Foto hiasan
Foto hiasan
Oleh Alias Abd Rani


Batu Pahat: Empat daripada 11 anggota penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan yang ditahan ketika sedang asyik berhibur di sebuah pusat hiburan di daerah ini, akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok.

Difahamkan, keempat-empat mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana air kencing positif dadah.

Mengikut sumber, baki tujuh lagi penjawat awam dibebaskan selepas ujian air kencing dijalankan adalah negatif.

"Hanya empat akan didakwa esok selepas didapati positif dadah. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan diminta hadir ke mahkamah untuk pertuduhan," katanya.

Pada 28 April lalu, polis Johor menyerbu sebuah pusat hiburan sebelum menahan 49 individu, termasuk 11 penjawat awam.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar dipetik berkata, dalam serbuan Ops Hibur yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor, jam 1 pagi itu, pihaknya turut menahan 19 lagi individu yang didapati positif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 3:17 PM