INDIVIDU Rohingya ditempatkan di kem pelarian selepas mereka tiba Deli Serdang, Sumatera Utara. FOTO Antara Foto/ Reuters
INDIVIDU Rohingya ditempatkan di kem pelarian selepas mereka tiba Deli Serdang, Sumatera Utara. FOTO Antara Foto/ Reuters
Reuters

Jakarta: Lebih 140 individu Rohingya tiba di wilayah Sumatera Utara di Indonesia pada hujung minggu, lapor agensi berita negara Antara pada Isnin, menambah lonjakan ketibaan anggota minoriti Muslim Myanmar itu ke Indonesia.

Kumpulan itu, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, tiba dengan kapal di kawasan Deli Serdang, Sumatera Utara pada lewat Sabtu, menurut laporan Antara yang memetik seorang pegawai polis.

Ketibaan itu dibuat selepas tentera pada minggu lalu berkata, kapal tentera lautnya menghalau bot yang membawa Rohingya di perairan jauh di utara Sumatera, ketika etnik minoriti yang dianiaya itu menghadapi permusuhan dan penolakan yang semakin meningkat di Indonesia.

Lebih 1,500 Rohingya mendarat di Indonesia sejak November, menurut data daripada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR).

Selama bertahun-tahun Rohingya meninggalkan Myanmar, di mana mereka secara umumnya dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan, dinafikan kewarganegaraan dan tertakluk kepada penderaan.

Mereka biasanya berlepas ke Indonesia atau negara jiran Malaysia dari November hingga April, apabila keadaan laut lebih tenang.

Indonesia, negara majoriti Muslim terbesar di dunia, bukan penandatangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 mengenai Pelarian, tetapi mempunyai sejarah menerima pelarian, jika mereka tiba.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 7:51 AM