Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan dengan lori tanah dan dua lagi kenderaan di Jalan Kolon, Pokok Sena. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Keadaan kereta yang terbabit dalam kemalangan dengan lori tanah dan dua lagi kenderaan di Jalan Kolon, Pokok Sena. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kemalangan mengakibatkan dua beranak maut di Jalan Kolon, Pokok Sena dipercayai berlaku apabila lori muatan tanah cuba mengelak motosikal masuk ke laluannya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, lori tanah terbabit datang dari arah Alor Setar menghala Pokok Sena manakala tiga kenderaan dari arah bertentangan.

Menurutnya, tiga kenderaan lagi kereta iaitu Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Hilux dari arah Pokok Sena menghala ke Alor Setar.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit membrek untuk mengelak motosikal yang masuk di hadapan laluannya dan menyebabkan ia terbabas ke kanan serta masuk ke laluan bertentangan.

"Akibat itu, lori terbabit melanggar kereta Perodua Bezza sebelum terbalik dan dalam keadaan melintang. Keadaan itu menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Perodua Axia dan Toyota Hilux," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pemandu dan penumpang Perodua Bezza itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan lanjut masih diteruskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Media hari ini melaporkan, dua beranak termasuk ibu hamil lima bulan maut selepas kereta Perodua Bezza yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Kolon, Pokok Sena.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 5:17 PM