KISHANTHINI dan Mohd Ameerul pada awalnya hanyalah rakan sekerja.
KISHANTHINI dan Mohd Ameerul pada awalnya hanyalah rakan sekerja.
Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Kalau sudah jodoh, hubungan awal antara Kishanthini Sinappan dan Mohd Ameerul Iman Mohd Ariff sebagai sahabat baik akhirnya membuahkan bibit cinta sebelum disatukan sebagai suami isteri.

Mereka selamat diijabkabulkan awal bulan ini dan kisah itu mendapat perhatian selepas Kishanthini, 27, berkongsi video dengan suaminya, Mohd Ameerul Iman, 29, di TikTok yang mendapat perhatian dengan rata-rata netizen gembira melihat penyatuan pasangan berlainan bangsa itu.

Bercerita lanjut, Kishanthini berkata, dia dan suami pada awalnya hanya rakan sekerja yang kerap menghabiskan masa dengan makan bersama.

"Suami bukan hanya rakan baik, malah dia juga peneman waktu makan (lunch buddy) selama dua tahun sebelum ke peringkat seterusnya dengan jadi pasangan kekasih.

"April lalu, suami rancang kejutan dengan melamar saya untuk mengahwininya dan kami berkahwin selepas tujuh bulan. Perkahwinan kami mendapat restu keluarga masing-masing, malah mereka menyokong kami," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Kishanthini, sebab utama dia tertarik dengan Mohd Ameerul Iman adalah kerana dia memahami dan menerima dirinya dengan seadanya.

Katanya, hubungan persahabatan dan persefahaman antaranya serta suami juga menyebabkan mereka serasi bersama.

"Dengan suami, saya boleh menjadi diri tidak perlu bekerja keras untuk menarik perhatiannya. Dia juga tidak mengharap saya berubah dan jujurnya, saya bertuah kerana mempunyai kawan baik dan pasangan orang yang sama," katanya.

 PENYATUAN antara Kishanthini dan Mohd Ameerul mendapat restu keluarga masing-masing.
PENYATUAN antara Kishanthini dan Mohd Ameerul mendapat restu keluarga masing-masing.

Kishanthini berkata, dia sebenarnya sudah menjangkakan akan berkahwin dengan lelaki yang berlainan bangsa kerana sejak kecil lagi sudah bergaul dengan rakan berbilang kaum dan agama.

Katanya, dia juga berasa lebih senang meluangkan masa dengan lelaki yang berbeza kaum mungkin kerana persekitarannya.

"Bagi saya, perkahwinan campur sesuatu yang indah kerana membolehkan dua budaya berbeza untuk mengharmonikan dan menerima perbezaan antara satu sama lain.

"Ia juga mewakili semangat Malaysia yang sebenar, kerana kami harapkan Malaysia yang lebih baik untuk generasi akan datang melalui perkahwinan campur ini.

"Selain itu, kami dapat menikmati semua perayaan dan meluaskan pemahaman serta pendedahan kepada budaya yang berbeza," katanya.

Berhubung kisahnya yang tular, Kishanthini mengakui terkejut kerana bukan kali pertama dia berkongsi kisahnya dengan suami.

"Cuma baru kali ini tular dan ada komen positif serta negatif, tetapi ia tidak memberi kesan kepada kehidupan atau rutin harian kami.

"Apa pun, saya berharap jodoh kami panjang, tidak akan pernah berhenti menyayangi, menghormati antara satu sama lain dan sentiasa mengingati janji ketika mula perkahwinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 7:31 AM