PETER (kanan) dan Stegland ketika pelancaran Volvo S90 T8 Twin Engine. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PETER (kanan) dan Stegland ketika pelancaran Volvo S90 T8 Twin Engine. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Lizam Ridzuan


VOLVO Car Malaysia melancarkan model baru Volvo S90 T8 Twin Engine yang dijana dengan gabungan kuasa ‘turbocharged’ dan ‘supercharged’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Model ini yang menawarkan enjin plug-in elektrik hybrid (PHEV) 2.0 kini didatangkan dengan dua varian terkini iaitu Inscription dan Inscription Plus.

Ia hanya berbeza melalui pembesar suara premium Bowers & Wilkins serta sistem suspensi angin belakang kawalan elektronik (Four-C) untuk keselesaan yang terdapat pada varian Inscription Plus.

Pengarah Urusannya, Lennart Stegland berkata, model sedan pemium ini dibina melalui platform ‘Scalable Product Architecture (SPA)’ dengan rekaan komponen hibrid termasuk bateri hibrid menggunakan sistem kuasa tenaga elektrik disekalikan dengan keseluruhan kerangka kenderaan.

“Pendekatan unik ini menjadikan model S90 menawarkan prestasi enjin lebih mantap, ciri keselamatan terbaik, penggunaan ruang lebih efisyen serta kenderaan lebih selesa,” katanya ketika pelancaran sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau & Eko (IGEM 2017), hari ini.

Turut hadir ke majlis pelancaran ialah Pengerusi Green Technology Corporation sebagai penganjur bersama IGEM 2017, Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Enjin petrol hasil gabungan motor elektrik pada gandar belakang mampu menghasilkan kuasa kuda 407 hp dengan tork 640 Nm yang boleh mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 kilometer sejam (km/j) dengan kotak gear automatik lapan kelajuan.

Volvo S90 T8 Twin Engine dipasang secara tempatan (CKD) melalui kilang Volvo di Shah Alam, model kedua untuk PHEV selepas model XC90.

Ia dijual pada harga pengenalan bermula RM348,888 (Inscription) dan RM368,888 (Inscription Plus) sehingga 31 Oktober 2017 dengan lima tahun waranti.

Lima pilihan warna turut ditawarkan iaitu biru Mussel, perak Bright, putih Ice, hitam Onyx dan kelabu Osmium.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 4:37 PM