LENNART Stegland pada majlis pelancaran Volvo XC40. FOTO Saifullizan Tamadi
LENNART Stegland pada majlis pelancaran Volvo XC40. FOTO Saifullizan Tamadi
Razlan Salleh


VOLVO Car Malaysia melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak XC40 T5 premium dengan bercirikan standard baru terhadap keselamatan dan pengalaman pemanduan termaju.

Model yang dinobatkan sebagai 'European Car of The Year 2018' dijual pada harga RM255,888 (tanpa insurans) dan paling menarik, pasaran Malaysia akan menerima tingkat kemasan R-Design sebagai ciri standard.

SUV berteknologi tinggi ini dibangunkan untuk mengharungi cabaran di kota dengan pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan dan lengkap, meliputi pelbagai ciri keselamatan termaju dan infotainmen seperti XC60 serta XC90.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Lennart Stegland, berkata XC40 terbaru dibina dari warisan Volvo sebagai jenama yang sentiasa memberi tumpuan terhadap keselamatan pemandu dan penumpang.

"Dengan menggabungkan teknologi inovatif serta menawarkan bukan sahaja piawaian keselamatan yang sangat tinggi, tetapi juga termasuk teknologi bantuan pemandu serta rekaan keseluruhan yang moden.

"Selain daripada semua teknologi yang kami perkenalkan untuk segmen ini, XC40 juga menampilkan rekaan kabin yang lebih ringkas dan praktikal serta ruang simpanan berguna, semuanya hasil daripada maklum balas pengguna," katanya ketika majlis pelancaran di Genting Highlands, hari ini.

XC40 T5 R-Design dilengkapi enjin 2.0 liter Drive-E menawarkan kuasa 252 hp dan 350 Nm tork.

Dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA), XC40 turut menikmati pelbagai teknologi terkini yang sebelum ini hanya boleh ditemui pada model lebih besar yang menggunakan asas Scalable Product Architecture (SPA).

Teknologi dimaksudkan termasuk Pilot Assist, City Safety generasi terbaru terhadap pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan, Run-off Road Protection and Mitigation dan Cross Traffic Alert with Auto Brake.

Menurut Stegland, teras penghasilan rekaan ala Scandinavia ialah keseimbangan sempurna antara estetika dan fungsi.

"Sebagai contoh, terowong tengahnya tidak sekadar direka untuk nampak menarik, tetapi jika dilihat pada ruang pemegang cawan yang ada, ia juga boleh meyimpan syiling, kad, kabel serta menjadi ruang berguna untuk meletak telefon dengan ciri pengecasan tanpa wayar serta ciri USB," katanya.

Empat warna ditawarkan iaitu Bursting Blue, Fusion Red, Cyrstal White dan Osmium Grey.

Volvo XC40 terbaru ini akan berada di bilik pameran semua pengedar sah Volvo seluruh negara bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 3:00 PM