PENAT lelah pendakian terbayar apabila disajikan pemandangan matahari terbit yang sungguh menakjubkan.
PENAT lelah pendakian terbayar apabila disajikan pemandangan matahari terbit yang sungguh menakjubkan.
Mohd Nasquirel Indra Jaya Mohd Nasir


SABAH sememangnya unik kerana turut mempunyai bentuk muka bumi dengan kawasan tanah tinggi dan pergunungan.

Antaranya adalah Gunung Tambuyukon mempunyai ketinggian 2579.22 meter yang berkongsi kedudukan di daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu.

Dahulunya gunung ini pernah memegang takhta gunung ketiga tertinggi di Malaysia, namun kini jatuh ke tempat keempat.

Namun, gunung ini tetap digilai peminat aktiviti pendakian kerana laluan pendakian yang dikatakan lebih mencabar berbanding gunung lain.

Pada 11 Disember 2021, penulis berpeluang untuk mendaki gunung ini bersama beberapa rakan pendaki.

Pendakian kali ini sangat berbeza kerana penulis dan rakan pendaki perlu membawa sendiri peralatan khemah kerana ia tidak disediakan pihak Sabah Park.

PENULIS teruja dapat mendaki Gunung Tambuyukon.
PENULIS teruja dapat mendaki Gunung Tambuyukon.

Pada masa sama, kami perlu memastikan bekalan makanan yang mencukupi atas faktor tempoh pendakian yang mengambil masa kira-kira empat hari.

Perjalanan bermula dari Kota Kinabalu menuju Kinabalu Park untuk mendapatkan permit pendakian sebelum meneruskan perjalanan ke Kampung Monggis, Ranau.

Ketua Kampung Monggis, Awang Matamin sangat bermurah hati memberi keizinan kepada kami untuk bermalam di balai raya kampung itu.

Pada keesokan hari, cuaca menyebelahi kami untuk meneruskan perjalanan menuju Monggis base camp.

PENDAFTARAN di Sub Stesen Monggis sebelum mula mendaki.
PENDAFTARAN di Sub Stesen Monggis sebelum mula mendaki.

Di sini, kami membuat pendaftaran, bayaran penuh pendakian, mengasingkan barangan untuk dibawa 'porter' dan mendengar taklimat ringkas daripada kakitangan Sabah Park, Hairyl Sitibon.

Semua urusan selesai dalam tempoh 40 minit dan kami pun memulakan pendakian pada 9.30 pagi. Kami meredah kawasan hutan yang landai sebelum berdepan laluan yang lebih mencabar kerana hampir dua tahun laluan pendakian ditutup akibat pandemik.

MENYEBERANG sungai deras antara cabaran yang terpaksa ditempuhi.
MENYEBERANG sungai deras antara cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Sebagai kumpulan pendaki pertama pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami bertuah kerana dapat merasai pengalaman melalui laluan yang ditutup semak, melihat pokok tumbang akibat gelongsoran tanah serta jumlah pacat yang banyak.

Kami tiba di tapak perkhemahan Kapuakan selepas hampir empat jam mendaki.

Seperti biasa kami mendirikan khemah, memasak dan berehat melepaskan penat lelah. Suhu di sekitar sangat sejuk dan terdapat sumber air bersih daripada aliran sungai yang deras.

Pada hari kedua, perjalanan diteruskan menuju Kem Musang. Cabaran bermula apabila kami perlu menyeberangi sungai yang deras dengan menggunakan tali.

Selesai menyeberang, kami terpaksa menempuh laluan yang menegak selama hampir empat jam sebelum menemui laluan agak landai.

Kawasan ini dipenuhi pokok tinggi dianggarkan berusia ratusan tahun dan permukaan tanah yang berlumut. Pergerakan kabus di celah-celah pokok menjadikan suasana lebih segar.

Kami tiba di kem Musang pada jam 12.30 tengah hari dan perlu berehat panjang kerana memulakan pendakian ke puncak pada 1.30 pagi.

Malam itu kami dilanda kerisauan tidak dapat meneruskan pendakian kerana hujan lebat masih tidak berhenti.

MERAIKAN kejayaan menawan puncak Gunung Tambuyukon bersama rakan pendaki.
MERAIKAN kejayaan menawan puncak Gunung Tambuyukon bersama rakan pendaki.

Hari ketiga bermula seawal 1.30 pagi dan kami sangat bersyukur kerana hujan sudah berhenti.

Jurupandu kami yang dikenali sebagai Annik dan Jenol bagaimanapun memaklumkan sekiranya hujan di pertengahan jalan, kami diarahkan untuk berpatah balik.

Dengan bantuan lampu suluh dan jurupandu, kami meredah kegelapan malam mendaki laluan mencanak, berpaut pada akar pokok dan memanjat batuan licin untuk tiba ke 'rock garden'.

Kami berehat sebentar dan mengambil kesempatan merakam foto kenangan di sini kerana panorama pergunungan sekitar yang menakjubkan.

Dari 'rock garden', kami dicabar untuk kali yang terakhir dengan laluan berbatu yang sempit dan berakar kayu.

Akhirnya, selepas lebih empat jam mendaki, penulis dan sahabat pendaki yang lain Kublai, Roland, Tanti dan Sofi berjaya menakluk puncak Gunung Tambuyukon.

Benar bagai dikata orang Sabah, gunung yang 'membuyuk' (menipu) kerana semakin didaki, puncaknya seakan tak kunjung tiba.

Bagaimanapun, segala penat lelah terbayar apabila disajikan dengan pemandangan matahari terbit yang sungguh menakjubkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 7:00 AM