MOTOSIKAL mangsa. FOTO Ihsan PDRM
MOTOSIKAL mangsa. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


“LOKASI kejadian agak gelap dan mungkin mangsa tak perasan ada lembu tiba-tiba melintas di kawasan itu menyebabkan berlaku kemalangan itu,” kata Ismail Isa, 50.

Dia adalah saksi yang tiba di tempat kejadian selepas pembantu jualan maut selepas motosikal ditunggang terlanggar seekor lembu, di Kilometer 7.5 Jalan Kuala Nerang dekat Pokok Sena, semalam. Pada kejadian 9 malam itu, mangsa, Cik Puspa Omar, 26, dari Kampung Nako, Mukim Belimbing, Kuala Nerang meninggal dunia selepas terjatuh ke tengah jalan dan dilanggar sebuah bas.

Menurut Ismail, ketika kejadian, dia yang memandu kereta melalui kawasan berkenaan sebelum memberhentikan kenderaan selepas ternampak orang ramai berhenti.

“Saya nampak mangsa sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Menurutnya, orang awam kemudian menghubungi ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam yang memaklumkan kejadian, pada 9.15 malam.

Beliau berkata, kemalangan berlaku membabitkan tiga kenderaan iaitu motosikal, bas dan kereta.

Katanya, kejadian berlaku ketika hujan menyebabkan jalan licin dan basah.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Pokok Sena ke Kuala Nerang.

“Sebaik tiba kejadian, seekor lembu melintas jalan dan mangsa dipercayai terlanggar lembu berkenaan lalu jatuh ke tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noh berkata, pada masa sama sebuah bas yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya dipercayai terlanggar mangsa dan diseret sejauh kira-kira 150 meter dari tempat kejadian.

Beliau berkata, sebuah kereta yang berada di belakang bas tidak sempat membrek dan terlanggar belakang bas.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk urusan bedah siasat, ” katanya.

Noh berkata, pemandu bas itu sudah membuat laporan polis sekitar jam 10 pagi berhubung kemalangan ini manakala pemandu kereta berusia 36 tahun yang menetap di Taman Indah Jabi, Pokok Sena, tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 11:21 AM