Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Kami teruja untuk menyambut kelahiran anak sulung April depan selepas isteri mengalami keguguran tahun lalu. Tapi kini semuanya berubah.

"Apapun saya reda dengan apa yang berlaku walaupun kehilangan isteri dan ibu mentua dalam nahas hari ini," kata Ismail Mohamad, 28.

Ismail adalah suami Nadzifah Abu Seman, 28 yang maut bersama dan ibunya, Romadiah Ismail, 65, dalam nahas selepas kereta Perodua Bezza dinaiki mereka dirempuh lori tanah di Jalan Kolon, Pokok Sena, pagi tadi.

Kejadian itu turut membabitkan dua kenderaan lain iaitu Perodua Axia dan Toyota Hilux.

Menurut Ismail, isterinya yang hamil lima bulan memberitahu dia dan ibunya mahu melawat kakak yang dirawat di pusat perubatan swasta di pusat bandar akibat sesak nafas, hari ini.

Katanya, sepatutnya dia yang menghantar mereka tetapi arwah isterinya bimbang menyusahkannya dan memberitahu dia sendiri akan memandu ke sana menggunakan Perodua Bezza kakaknya.

"Ketika di tempat kerja, ada rakan hantaran video kemalangan sebuah kereta dan lori terbalik yang tular di media sosial.

"Bila nampak keadaan kereta Perodua Bezza biru dalam video itu, saya tanya rakan sama ada dia nampak nombor pendaftaran kereta itu atau kenal dengan mangsa tetapi dia beritahu tak tahu.

"Lepas itu saya hubungi isteri dua kali tetapi tidak dijawab dan saya kerana tak sedap hati, saya ke lokasi kemalangan yang hanya satu kilometer dari tempat kerja," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Menurut Ismail, dia menjadi bertambah bimbang apabila dihubungi kakaknya memberitahu ibu mentua serta isterinya tidak sampai lagi di pusat perubatan berkenaan dan cuba menghubungi mereka namun panggilan telefon tidak dijawab.

Kata pekerja penghantaran barang itu, sebaik tiba di lokasi kemalangan bertanya dengan polis berkaitan mangsa nahas dan diberitahu mereka adalah dua wanita tetapi waris belum diberitahu lagi.

"Nombor pendaftaran kereta Perodua Bezza itu memang saya tak ingat tetapi selepas kakak ipar beritahu nombornya barulah saya tahu mangsa adalah isteri dan ibu mentua," katanya.

Ismail berkata, mereka belum membuat persiapan untuk menyambut kelahiran bayi sulungnya itu tetapi dia dan isterinya bercadang untuk menyambut hari ulang tahun kedua perkahwinan pada 11 Disember ini di Kuala Lumpur.

"Semalam kami menghadiri majlis kenduri di Kuala Perlis dan sempat singgah di tepi pantai untuk mengambil gambar tetapi pada mulanya arwah enggan turun dari kereta tetapi selepas dipujuk, akhirnya kami berdua mengambil gambar di situ.

"Tak sangka itu gambar terakhir yang saya akan simpan sebagai kenangan bersamanya sebelum dia pergi buat selamanya hari ini," katanya.

Menurut Ismail, jenazah isteri dan ibu mentuanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lala, Pokok Sena selepas urusan bedah siasat selesai.

Media sebelum ini melaporkan dua wanita maut apabila kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah lori tanah di Jalan Kolon, Pokok Sena, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 4:03 PM