali ke ibu pejabat Mildef di Sepang bagi ujian ketahanan di lebuh raya dengan kelajuan maksimum sehingga 110 kilometer/sejam (km/j).

HMAV ini turut diuji ke Gemas, Negeri Sembilan untuk tambahan ujian termasuk merentas laluan berair sedalam satu meter.

MEREDAH laluan berair.
MEREDAH laluan berair.

UJIAN pendakian.
UJIAN pendakian.

PELBAGAI permukaan jalan untuk bukti keupayaan.
PELBAGAI permukaan jalan untuk bukti keupayaan.

Kemudian, ia melalui ujian berat dan ujian lereng bukit serta pendakian dengan kecerunan 60 peratus di Sungai Merab, Selangor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mildef International Technologies, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa berkata, pihaknya berpuas hati hasil ujian yang dijalankan untuk HMAV berkenaan.

"HMAV ini turut dirancang untuk melalui beberapa ujian lain di lokasi berbeza hingga ke tahap maksimum," katanya.

Mildef International Technologies adalah syarikat tempatan yang khusus dalam bidang perkhidmatan automotif bagi kegunaan industri pertahanan Malaysia serta dibangunkan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

HMAV ini direka dan dibangunkan oleh anak tempatan. Model ini menggunakan 70 peratus komponen tempatan (casis, badan dan sistem enjin) dan 30 peratus kandungan luar (gandar, transmisi dan enjin).

Ia dijana enjin Caterpillar berkapasiti 7.2 liter diesel pengecas turbo dengan 330hp dan tork 1116Nm. Ia mampu mencapai kelajuan sehingga 110 kilometer/sejam (km/j).

Ia juga dilengkapi pelancar bom serta sistem senjata kawalan jauh (RCWS).

INFO

  • Mildef HMAV 4X4 bersaiz 5,600 milimeter (mm) panjang, 2,500 mm lebar dan tinggi.

  • Jarak roda dengan 3,200mm dan jarak permukaan jalan 430mm.

  • Satu isian penuh bahan api mampu mencapai 700km.

  • Mampu melalui aliran anak sungai dengan kedalaman 1,000mm.
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 6:53 AM