EMPAT beradik masing-masing berusia tujuh bulan, dua tahun, lima dan tujuh tahun ditempatkan di rumah jiran sementara menunggu kehadiran JKM selepas ditemui dibiarkan bersendirian selama tiga hari di sebuah rumah di Ampangan. FOTO Ihsan pembaca
EMPAT beradik masing-masing berusia tujuh bulan, dua tahun, lima dan tujuh tahun ditempatkan di rumah jiran sementara menunggu kehadiran JKM selepas ditemui dibiarkan bersendirian selama tiga hari di sebuah rumah di Ampangan. FOTO Ihsan pembaca
Ahmad Hasbi

Seremban: Empat beradik masing-masing berusia tujuh bulan, dua tahun, lima dan tujuh tahun ditemui dibiarkan bersendirian selama tiga hari di sebuah rumah di Ampangan, dekat sini, kelmarin.

Ketika ditemui, hanya terdapat permaidani lusuh yang dijadikan alas tidur, manakala si bongsu hanya dijaga abang sulung berusia tujuh tahun.

Difahamkan, ibu kanak-kanak berkenaan keluar dari rumah sejak 1 Disember dan tidak pulang manakala bapanya berada dalam tahanan reman polis.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosnah Sardi berkata, difahamkan ibu bapa kanak-kanak malang berkenaan adalah etnik Rohingya dan sebelum ini sering berpindah randah.

"Pihak kami menerima aduan daripada beberapa jiran pada jam 9.40 malam kelmarin mengenai keadaan tiga kanak-kanak dan seorang bayi berusia tujuh bulan yang diabaikan ini.

"Penduduk sudah mengambil mereka dan ditempatkan di kediaman jiran serta diberikan makanan. Ketika pihak kami mengambil mereka, anak-anak ini berada dalam keadaan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pegawai JKM membuat siasatan di lokasi kejadian dan menghubungi pihak UNCHR kerana kes membabitkan pelarian daripada Rohingya yang dilindungi UNCHR.

"Hasil siasatan mendapati ibu mereka dikatakan keluar rumah mulai 1 Disember lalu dan tidak kembali. Bapa berada di lokap dan akan dilepaskan, hari ini.

"Anak-anak ini ditempatkan di tempat selamat sebelum diserahkan kepada bapa kandung di bawah pemantauan pihak UNCHR," katanya.

Menurut beliau, satu laporan polis sudah dibuat mengenai kejadian ini dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 17 (1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 2:37 PM