Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Arwah abang dan kakak ipar sepatutnya mengadakan kenduri aqiqah untuk bayi perempuan mereka pada hari raya kedua Aidiladha Jumaat ini tetapi tidak kesampaian apabila ketiga-tiga mereka pergi buat selamanya," kata Ilda Iman Che Johar, 26.

Ilda Iman adalah adik kepada Muhammad Izham Che Johar, 32, yang maut bersama isterinya, Kamilah Ali, 30, serta bayi mereka, Arwaa Ulyaa Muhammad Izham, 2 bulan, serta ibu Kamilah, Rosnah Mokhtar, 59, dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, Kulim, semalam.

Dalam kemalangan 4 petang itu, selain kehilangan keempat-empat mereka, seorang lagi anak pasangan itu, Aisyah Rumaisa Muhammad Izham, dua tahun serta sepupunya, yang dikenali sebagai Izzudin, 14 tahun, parah .

Kedua-dua mangsa yang cedera sedang dirawat di Zon Merah Hospital Kulim manakala empat mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Menurut Ilda Iman, kejadian dipercayai berlaku ketika abangnya pulang menjemput isterinya yang bekerja sebagai peguam syariah di Parit Buntar, Perak pulang ke rumah mereka di Kampung Kembai, Kuala Ketil.

Katanya, ibu mentua abangnya serta dua anak mereka turut mengikut bersama dalam kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka.

"Kebiasaannya abang sekeluarga akan pulang ke kampung kami di Kampung Paya Keladi, Kepala Batas di Pulau Pinang pada hari raya pertama dan pulang ke rumah mereka di Kampung Kembai.

"Ibu mentua abang tinggal bersama mereka dan abang pula mengusahakan ternakan lembu di sana sejak empat tahun lalu.

"Sepatutnya esok abang yang akan menguruskan menyembelih tempahan lembu korban tetapi tak sangka semua ini akan berlaku," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini hari ini.

Ilda Iman berkata, abangnya juga sempat mencium tangan bapa mereka Che Johar Jaafar, 63, malam kelmarin ketika pulang ke rumah mereka di Kepala Batas dan tak sangka itu yang terakhir mereka bertemu.

Katanya, abangnya yang juga anak kedua dari empat beradik dan anak tunggal lelaki dalam keluarga malah dia seorang yang baik dan rajin bekerja.

"Kami sekeluarga terkejut apabila terima panggilan telefon daripada polis semalam yang memaklumkan abang, kakak ipar, anak saudara serta ibu mentua abang maut dalam kemalangan.

"Memang sedih sebab kami menunggu kepulangan mereka untuk beraya bersama tapi tak sangka mereka pulang sebagai jenazah," katanya.

Menurut Ilda Iman, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya pada Aidilfitri lalu ketika menziarahi anak kedua pasangan itu yang baru lahir ketika itu.

Katanya, namun sejak seminggu lalu dia selalu teringatkan abangnya dan tidak sabar untuk bertemu esok tetapi reda apabila mengetahui dia dia sudah tiada.

Jenazah empat beranak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Panjang, Kuala Ketil dalam satu liang lahad selepas selesai urusan bedah siasat dilakukan.

Media semalam melaporkan, empat dipercayai sekeluarga maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dengan sebuah treler di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, di Kulim, petang semalam.

Keluarga empat mangsa yang maut berada di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Keluarga empat mangsa yang maut berada di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 11:47 AM