Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua wanita termasuk ibu mengandung maut apabila kereta Perodua Bezza dinaiki dipercayai dirempuh lori tanah di Jalan Kolon, Pokok Sena di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali Romadiah Ismail, 65, dan Nadzifah Abu Seman, 28.

Kemalangan yang berlaku 9.55 pagi itu turut mengakibatkan dua lagi kenderaan iaitu kereta Perodua Axia dan trak pikap Toyota Hilux.

Pemandu kereta Perodua Axia, Nur Fathi Rahman, 26, cedera parah manakala dua lagi cedera ringan.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminudin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.59 pagi.

Beliau berkata, tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pokok Sena dan Kuala Nerang tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk memberi bantuan.

ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Kolon, Pokok Sena. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Kolon, Pokok Sena. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Setibanya di lokasi didapati terdapat empat kenderaan iaitu sebuah lori tanah 10 tan, Perodua Bezza, Perodua Axia dan Toyota Hilux terbabit kemalangan.

"Anggota dimaklumkan terdapat tiga mangsa tersepit dalam dua kenderaan dan kesemua mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Aminudin berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Operasi tamat pada jam 12.07 tengahari," katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 1:39 PM